BLOG BARU..

Sayugia ingin aku beritahu. Aku udah bina blog baru. Blog ini akan aku tinggalkan sebagai harta berharga dalam hidup.

Kalau sudi singgah di sini!

Terima kasih atas selama ini kalian tekun melayari blog aku mengutip pengetahuan dan memberi pandangan.

Khamis, Jun 09, 2011

Jika Allah Masih Sayangkan Dia!...3

Sewaktu berada di dalam kamar Mahkamah II, aku lihat ramainya waris yang hadir adalah kaum Melayu dan India. Kalau ada lain pun seorang Cina.

Pesalah yang berada di dalam kandang juga rata-ratanya Melayu dan India. Ada rakyat Vietnam, Indon dan mungkin Bangla. Ada seorang berbangsa Cina. Adakah ini petunjuk bahawa peratusan kes jenayah kini dipelopori oleh kaum Melayu dan India? Kes-kes pula sedari kesalahan trafik, kegagalan bayar hutang bank, dadah hinggalah kepada kes curi motor.

Duduk di kerusi ala tangga kambing ini amat melenguhkan. Nak bersilang kaki pun tak boleh. Nak tengok talipon bimbit pun bimbang akan dirampas jika ternampak oleh polis mahkamah.

Nak keluar atau masuk melalui pintu kena membongkok dulu ke arah Tuan Hakim tanda hormat. Yang memakai baju kot hitam ini aku agak rata-ratanya peguam. Aku dinasihatkan supaya jangan terpedaya dengan peguam yang menawarkan khidmat untuk pembelaan. Rupanya di sini pun ada peguam ala-ala ulat tiket di stesyen bas ekspress. Kalau boleh, aku katakan ianya adalah ulat kelas atasan!

Memang aku terasa kesaorang dan kesepian di sini. Lantas begitulah agaknya perasaan waris-waris yang terpaksa memikul tanggungjawap untuk ambil peduli terhadap apa yang berlaku kepada anak, suami atau saudaranya. Bagaimana agaknya kalau waris itu dari keluarga yang susah, tua atau sakit?

Kekadang aku rasa beruntung kerana di’anugerah’kan Tuhan berkesempatan melalui skrip yang mendebar dan menekan sukma ini. Plot kehidupan yang begini akan lebih mematangkan peribadi. Dan di saat inilah baru setiap pesalah itu akan mengenali siapa kawan atau saudaranya yang sebenar.

Akhmal di beri pilihan ikat jamin rm8k atau ditahan sementara menunggu tarikh perbicaraan 2 bulan dari sekarang!

Isnin, Jun 06, 2011

Jika Allah Masih Sayangkan Dia!...2

Kalau sudah lama berkahwin tetapi belum rezeki untuk mendapat anak mungkin boleh dikecualikan. Namun janganlah jika sebaliknya.

Aku selalunya berkata begitu pada rakan-rakan yang datang bertanyakan pandanganku akan hasrat mereka untuk beranak angkat. Mereka bertanya kerana mereka tahu aku ada.

"Fikirlah seribu kali. Menjaga anak angkat tanggungjawapnya berat. Ujiannya juga berat." Begitu nasihatku pada mereka.

Setelah bersalaman, aku duduk di kerusi menghadap Tuan Shuhaimi. Sibuk nampaknya dia sedang menyiapkan laporan kes Akhmal.

"Macammana encik menjaga anak encik?"

Foto Google
Aku terdiam mendengar soalan itu. Tak tahu nak jawap macam mana.

"Saya lihat encik ini seorang yang lembut. Saya hairan kenapa anak encik boleh jadi begini. Bukan anak encik seorang saja. Banyak kes-kes jenayah melibatkan anak angkat. Apa yang tak kena dengan anak angkat ini, saya pun tak faham. Nak katakan orang tua tak menjaga dengan baik, tidak. Macam encik, saya percaya dari cara encik, encik adalah bapa yang bertanggungjawap."

"Mungkin ini cara mereka menunjukkan rasa tidak puashati mereka atas apa yang berlaku. Mereka memberontak dengan cara yang negatif. Seolah-olah membalas dendam pada keadaan yang mereka tidak reda."

Untuk kesekian kalinya berada di IPD Perda itu kerana mahu diambil kenyataan bertulis.

Khamis, Jun 02, 2011

Jika Allah Masih Sayangkan Dia!

"Abang, macammana dengan Akhmal?"

Mata dan pangkal hidung ibu_suri merah menahan sebak. Aku peluk ibu_suri walaupun aku baru sahaja berwuduk tapi belum bersolat Subuh.

"Tak mengapa. Jika Allah masih sayangkan dia, Allah akan beri dia petunjuk. Abang pi kerja dulu ya!"

"Abang balik cepat ya. I rasa sunyi sungguh!"

Aku akui ibu mana yang tidak meruntun hatinya jika melihat anak sendiri bergari memasuki van polis. Tapi jika itu adalah hakikat hidup yang perlu ditempuhi, tempuhi sahajalah dengan tabah. Bagi aku yang hampir tegar dek biasa perlu lebih teguh sikap dan airmuka berbanding ibu_suri.

Di saat kenduri kahwin Angah semakin hampir, ofis aku akan menghadapi musim Internal Quality Audit (IQA) 2 hari selepas itu. Akhmal pula buat hal lagi.

Di lokasi kerja aku cuba berkeadaan ceria seperti biasa. Di dalam kereta, aku memasang radio sekuatnya. Selalunya, bila begini aku suka dengar lagu-lagu kumpulan Kembara, Sohaimi Mior Hassan dan Ebiet G Ade yang mempunyai banyak lirik-lirik yang positif dan memberi semangat. Waktu breaktime di ofis, aku curi masa untuk solat sunat dan tidur sekejap.

Aku cuba menyerap semua tekanan yang datang!

Ahad, Mei 29, 2011

Atan Dengan Kambingnya

Sebenarnya klip video ini aku nak pos ke blog SRI MERSING tapi disebabkan aku ini masih di tahap BUAH CEMPEDAK DI LUAR PAGAR makanya tersasar ke sini pula.

Gimanapun, tak mengapalah. Kedua-dua  blog sentimental ini masih tetap blog kesayanganku juga. Klip video ini mengingatkan aku pada zaman remaja yang sahabatnya adalah alam semulajadi!


Sabtu, Mei 28, 2011

Alangkah Indahnya Zaman Itu!

Entah kenapa hatiku berdebar-debar sejak semalam. Hendak menulis pun persis dipaksa-paksa. Memang begitu selalunya aku ini. Sesekali, permasaalahan yang datang adalah sekaligus dan terasa seperti timpa-menimpa. Ada yang perlu aku selesaikan segera. Ada yang aku kira masa juga yang akan menentukannya.

Aku tahu bahawa tenang, sabar dan doa adalah kata kunci untuk menempuhinya. Terasa diri amat kesaorang ketika ini. Ufffsss......

Semalam aku menerima emel dari adikku di Shah Alam. Tiba-tiba teringat abah, katanya. Aku minta izin untuk rakamkan tulisannya itu ke blog SRI MERSING, blog yang khusus aku buatkan untuk keluargaku. SRI MERSING adalah nama yang aku ambil sempena lagu kegemaran abah. Abah selalu menyanyikan lagu ini jika ada jemputan di majlis kenduri kahwin. Dulu, kalau kenduri takada kugiran, tak sempoi la. Kalau tak salah, populariti kumpulan The Zurah juga berasal dari aktiviti di majlis kenduri kahwin begini.

foto sekeluaarga sekitar 70an..
Abah aku memang seorang yang biasa sahaja. Kerja dengan Majlis Bandaran Ipoh. Bila petang, dia mencari duit tambah dengan memesin rumput di rumah Cina di sekitar Taman Ipoh atau Taman Canning. Pada dia, kalau duit tinggal RM50 dalam kocek, kira dah tak ada duit lah tu. Mesti cepat-cepat cari duit tambahan lain. Dengan kerja yang begitulah dia boleh menyara kami 9 beradik. Tidak seperti aku, anaknya yang sulong ini. Duit dalam kocek tinggal habuk pun boleh rileks lagi.

Betapa indahnya jika dapat kembali hidup di zaman itu. Zaman mandi di sungai, menoreh getah dan mendulang bijih timah!

Rabu, Mei 25, 2011

Char Koay Teow

Beberapa hari lepas aku bawa ibu_suri makan di Restoran Char Koay Teow, Sungai Dua. Sini memang ramai sungguh pelanggan. Nak dikatakan sedap sangat err... pada perkiraan lidah aku ni, biasa aje. Tapi kawan aku kata nasi lemaknya memang sedap. Aku belum pernah rasa.

Dek larisnya perniagaan ini, dibuka pula satu cawangan di Kulim. Tapi kata kawanku lagi rasanya tak sehebat di sini.

Foto dari sini
Punya hebatnya Char Koay Teow Sungai Dua ini hingga pernah memasuki berita akhbar. Dan melihat dari pemidang yang digantung, tempat ini juga menjadi lokasi pilihan selebriti yang mahu memakan char koay teow jika ke sini.

"Apa dia 'chef berapi' tu bang?" tanya ibu_suri.

"Ha.... yang tu la.." sambil aku menunjuk ke arah kuali yang diselubungi api sambil chefnya menggodek kuali dengan sudip.

"Boleh ke kita makan char koay teow yang berapi begitu?"

Terdiam pula aku. Tak perasan pula jawapan untuk itu, bagaimana. Aku tiba-tiba teringat sate atau panggang ayam.

"Boleh. Apa pulak tak boleh. Tapi kena disulam dengan timun. Timun boleh menutralkan karbon yang ada dalam koay teow tu," pandai pula aku ni...he..he..

Sewaktu balik, ibu_suri tak henti-henti menyanyi sepanjang jalan. Memang begitulah emosi ibu_suri. Kekadang murung, kekadang gembira tak menentu.

"Happy jer..." usik ku.

"Hmmmm... pasai apa I ni, ya! You tak terfikir ke kenapa I boleh jadi macam ni?"

Alamak, dah nak jadi macam lain ni. Cepat-cepat aku ubah ke topik lain. Perbualan tentang itu kalau diteruskan aku bimbang nanti akan menyebabkan suasana jadi tak menentu!

Ahad, Mei 22, 2011

Taarif di SamaGagah

Baru balik dari menghadiri program Taarif anjuran IKRAM di SamaGagah. Ingat nak masak nasi goreng saja tengahari ni. Budget yang ada di kocekku sekarang tidak cukup. Tunggu topup budget tambahan dari Angah yang sedang bawa keluarga mertuanya menghadiri konvo adik iparnya di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Nak tunggu 25hb punyalah lambat!

IM di program Taarif. Foto dari blog JH
Udah lama sebenarnya aku tak join dengan program bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Sejak ibu_suri di serang angin Ahmar, semua aktiviti luaran aku freezekan. Aku tumpu sepenuh perhatian pada masalah baruku itu. Maklumlah, otak aku bukan otak profesor atau ahli politik yang boleh fikir banyak perkara dalam satu-satu masa. CPU otak aku ini cuma dari teknologi lama.

Sebenarnya ada beribu-ribu rasa segan ada dalam dadaku ini. Tapi aku tepis semua dengan iltizam untuk mahu kembali melalui kehidupan di atas manhaj yang pernah aku jambati dahulu. Pengisian dari Hamizat memang berat isinya. Oleh kerana aku sudah biasa dengan pengisian berat begini aku masih dapat ikuti 

Aku tertarik dengan fakta yang dipetik dari tulisan Steven R Covey dalam bukunya 7 habits - Begin with the end in mind. Maksudnya jangan biarkan hidup kita ini berlalu begitu sahaja. Letakkan satu sasaran yang kita boleh capai dan bermanafaat pada diri dan masyarakat.

Aku juga teruja dengan fakta dari Moche Dayan, Pendana Menteri Israel dulu. Katanya, umat Islam kini lemah dan dayus kerana 3 perkara;

1. Lupa akan sejarah kegemilangan Islam mereka dahulu
2. Membuat sesuatu tanpa perancangan yang teliti
3. MALAS!

Tiba-tiba Angah menalipon aku;

"Ayah, dulu ayah makan mi kari kat mana?"

"Kalau kat pekan Ipoh ni bukan mi kari tapi mi rebus?"

"Mi Rebus Ramli tak jauh dari Kamdar!"

Sabtu, Mei 21, 2011

Inferiority Complex

Sekarang ini aku sedang giat mengedar kad kenduri kahwin Angah. Aku tidak edar kepada ramai orang. Aku pilih-pilih sahaja kerana saiz kenduri yang aku mampu buat adalah kecil. Jadi maaflah kalau kalian semua mungkin ada yang tidak aku jemput. Kalau aku jemput juga mau berpeluh dan pitam aku dek nasi minyak yang pasti tak cukup!

Semalam singgah untuk bagi kad kepada seorang kawan karib ibu_suri. Memang sudah lama tidak berjumpa pun. 

"Ah, kecilnya badan you ni..," yang dimaksudkan ibu_suri ialah tubuh kawannya itu semakin meyusut.

Bila bertanya khabar anak-anaknya maka tahulah aku bahawa salah seorang anaknya kini bermasalah dan itulah ujian getir yang kini sedang mereka hadapi.

kredit buat insyahira
" Sabarlah. Hidup ini kita kena tabah menghadapi. Pengalaman IM menjaga ibu_suri dan anak ketiga IM cukup untuk mengajar IM bahawa apapun masalah kehidupan kita, tempuhilah satu demi satu dengan sabar dan doa. Boleh mengharap kawan. Boleh meminta pertolongan adik beradik. Namun yang perlu lebih kuat ialah diri kita sendiri. Orang lain hanya boleh berkata sabar namun yang nak kena sabar itu, kitalah bukan mereka. Hendaknya, ada  pulak segelintir  pandangan negatif masyarakat kepada kita dan itu menambah perit beban yang kita tanggung. Sabar jugalah azimatnya. Usahakanlah untuk mengubati dia. Doktor biasa IM fikir bukan lagi rujukannya. Cuba  jumpa  pakar jiwa atau macam Dr Haron Din. Dia masih muda dan tidak tahu apa-apa. Kita bertanggungjawap untuk membetulkannya."

Sedari awal lagi aku sudah mula dapat mengagak, anaknya yang satu ini pasti akan bermasaalah. Aku tahu, dia mengalami sindrom kurang ketahan diri akibat inferiority complex.

"IM semasa remaja dulu mengalami masalah macam ni. Tapi IM lawan. IM banyak mengambil jalan agama untuk mengatasinya. Alhamdulillah, sampai sekarang walaupun masih ada perasaan itu IM cuba bolayan. Anak begini selalunya tak ramai kawan. Lebih suka memerap di rumah. Mereka ini tidak tahan dengan cabaran hidup. Cepat rasa putus asa. Dari sinilah ujudnya perasaan rendah diri yang memusnahkan kehidupannya."

Panjang lebar nasihatku pada kawan ibu_suri itu. Aku sentuh bahu suaminya beberapa kali. Tampak sungguh kesugulan di wajah mereka walaupun perbualan kami cuma di pintu padar rumahnya sahaja. Kalau masuk ke rumah nanti, ikut adat Melayunya kena minum. Hem, panjang cerita...

"You sembang apa lama sungguh dengan depa tadi?"

"Tak ada apa. Sembang pasal anak-anaknya tu lah. Hik, nak pi makan di mana kita ni?"

Selasa, Mei 17, 2011

Eureka!

Aku sebenarnya seorang yang perasa. Aku tidak betah dengan sikap terjah dan kasar. Aku impikan dunia yang aman, saling faham memahami dan hormat menghormati.

Hiasan foto dari sini
Namun hakikatnya dunia ini bukanlah semudah itu. Dari keluarga dan susana kampung yang tentram dan damai aku mengungsi ke Bayan Lepas, Pulau Pinang kira-kira 20 tahun lalu. Bayan Lepas ketika itu masih dalam proses urbanisasi. Paya Bakau di tepi pantai habis di tambak untuk dijadikan tapak perindustrian. 

Di sinilah aku mula menerokai dunia penuh cabaran. Sendirian tanpa keluarga berdekatan. Aku temui sikap-sikap mereka yang kononnya bergurau tetapi dengan bahasa yang kurang selesa. Temui insan bertalam dua muka. Juga tidak kurang sikap kesukuan dan kebangsaan.

Namun memang lumrah. Dimana ada banyak dakyah di situ ada banyak dakwah. Dimana ada banyak ruang noda di situ juga ada banyak ruang pahala. 

Di sini aku mula berjinak dengan kuliah agama secara mingguan bimbingan Dr Danial yang ketika itu baru pulang dari Mesir. Aku sertai NGO Jamaah Islah Malaysia dan Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia. Medan-medan ini banyak membantu aku erti penerimaan terhadap apa juga budaya keliling yang tidak serasi dengan budaya aku. Memahami kemajmukan sikap, kelemahan azali sesaorang dan erti berkebajikan pada yang lebih susah kehidupannya dari kita. Aku juga temui ramai rakan-rakan yang masih ramai inginkan dunia yang aman dan tenteram.

Pendekata, walaupun Pulau Pinang ini panas budayanya tapi aku masih utuh berada di sini hingga kini. Hinggakan aku masih ingat akan pelawaan rakan sekampung;

"IM, baliklah ke kampung kita. Kampung kita perlukan orang macam IM."

Dalam hatiku cuma berkata, aku terasa selesa di sini kerana aku sudah temui apa yang kucari. Dan juga aku senang dengan Kerajaan Negeri yang ada hari ini!

Ahad, Mei 15, 2011

Guru Terbaikku!

Semalam, ibu_suri beria-ia menyuruh aku menghantar sms kepada bekas gurunya. Cikgu Bala, seorang India kemudiannya berkahwin dengan gadis Cina, banyak membantu ibu_suri di dalam pelajaran sewaktu masih bersekolahnya dulu di SM Zainal Abidin, Pulau Pinang. 

Balas sms dari cikgu Bala -  "Terima kasih banyak2. Rohaidah pun guru juga. SELAMAT HARI GURU KEMBALI!"

Kalaulah guru tadika juga boleh diiktiraf dan layak untuk menyambut Hari Guru makanya ibu_suri tidak terkecuali. Mungkin itu maksud cikgu Bala. Di masa masih mengajar dulu, ibu_suri akan menerima banyak hadiah-hadiah dari anak muridnya. Sudah tentu bukan nilai hadiah yang dikagumi tetapi nilai penghargaan dari hati nurani murid itu sendiri.

Bagi aku yang tidak pernah malah tak sanggup bertitle guru ini, pengalaman adalah pendidik terbaik. Pengalaman yang aku lalui terlalu banyak mengajar aku erti hidup dan menghargai kehidupan.

Namun kalau ditanya tentang siapakah guruku yang diingat hingga sekarang;

kredit untuk mynewshub
1. SR Sri Kepayang - Cikgu Marfuzah - guru displin yang selalu memegang rotan.
2. SM Anderson - Cikgu Harbans Singh yang selalu menarik hidung kalau nakal.
3. SM Raja Chulan - Cikgu Maznah Ismail - guru pengawas perpustakaan

Apa-apapun, mak aku di kampung yang cuma lulusan sekolah zaman Jepun adalah ikon terbaikku!

Sabtu, Mei 14, 2011

Catatan Pagi

Maaf dek kerana udah lama tidak BW ke blog kalian. Masa yang ada selepas balik kerja amat terhad. Setelah tolak masa makan bersama ibu_suri kemudian bahagi pula dengan membawa dia keluar jalan-jalan di sekitar Bukit Mertajam atau Kepala Batas, berbaki hanyalah seciput minit untuk berblogging.

Blog aku pula sedang dalam penstrukturan semula. Walaupun sebenarnya aku  lebih sinonim dengan warna hitam tapi untuk ke ini kalinya aku memilih warna putih. Aku jatuh cinta dengan blog tehr yang tampak bersih. Template pula mulanya aku terlihat di blog Perjalanan Yang Singkat yang mengadaptasi format dari sumber di OurBlogTemplate. Namun setelah ditukul sana sini akhirnya aku kembali ke format Blogger. Untuk lagu aku tidak lagi menggunakan Singgingbox kerana ia kerap sangat problem page sebaliknya aku guna Mindviz  seperti yang digunakan oleh blogger Warna Nostalgia. Istimewanya gadget ini ialah boleh memuatnaik lagu sendiri secara terus tanpa perlu menyimpan di laman lain.

kredit untuk BerandaBumi
Dengan sedikit tips yang diberi oleh blogger Jendela Hatiku, aku menggunakan Paint Brush untuk merekacipta header yang tidak sepertinya ini. Cukuplah untuk kali ini rasanya. Letih sesangat otak  ini terkejar-kejar memikirkan konsep blog kali ini. Di tambah dengan pemprosesan komputer yang lembab dan keletihan mata yang membaca menggunakan spec aku kira hasil ini udah cukup hebat sempena 12 May!

Di dalam masa yang sama aku di terjah oleh Celcom yang tidak pernah lupa pada bil talipon mak aku beberapa tahun dulu yang masih tertunggak. Kata Angah, aku dah bayar sebenarnya tapi kenapa masih dikatakan belum bayar?

Dalam masa yang sama juga ibu_suri kerap merengek sayu bila Angah tidak balik kerana bermalam di rumah mertuanya. Memang terasa sesangat kesunyian rumah ini tanpa kehadiran Angah. Pun bila ada Angah di rumah aku pula tak larat nak layan celotehnya.

Sekejap lagi aku akan memandikan ibu_suri yang seperti biasa di hujung minggu, menyampu rambut dan  mengetip kukunya. Biasalah memandikan orang yang besar ni. Dengan aku-aku sekali lenjun!

Aku akan mula BW esok, insyaAllah! Teiba-tiba pula saja teringat mak sedangkan aku baru saja balik menjenguknya minggu lepas sempena Hari Ibu. Huishhh...

Rabu, Mei 11, 2011

Esok, 12 May!

12 May adalah hari esok. Selama ini aku tak pernah kisah pun. Tak pernah terkesan pun. Malah ianya berlalu tahun demi tahun tanpa aku sedari dan selami falsafahnya.

Namun tidak hari ini. Malah sejak beberapa hari lalu bila ibu_suri kerap mengingatkan aku tentang ia, aku terkesan sendiri. Berbaur dengan memori hidup yang lalu bersama kemungkinan yang terjadi di masa hadapanku.

Aku ingin pergi ke satu tempat yang aku sering tujui jika ingin bersendirian. Aku ingin merenung kembali apa yang telah berlalu. Aku ingin memikirkan akan apa yang perlu aku perbuat untuk masa hadapan.

Foto Hiasan
Walaupun sudah terasa letih benar bergelut dengan segala macam permasaalahan hidup selama separuh abad berlalu ini namun aku masih perlu untuk terus berjalan. Perlu terus tabah memikul amanah. Sesungguhnya tidak ada tanda koma di dalam hidup ini kecuali noktah.

Esok 12 May. Hari dimana aku dilahirkan di satu daerah bernama Ulu Slim, Slim River. Kemudiannya aku diberikan nama sempena nama sahabat nabi oleh datuk aku sendiri. Kemudiannya aku dibawa balik ke Ipoh. Kini aku mengungsi di Pulau Pinang hinggalah ke akhir hayatku, mungkin. Berdiri dan memacu kehidupanku sendiri.

Masa yang diizin Tuhan tinggal sedikit sahaja lagi. Aku tidak boleh berpaling atau berkeluh kesah lagi. Mesti terus berjalan demi mencapai destinasi kerana peluang hidup di dunia ini hanya sekali!

Isnin, Mei 09, 2011

Marah

Aku balik kampung semalam. Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh, Perak – tempat aku membesar dengan polis sentri, kondang-kondi, galah panjang, aci nyorok, masak-masak, baling selipar, pangkah gasing, batu seremban, tepuk gambar, biji getah, dam apit, dam aji, guli susu, ikan spilai, ikan guppy dan getah bulat.

Juga tempat aku jual botol untuk belanja sekolah, toreh getah, mendulang bijih, cari pucuk paku, pucuk ubi, timba air dari telaga, mandi sungai Kak Sitah, naik rakit batang pisang ketika bajir, rakit buluh, lemas kerana tak tahu berenang, berkelah dan mandi sungai di bulan Safar, berarak maulud dan bermarhaban.

Tak ketinggalan juga tempat aku mencari setem di tong sapah hospital, curi kacang tanah di kebun Cina tepi landasan keretapi, baling botol kaca di tiang talipon, baling gerabak penumpang keretapi dengan ketul tanah, panjat gunung Mat Sirat, pecah pot getah di kebun Kak Naha dan paling aku tak boleh lupa curi duit syiling dari poket seluar kerja abah.

Aku sempat lihat kereta Hillman, Moris Minor, Mini Cooper dan Volkswagen menjalar di jalanraya, menonotn wayang pacak dengan drama muhibbah Atap Genting Atap Rumbia, turut edar air minuman untuk kempen pilihararaya UMNO, ikut rombongan belia 4B melawat Kampong Ulu Chemor, beli tikam dengan belanja duit sekolah, beli air lamonate dengan beberapa keeping syiling 1 sen, menyambut kedatangan Tun Abdul Razak di lapangan terbang dengan memakai seragam sekolah sambil mengibar bendera Malaysia, menonton perlawanan tinju Muhammad Ali vs Joe Bugner di dewan sekolah, menghantar karya ke Radio Ipoh, majallah Bujal dan Utusan Pelajar serta menghabiskan duit raya di kedai game dekat panggung Cathay dan tonton filem Kati Patang dengan mak saudara.

Aku masih tak lupa akan jam abah jenama Titus dan Titoni. Tak pernah miss menonton cerita hitam putih walaupun tv di rumah jiran seperti Mannix, Voyage To The Bottom Of The Sea, Land Of The Giant, Lost Of the Island, Star Strek, High Chapparal, Flint Stone,  CHIPs, Potret Pekerti, The Man From UNCLE dan Planet Of The Apes.

Namun semalam di kampung, aku lebih banyak tidur dari melayani ibu_suri. Entah kenapa badan aku rasa tak selesa dan mengantuk. Hinggakan aku perasan ibu_suri marah bila beberapa kali mak aku mengajak;

Hidup ini samada YA atau
TIDAK sahaja.
“Makan le. Nasi banyak lagi.”

Dan lagi;

“IM, makan le sebelum balik ni. Lauk banyak lagi tu”

Aku jamah juga makanan walaupun tak terasa lapar. Aku duduk di sisi ibu_suri dan umpan marahnya dengan menyuap nasi tapi ibu_suri masih berkata;

“Tak mau!” …. serius.

Aku tahu, dia marah. Aku cepat-cepat mandi dan kemas beg. Janji aku untuk kerumah adik beradik dan saudara untuk mengedar kad kenduri kahwin Angah perlu disegerakan.

Dalam kereta, ibu_suri lebih banyak diam. Aku perasan sehari-dua ini aku sedikit lalai dalam memberinya makan ubat mengikut jadual. Dan beberapa kali kemahuannya aku bantah. Semacam ada kejemuan dan rasa tidak bebas di dalam diri.

Entahlah, kekadang aku ini pun satu juga. Mana boleh ada perkataan malas dalam kamus hidup. Hidup mesti sentiasa komited dan sabar! Uuuuuuu…..

Sabtu, Mei 07, 2011

Selamat Hari Ibu, Mak!

Aku perasan, Hari Ibu disambut lebih meriah berbanding Hari Bapa. Dan aku pun tak kisah kalau keluargaku tidak menyambut Hari Bapa sepertimana mereka menyambut Hari Ibu dengan membelikan kek seperti sebelum ini.

Selalunya bila aku berjumpa atau menalipon mak, aku akan cium tangan mak dan dakap susuk tubuhnya yang semakin kering. Mak seperti selalu akan bertanya; 

Mak ketika masih kuat selalu ambil tempahan jahit baju dan buat kuih tradisional
"Ape kabo kamu?"

Dan jawapan aku pun standard je. Baik masa tengah hujung bulan, baik tengah serabut dengan odit, baik tengan tension dengan hal-hal keluarga maupun ketika sakit yang orang luar tidak nampak; aku akan jawap; 

"Baik khabar, mak?"

Bagi aku mak adalah orang paling akhir untuk aku mengadu susah. Mak adalah orang terakhir untuk aku melampias keluh kesah. Cukuplah untuk aku membebankan perasaan mak sebelum ini. Mak sudah cukup tua untuk memikirkan puah-paih kehidupan anak-anaknya. Berilah peluang untuk mak berihat. Perjalanan meniti hari-hari tuanya ke satu takdir yang cuma Allah yang mengetahui sudah cukup mendebarkan buat mak. Sepatutnya kitalah yang kini selalu memberi khabar gembira kepadanya. Melontarkan kata-kata yang lembut dan baik ke telinganya. Bertanya khabar dan kesihatannya selalu. Dan melemparkan senyuman manis dan ketawa yang hormat kepadanya.

Berilah mak kita peluang untuk menghirup udara yang bersih dan persekitaran yang kondusif. Sesungguhnya sudah puluhan tahun mak bergelumang dengan jerih perih menungkah badai kehidupan. Letih dan lelah mak jelas terlihat di kulit dan gigi mak.

Mak yang tetap akan datang meraikan apa saja majlis kelolaan anak-anaknya walau dimana pun diadakan sekalipun dengan kepayahan berkerusi roda.

Cukuplah setakat itu buat mak. Biarlah hari ini kita berdikari mengharungi erti hidup ini. Ucaplah Selamat Hari Ibu buat mak. Walaupun sekadar ucapan, aku pasti mak sudah pasti gembira seperti juga aku gembira bilamana melihat ibu_suri dan anak-anak ketawa.

Apa-apapun, esok aku akan balik kampung jumpa mak. Secara kebetulan lansung nak pulangkan semula bekas hantaran kepada adik sekaligus mengedarkan kad jemputan kahwin Angah.

Aku cuma ada mak sahaja. Abah sudah tiada. Masa yang tinggal sedikit ini aku akan guna sebaiknya untuk mak. Aku tidak mahu lagi berasa sesal sepertimana kelalaian aku selalu menziarahi abah di kala aku tengah kalut-malut berdepan dengan ketidakbiasaanku berhadapan dengan kondisi ibu_suri yang mengalami bipolar dis-order akibat angin ahmar! Terkesan aku dengan tulisan blogger SUDAIS bila melawatinya di sini tadi.

Khamis, Mei 05, 2011

Alahai Anak Ayah!

Sekitar Majlis akad nikah (khutbah) Angah di Masjid Permatang Batu; jam 10.30 pagi; Ahad 1 Mei 2011.

Rohayu a.k.a Ayu
Cincin Hantaran
Akad
Ahmad Firdaus a.k.a Angah
Isteri Adalah Amanah Allah
Mestikah Dibatalkan Air Sembahyang?
Harap Senyuman Ini Berkekalan

Buah pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Bila dah dapat teman baru,
Ibu dan Ayah dilupa jangan..

Selasa, Mei 03, 2011

Danisa Cookies

Tatkala menghantar Along ke steyen keretapi Bukit Mertajam, aku tak habis-habis merungut dengan keadaan jalan yang berlubang-lubang di hadapan stesyen.

"Buta ke mata pengurusan KTM? Jalan lain diturap walaupun ada antaranya aku rasa masih elok tapi jalan ini dah bertahun-tahun rosaknya tak diperbaiki. Segugus masa dulu bila masuk parking ni kena bayar. Kemana pergi duit itu?"

Dan bila memandu balik ke rumah pula ibu_suri seakan mahu menangis pula. 

"I rasa sunyi la bang. Along dah balik ke KL. Angah pula tidur di rumah mertuanya."

Ya... Aku baru perasan. Hakikat sebenarnya, rumah kami sudah kurang satu penghuni. Dan Along pula dari gerakrasa aku mengatakan bahawa dia lebih berminat untuk kerja dan menetap di KL. Bermakna yang tinggal di rumah kini hanya kami berdua dengan Akhmal. Tiba-tiba terasa sedikit gentar untuk berdepan dengan realiti ini. Realiti tinggal sendirian di rumah yang dulunya terasa kecil kini terasa lapang namun 'kosong'. 

Aku dulu memang bercita-cita punyai anak seramai mungkin tetapi rezeki tidak ada, terima sahaja kudratNya. Pun, Tuhan itu Maha Mengetahui. Mungkin sedikit anak itu lebih baik dari ramai tetapi jauh akhlaknya.

Tiba di rumah jam 12, perut terasa lapar. Sambil BW ke blog-blog di sisipan IM, aku minum AliTea kegemaranku sambil mengunyah Cookies Danisa  yang tiba-tiba memikat citarasaku. Tin cookies ini adalah antara 17 hantaran balas pihak Ayu (isteri Angah) semalam. Sebaik saja aku terpandang, aku sorok siap-siap ke dalam almari. Cookies ini mengingatkan aku di zaman semasa kecil. Jenama ini masih bertahan hingga kini.

Isnin, Mei 02, 2011

Khutbah

Tatkala mak sampai dari kampung bersama kerusi roda, soalan pertama yang  mak tanya ialah, macamana persiapan kamu? Agaknya sebab mak tak nampak aku seperti orang sibuk. Rumah pula tenang dan kemas.

Ok mak, jawapku. Tunggu adik beradik datang je. Jam 9 kita bertolak. Kalau lambat nanti kita kena berlari le...,jawapku yang sebenarnya sedang menyembunyikan semuanya.

Untung aku kerana banyak timba pengalaman ketika menjadi penyelia di tempat kerja satu masa dulu dan menjadi pengarah program semasa giat dengan NGO. Semua tugasan saya delegate kat adik beradik, tegasku lagi pada mak.

Memang aku tak mampu nak buat semua. Titik bengik buat bunga telur, buat hantaran, buat sireh junjung, buat gubahan mas kahwin..huuu..bukan bidang aku. Ianya adalah tugasan perempuan yang bergelar isteri. Namun...

Hantaran asas suruh adikku, Niza yang buat. Dia recycle bekas hantaran tunangan adikku beberapa bulan lalu. Adikku yang di Kulim aku minta buatkan kuih bangkit dan pulut kuning. Kakak ipar yang dekat dengan rumah aku minta buatkan nasi lemak untuk sarapan pagi, bunga  peha 25 kuntum, sireh junjung dan gubahan duit mas kahwin. Kakak ipar yang di Bertam aku minta buatkan gubahan bekas buah, coklat, buku dan bunga rampai. Mak pula bawa hantaran bahulu ikan. Comel dan menjadi perhatian utama pula..

Aku cuma pecah peluh mengemas rumah. Dari hujung pagar luar hingga ke hujung pintu dapur dan bilik air. Memastikan ibu_suri memakan ubat dan juga memastikan semua yang datang punya cukup kemudahan dan makanan. Yang duduk di kerusi sambil memarahi cucu menakan yang tak boleh duduk diam walau 15 saat ialah ibu_suri. Sesekali tersunggin senyuman, sesekali ketawa keanak-anakan. Sesekali juga mengaduh kerana belikatnya yang sakit sejak akhir-akhir ini. Doktor beberapa kali menegur aku kerana tidak menjaga makan dan senaman ibu_suri sebaiknya. Lemak-lemak yang ada di bawah kulit awak telah menekan otot-otot dan urat darah awak. Tu yang menyebabkan awak badan awak sakit, tegas doktor Klinik Utama, Bukit Mertajam yang masih muda.

Foto Hiasan
Agaknya, selain Angah yang dikhutbahkan Masjid Permatang Batu, akulah orangnya yang paling gusar. Bimbang takut-takut dia jem. Soalan dan tazkiran dari Kadi tu boleh tahan juga. Ketawa sekalian hadirin bila Kadi bertanya, apa tujuan kamu kahwin? dan Angah menjawap, untuk dapatkan zuriat. Aku cuma mengetap bibir. Aku tahu khutbah Kadi itu bukan saja halanya kepada pengantin semata tetapi juga kepada rombongan yang hadir!

Apa-apapun, syukur. Dan bermula hari ini, aku sudah tiada apa-apa hak terhadap Angah kecuali menasihat dan memerhati. Tanggungjawap utama Angah adalah membina keluarganya dan aku tidak mahu menjadi unsur ke3 di dalam rumah tangganya.

Jumaat, April 29, 2011

Sabar

Maaf jika aku tidak kelihatan singgah membaca sekaligus memberi komen di blog kalian.Aku sibuk yang bukan sedikit dalam membuat persediaan untuk Majlis Akad Nikah Angah pada hari Ahad ini di Masjid Permatang Batu jam 10 pagi. Kalau ada yang ingin turut sama boleh jugaklah!

Tetapi di celah-celah kesibukan itu rutin kebajikan ibu_suri tetap kena dijaga. Bagi aku ibu_suri seperti anak kecil yang kalau makan, mandi dan pakainya sempurna maka kuranglah ragamnya. Senanglah kerja-kerja lain hendak diteruskan. Sesekali bila melihat senyum dan mendengar tawa ibu_suri rasa belas menjadi semakin dalam. Aku tahu ibu_suri percaya dan mengharapkan 100% pada perhatian dan kejujuranku menjaganya. Akupun tidak sampai hati mensia-siakan harapan itu malah selalu berdoa muga Allah tetapkan hati dan perjalananku bersamanya. Biarlah betapa susah, betapa jemu, betapa tertekannya aku dalam rutin menjaga kebajikan dan ragam ibu_suri, aku akan tetap sabar dan ikhlas menjaganya. Muga-muga!

Namun semalam di celah-celah kesibukan ini aku terima panggilan talipon dari Angah. Lalu semalam, semalaman aku berada di IPD Perda. Sekali lagi menerjah ke sana yang entah untuk keberapa kalinya dan entah sampai bila...Huh!

"Ayah, Zam tengah belajar macam mana nak jadi sabar dan tenang macam ayah.." ujar anak saudaraku yang juga memanggil aku dengan gelaran 'ayah' sewaktu memandu balik dari IPD Perda.

Namun dalam sibuk, blog tetap di update 2 hari sekali lantaran menulis umpama minum pagi yang tidak boleh aku tidakkan!

Rabu, April 27, 2011

Satu-satunya Kes Di Dunia

Di dalam sujud terakhir solat Dhuha, aku sempat berdoa untuk kesejahteraan buat sahabat sekerja ku Azimi yang diberitakan akan menjalani pembedahan di HBPP hari ini. Beliau mengalami ketumbuhan di jantung; satu-satunya kes yang ditemui di Malaysia malah khabarnya di dunia. Ini diperakui oleh doktor pakar di IJN.

Harapannya untuk berjaya adalah 20% ke 80%. Aku umpamakan seperti sesaorang itu sedang berjalan untuk melalui satu pintu yang dia tahu malaikatul maut sedang menunggu di situ. Cuma dia tidak pasti adakah waktu itu gilirannya.

Lagi khabarnya, beliau terpaksa mempertaruhkan masa depannya walaupun berkemungkinan hanya 20% harapannya untuk berjaya. Ibarat luah mati emak di telan mati bapa. Kalau tidak dibuang ketumbuhan itu besar kemungkinan dia akan diserang stroke yang lebih hebat.

Senario sakitnya bermula apabila satu hari pandangan dia tiba-tiba kabur. Dia dikejarkan ke klinik dan kemudiannya ke hospital dimana akhirnya dia disahkan di serang minor stroke yang menjadikan penglihatannya kabur.

Sahabatku ini adalah seorang yang baik. Aku amat mengharapkan Allah memberikan yang terbaik buatnya.

Dan aku berharap keluarganya akan terus bersabar dan tenang menghadapi apa jua kemungkinan yang bakal berlaku.

Ameen!…..

Selasa, April 26, 2011

Bihun Goreng Kampung

Ahad lalu aku balik kampung. Tujuannya untuk mengambil set hantaran perkahwinan Angah yang aku minta adik-adik aku buatkan. Daya kreativiti ibu_suri sudah tumpul. Kalau tidak, selalunya dialah yang buatkan hantaran untuk adik-adiknya dahulu.

Foto Hiasan
Terasa letih memandu. Mengantuk. Kerap berhenti membasuh muka serta melonggarkan urat sarat. Mungkin kerana sebelum bertolak aku sempat beriadah di Tasik Mengkuang. Pepagi lagi aku terima sms dari blogger JH mengajak aku join sama berPATT. Aku tanpa fikir panjang bergegas ke sana dengan harapan dapat berjumpa sahabat yang lama tak ketemu.

Di kampung, adikku Duyah yang ditugaskan oleh keluargaku untuk menjaga kebajikan mak yang lumpuh sebelah badan, sempat memasak bihun goreng.

“Bihun goreng kampung ni, Yop. Mesti sedap punya.”

Dan ya.. memang sedap. Persis yang pernah mak masakkan untuk kami semasa kecil dahulu. Besar mata ibu_suri bila melihatkan aku tambah..satu senduk..satu senduk..hingga tegak belakang badanku menahan kekenyangan. Perencahnya simple sahaja. Taugeh dan sambal ikan bilis. Duyah senyum panjang melihat aku berselera makan bihun yang digorengnya. Seronok tengok Yop makan, ujarnya.

“Tau tak satu-satunya jenis sayur yang kita makan dari daun hingga ke akarnya?” Geleng kepala.

“Taugeh ni la…” terangku.

Aku teringat seorang kawanku yang cerewet dengan taugeh. Sanggup dia asingkan satu demi satu taugeh itu dari kelompok mee di dalam pinggannya semata-mata kerana dia pantang. Angin, katanya. Hmmm… muda-muda lagi dah ada pantang!

Sabtu, April 23, 2011

Langit Tidak Jadi Hujan Petir

Semalam, aku ajak ibu_suri makan malam di gerai nasi kandar bersebelahan Public Bank dan Hong Leong Bank di Kepala Batas. Siangnya  aku cuma jamah roti dan kuih sahaja. Terasa lapar sungguh.

Seperti biasa aku dahulukan ibu_suri memilih lauk. Dan seperti biasa juga, ibu_suri lambat untuk memikirkan lauk apa yang dia mahu makan. Kesian si 'aci' itu menunggu dengan senduk di tangan kanan dan pinggan nasi di tangan kiri agak lama. Dipilihnya telor dan sotong. Dah habis pikiaq la tu, bisik hatiku.

Lalu aku memimpin ibu_suri ke meja makan di bawah payung. Aku dapat rasakan langit agak muram. Senang nanti kalaulah tup..tup.. hujan turun tak perlu lari mencari tempat teduh, fikirku. Setelah aku meminta aci ambilkan lauk seperti yang dipesan oleh ibu_suri  beserta sudu dan tisu, aku letakkan di hadapan ibu_suri. Sekali lagi, untuk order minuman, ibu_suri berfikir agak lama untuk 'nak minum apa?'

Setelah selesai aku memilih makanan aku sendiri aku duduk di kerusi sebelah ibu_suri. Tiba-tiba;

"Tengok you ambilkan lauk apa?" Mata ibu_suri terbeliak tajam menerjah jantungku.

Arrgggghh..... macammana boleh terambil limpa dan sotong nih!

Serta merta aku minta sorry dari ibu_suri. Huh! Bimbang sungguh kalau-kalau dia naik angin di tengah orang ramai ini seperti yang pernah aku lalui di zaman ibu mengalami bi-polar disorder tahap 1.

Aku perhatikan sekali lagi wajah ibu_suri. Aku  pegang tangannya dengan lembut sambil cuba membaca riak air muka dan mendalami jiwanya. Aku cuba aleh ke topik lain.

"Jangan sebut perkataan telor tu kuat-kuat. Nanti orang ingat apa pulak?" Dan ibu_suri ketawa terkekeh-kekeh. Ingat blue la tuh. Fuhh... Lega rasa di dalam dada. Langit yang tadinya kujangka akan ada hujan dan petir seperti bergemerlapan dengan bintang-bintang!

Tak dapat kubayangkan jika betul-betul 'hujan dan petir' berlaku tadi...

Khamis, April 21, 2011

Terima Kasih!

Aku melabuhkan tulang belakang ke kerusi panjang. Balik dari rumah mak di Air Itam sejam lalu selepas selesai menghadiri temuduga dengan doktor pakar di GH untuk permohonan kad OKU untuk ibu_suri.

Mata terpaku ke siling rumah yang sawangnya baru sahaja aku bersihkan semalam. Majlis akad nikah Angah insyaAllah - Ahad: 1 Mei 2011. Kurang lebih 10 hari sahaja lagi. Rumah? Hurrmmm...

Sebenarnya aku ingin berterima kasih pada sahabat serta adik beradik yang banyak menolong aku. Tak kiralah samada di sudut wang ringgit, tenaga hatta nasihat. Masing-masing begitu prihatin ingin membantu. Walaupun dadaku semakin kuat gelombangnya tapi aku buat biasa sahaja. Senyum dan ketawa hingga ada yang menyangka aku begitu gembira hendak menyambut menantu. Sebenarnya mereka tidak tahu aku sedang menyorok resah di sebalik senyum dan tawaku itu. Pendekata, siapa yang pernah melalui, fahamlah bagaimana perasaan aku di saat-saat kritikal begini.

Aku ambil positif pada setiap yang datang kepadaku bertanya khabar dan mencadangkan pelbagai idea untuk majlis perkahwinan Angah. Ada yang bagi idea A dan yang lain pula bagi idea B untuk hal yang sama. Aku angguk saja. Malah ada yang nampak seperti marah-marah bila kelihatannya aku seperti tidak mempraktikkan saranan mereka.

Wajah Tenang Abdul Rahman Sudais
Aku harap sangat Along akan balik awal untuk membantu aku touch up mana-mana yang patut di dalam rumah. Sebenarnya, tenaga dan pemikiranku sudah ditahap tepu. Mana tah lagi nak melayani rutin aktiviti ibu_suri yang 100% mesti diipenuhi.  

"Abang, pi la mandi. Dah dekat pukul 9 ni. Bawa I pi ronda..."

Walaupun terasa amat berat untuk mengangkat badan, aku capai juga tuala. Aku tiba-tiba teringat pada Abdul Rahman Sudais, Imam Besar Masjidil Haram yang mungkin masih memberi kuliah Maghrib di Institut Ibnu Qayyim. Betapa seronoknya kalau berada di sana sekarang ini.

Apa-apa pun, terima kasih pada blogger JH yang selalu mengingatkan aku pada solat sunat Dhuha!

Selasa, April 19, 2011

Mengembek Lagi

Aku mengembek beberapa kali. Entah kenapa, aku terasa sangat jauh hati. Mungkin agaknya kerana aku sudah dirasakan tidak boleh dimanafaat menyebabkan aku disinggit dengan begitu pedih sekali.

Foto Hiasan cuma
Aku mengembek. Entah untuk beberapa kali. Aku seperti merasakan, gerombolanku di sana memandang diriku persis makhlok yang asing. Benarkah namaku sudah dipadam dari senarai gerombolan itu? Atau aku sahaja yang perasan seperti diasingkan?

Aku mengembek lagi. Aku tahu, sudah hampir 4 tahun aku mengasingkan diri dari kelompok kambing-kambing itu. Tapi bukanlah sengaja. Aku keluar padang kerana aku perlu menjaga ibu kambing yang patah jiwanya. Rencat warasnya. Selama 2 tahun aku bergelut dengan resah dan keluh. Kemudiannya barulah aku dapat menerima rentak tari hidup yang asing itu. Hari ini aku cuba untuk menelusuri jalan lama. Aku cuba jengah padang lama. Aku cuba beri senyum percuma.

Sayangnya.. Aku disinggit atas kesilapan yang aku kira bukan sangat seberapa. Malah aku jadi hairan dengan fenomena yang tak kuduga.

Aku mengembek lagi untuk entah ke berapa kalinya. Aku hanyalah kambing yang terkeluar dari kelompoknya kerana terpaksa menerima takdir Ilahi. Yang kini cuba hendak kembali memasuki gerombolan di tengah padang tetapi tidak menjadi.

Tidak mengapalah...duhai! Biarlah aku sendirian dahulu membujuk hati. Esok-esok, aku cuba menjengah lagi dan memberi senyum manis seekor kambing.

Dikesementaraan ini, biarlah aku hanya mengembek di sini…….di dalam hati!

Ahad, April 17, 2011

Tak Boleh Tidur

Hari ini dan semalam sedikit letih kerana mengemas rumah. Mujur Angah ringan tulang untuk menolong cat bilik dan pangkas pokok bunga. Lagipun, ini semua kan untuk meraikan hari Raja Seharinya...

Semalaman ibu_suri tidak boleh lelap mata. Hanya pukul 10 pagi tadi baru dia lena. Aku biarkan hingga dia terjaga sendiri jam 5 petang. Memang begitu pusingan tidur ibu_suri. Tak tentu waktu pejamnya. Cuma yang aku perasan masanya berubah sedari kalau dulu jam 1 pagi kemudian 3 pagi kemudiannya 5 pagi. 

Kekadang aku berseloroh;

"Boleh pinjamkan ke rasa tak mengantuk you tu? Esok abang cuti, bolehlah main komputer sampai pagi.."

"You nak main komputer tu? Tak mahu tidoq. Jagaaa.... nanti I baling komputer tu.."

Foto Hiasan
Aku pernah juga sekali dua tak boleh pincing mata hingga lewat pagi. Bila gitu, aku akan buat berbagai kerja rumah - seterika baju, kemas meja dan buku atau lainnya yang tidak membisingkan. Buat kerja rumah malam-malam ni best juga. Tenang dan tenteram. Lebih best kalau hujan malam.

Entah kenapa sejak akhir ini tv  kerap sangat siar filem hantu di lewat malam. Tak macam masa aku sekolah dulu, tv banyak siar rencana atau cerita bersiri.

Entahlah, tv sekarang ini makin banyak karut marutnya. Habis, nak salahkan ibu-bapa kerana tidak mengawal waktu menonton anak-anak mereka...

Jumaat, April 15, 2011

Blogger JH

Semalam, aku terasa kesaorangan di tempat kerja. Blogger JH yang juga sahabat akrab aku selama bekerja di sini pergi ke RSK (Kulim, Kedah) kerana setup Training Centre (LADA) yang baru. Ada desas desus bertiup, jika perkembangan LADA di sana positif, dia mungkin akan terus di transfer ke sana. Bermakna aku akan tinggal kesaorangan di RSM (Penang).

bersama menyertai demo GMI
Selalunya kalau di tempat kerja, kami pasti akan makan bersama di kantin. Malah kekadang curi-curi keluar break sebelum solat Asar di surau. Kami banyak berkongsi cerita hal-hal peribadi, keluarga dan pertubuhan. Kekadang aku menasihatinya. Kekadang dia menasihati aku pula. 

Kalau benar dia akan di transfer ke RSK bermakna aku akan tinggal kesaorangan di RSM. Walaupun ramai kawan-kawan lain tapi takkan sama dengan JH. Rakan yang selalu menolong aku ketika susah dan tumpang gembira bila senang. Rakan yang sesama jatuh bangun dalam pertubuhan, sesama berusrah, sesama bernasyid, sesama bersilat dan sesama ke Gunung Tahan. Malah pernah kami di gelar saudara kembar.

Aku harap persahabatan kami ini akan terus kekal jika pun benar kami tidak akan bersama di RSM lagi.

Semasa memandu  balik dari kerja semalam terasa sayu mendengar lagu ini dari mp3 kereta. Memang benar, kita cuma akan terasa kehilangan bila sesuatu itu sudah tidak ada di tangan.

The Zikr - Antara 2 Cinta

Powered by mp3skull.com

Rabu, April 13, 2011

Kekok

Barangkali ada benar kata-kata blogger JH beberapa hari lalu di surau tempat kerja.

"IM sejak dua menjak ni asyik senyum memanjang"

Aku ingatkan dia kenen aku pasal dapat surat kenaikan pangkat awal April lalu.

ibu_suri dan bakal menantu
"Maklum le nak dapat menantu." sampuk kawanku sorang lagi.

Ohoo... kesitu rupanya!

"Tapi dia pun kekok juga tu nak dapat menantu perempuan. Dalam rumah dia mana ada perempuan melainkan ibu_suri je...."

Betul juga tu. Selama ni dalam rumah ku semuanya anak lelaki. Kalau tak pakai baju atau nak ke bilik air, aku tak kisah sangat sebab semua kami kaum sejenis. Tapi tak lama lagi aku akan dapat menantu perempuan.

Hurmm... nampaknya aku kena buat sikit adjustment dalam kebiasaan hidup seharianku kelak. Dan lagi, aku perlu belajar mempunyai sikap sebagai bapa mertua dan besan. Aduhai... hidup ini tak lepas dari pelbagai ujian. Lepas satu....satu....

Ahad, April 10, 2011

Songkok Tinggi

Aku selalu menemani ibu_suri ke Mesyuarat Agong Koperasi Pelaut Pulau Pinang yang selalunya di adakan di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang. Ramai ahlinya yang datang. Lebih seratus ahli. Kebanyakannya tua-tua belaka. Ada yang bertongkat. Ada yang berjalan terkengkang. Dari jauh pun sanggup datang. Hebat mesyuarat mereka. Terutama ketika agenda belanjawan dibentangkan.

Tadi pagi, aku sendiri hadiri Mesyuarat Agong Bank Persatuan di Institut Kemahiran Belia Negara ( IKBN ). Gitu juga, ramai orang yang datang. 500 lebih. Mak cik tua pun datang. Dengan anak cucu. Gitu juga. Belanjawan adalah agenda utama yang hangat. Mana tak nya... juta-juta RM be...

Tapi tak sama fenomena yang aku sendiri lalui semasa mesyuarat NGO yang aku sendiri menjadi AJK utama satu ketika dulu. Nak dapatkan korum minima 20 orang pun susah. Jenuh keloi!

Namun kenapa situasi begitu berlaku mudah saja jawapannya.....$$$$$....

Di kedua-dua mesyuarat di atas, setiap ahli yang hadir akan dapat wang poket sebaik sahaja mesyuarat tamat. Sebaliknya mesyuarat NGO ini usahkan nak dapat duit poket, kena buat sumbangan lagi ada la...

p/s:...Jika selama ini di dalam blog politik aku selalu terbaca tentang gerombolan songkok tinggi, di mesyuarat Agong Bank Persatuan tadi aku berpeluang terserempak dengan seseorang yang bersongkok tinggi. Senyum sendirian aku mengenangkan ini....

Sabtu, April 09, 2011

Pagi ini...

Selalunya di pagi hujung minggu aku akan membuat roadtour  ke semua blog yang link  dengan di side bar  IM. Pagi selalunya ibu_suri masih tidur kerana dia hanya rasa mengantuk sekitar 3 atau 4 pagi..

Tapi kali ini aku minta maaflah. Tak larat rasanya nak mengadap komputer terlalu lama. Cuma sempat singgah di sekitar 10 blog terkini. Mata mula terasa letih. Sementelah, kerja pun hampir  70% dari waktunya menghadap komputer juga.

Semalam ibu_suri beria-ia suruh aku belikan ayam dan itu...ini.. Dia minta aku masak paprik.

" I ajar la you  masak. " bila dia perasan aku cuba mengelak. Bukan apa, dah lama tak pergi pasar Penanti. Terasa culas. Ala.. kita pi makan kat kedai kegemaran you di Sekolah Islah, Tikam Batu tu aje lah ye...., begitu nanti aku bagi alasan kalau ibu_suri bangun dan bising-bising kat aku bila dia bangun nanti, agaknya!

Trek kegemaran
Sebenarnya, fikiran aku masih bersimpang-siur dengan persiapan majlis akad nikah Angah yang cuma beberapa minggu sahaja lagi ini. Tak sedar masa berlalu begitu cepat. Rupanya dah setahun lebih Angah bertunang.

Mungkin juga tak larat aku ini kerana kesan pergi exercise  di Tasik Mengkuang, semalam. Semalam aku cuti kerja. Jadi ambil peluang .. bukan jogging  pun. Cuma berjalan cepat di trek kegemaran aku di sana.

Dah berumur macam aku ni, berjalan jauh sikit aje, letihnya berhari-hari. Belum lagi bila bergelar warga emas nih!

Rabu, April 06, 2011

Ampunkan Aku, Tuhan!

Benar-benar terperosok
ke satu sudut
yang aku rasa seperti tidak boleh lagi ke mana-mana
melainkan pasrah dengan nasib hari esok.

Puas sudah aku menadah tangan ke langit
namun seperti pintu langit enggan terbuka
atau mungkin doaku
lansung tidak terangkat ke sisiNya.


Adakah kerana terlalu banyak dosa
hingga menghijap sekalian bomantera
yang akhirnya membuatkan Dia
tidak nampak keresahanku yang melanda dada.

Ini bukan ombak laut biasa
bukan juga ombak samudera
ini ombak tsunami namanya
yang paling hebat melanda dada
selama aku bergelar manusia.

Tuhan,
tiadakah lagi ruang untuk aku bergerak?
menghela nafas yang panjang
memandang harapan yang menguak.

Tuhan,
masih adakah sudi Kau ampunkan aku
berikan kekuatan
untuk bangun merengkuh perjalanan berkabus?

Aku tidak punya sesiapa melainkan Kamu
paling tidak,
izinkan aku menangis dan tertidur di ribaMu!

Isnin, April 04, 2011

Mana Minuman?

Membaca tulisan Citarasa Rinduan di sini membuat aku terkenang episod makan malam bersama ibu_suri di Restoran Abang E Capati, Kulim.

Semalam aku singgah dengan tujuan untuk makan yang ringan-ringan sahaja. Aku pesan roti  arab sementara ibu_suri pula roti capati. Minum pula Milo O suam dan aku seperti biasanya di sini pesan Gano tarik.

Tunggu punya tunggu tak juga sampai. Ramai orang ni, ujarku pada ibu_suri yang mula gelisah. Bimbang juga aku kalau-kalau ibu_suri melenting di tengah khalayak ni. Kacau nanti.

Beberapa kali ingatkan pekerja restoran yang nampaknya memang cukup kalut. Entah dari mana datangnya orang seramai ini hari ini. Tak seperti selalu yang agak tenang.

Hem, roti dah sampai. Tapi air masih tak ada. Tak sabar menunggu, kami kunyah perlahan-lahan roti itu. Satu suap, satu suap.... air masih tak sampai. Selalunya di mana-mana restoran pun kami pergi, air sampai dulu, tapi kali ini tidak.

Akhirnya, bila melihatkan pekerja lalu membawa dulang penuh minuman aku capai satu gelas untuk ibu_suri. Jangan banyak ragam; minum je, tegasku pada ibu_suri.

You tak ada minuman?

Tak apa!

Sampai ke sudah minuman itu tak datang. Akhirnya aku pergi ke kaunter, membayar bil. Bila di beritahu bahawa makan untuk 2 orang tapi minuman cuma satu, tidak pula mereka minta maaf kerana kelemahan layanan.

Aku buat muka biasa sahaja bila ibu_suri merungut di sepanjang jalan balik ke rumah. Takkan aku nak simbah minyak pula di ketika api sedang marak, kan! Aku katakan pada ibu_suri, kita perlu berlapang dada. Mereka tu sebenarnya ada masaalah pekerja buat minuman, agaknya. Entahlah, lain kali ibu_suri mahu atau tidak makan lagi di situ!

Sabtu, April 02, 2011

Tidur Rumah Kawan

Sewaktu makan pagi di kantin lokasi kerja, aku sempat diberitahu oleh rakan tentang anaknya yang mula pandai tidur di rumah kawan. Aku amat memahami kebimbangannya kerana insiden itu pernah  aku lewati lama sebelum ini.

"Anak ini kalau masih kecil letih badan kita kerana nak hambat dia berlari dan memanjat ke sana ke mari. Bila dah umur belasan tahun pula letih jiwa raga kerana risau akan arah jalan kehidupannya. Bila dah dewasa letih fikiran pula kerana nak menguruskan kedewasaannya pula."

Foto hiasan Google
Ujarku lagi, "anak ini kalau dah mula balik lewat selepas 8 malam, selalu membeli gula-gula Hacks, masuk bilik, kunci pintu atau sering tidur di rumah kawan.... ada sesuatu yang perlu kita khuatiri."

Pada pandangan aku makan malam bersama adalah aktiviti paling minima perlu ada dalam  setiap komponen keluarga. Paling baiknya, hidangan itu dimasak dan disediakan oleh ibunya sendiri.

"Cuba kita fikir, makanan yang paling kita gemari ialah makanan yang emak kita masak dulu. Dan cuba bayangkan zaman ini; bagi keluarga yang selalu makan di kedai.... kenangan apa yang anak mereka boleh bawa ke masa dewasa mereka kalau ditanya tentang makanan yang paling mereka suka?"

Sebenarnya, kata-kataku pada kawanku itu adalah pengalaman yang aku sendiri lalui dalam kehidupanku; bukan retorik atau puisi yang puitis!

Rabu, Mac 30, 2011

Duit

Aku memang selalu bawa ibu_suri makan di gerai S.A Jaleel tepi Public Bank, Pekan Kepala Batas. Tadi, lepas makan aku pimpin ibu_suri ke kereta seperti selalunya. Masuk dalam kereta dan aku memandu keluar ke jalan raya untuk balik.

"Bang, you ada hilang duit?"

"Tak!"

"I jumpa duit tepi pintu kereta tadi." Sambil menunjuk not yang berkeremut akibat digenggam."Nak buat macam mana ni?"

Aku diam. Duit orang ni. Hisshh... satu masaalah la pulak!

"Bang, I risau la...."

"Bagi kat mesjid aje la. Tak pun bagi kat NGO."

Tak jauh memandu.

"Bang, macam mana nak buat dengan duit ni."

"Simpan je dulu."

Sesampai di rumah; " Bang, you simpan duit tu kat mana?"

Tu la... Kalau simpan duit yang bukan kita sendiri punya jadi gini lah. Tak tenteram dibuatnya.." Rungutku.

Satu kerja la pulak nak fikir pasal duit ni!

Ahad, Mac 27, 2011

Tekanan

Bagaimana agaknya sikap kalian bila berada dalam tekanan yang memuncak?

IM hadiri satu majlis perkahwinan semalam. Bukan orang lain, saudara ibu_suri. Kira saudara IM jugalah. Majlis dibuat secara kecil-kecilan sahaja. Tu pun, kira ratus orang juga yang datang. 

Penang memang musim hujan yang tak menentu. Semalam, hujan sedari pagi hingga petang. Urusan menyiapkan khemah kenduri jadi serba basah. Lauk pauk yang di amanahkan kepada orang lain untuk memasak masih belum sampai. Majlis tahlil yang bermula jam 11.30 sudah berakhir. Bila dijemput mereka ke meja untuk jamuan, cuma yang ada lauk pauk. Nasi?

Ketika itu aku sudah dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena. Aku terus ambil inisiatif mengelola hidangan meja. Mujur ada nasi rupanya. Masih panas. Hmmm.... Aku mengaut nasi dan isi ke dalam pinggan demi pinggan. Bila nasi di situ habis aku memberitahu tuan rumah.... nasi dah habis!

Tuan rumah masuk ke dapur dan bertanya isterinya... Mana XXXX tak sampai lagi ni. Dok  'on the way' dari tadi?

"Tak tahulah bang....Hujan macam ni lambat sikit kut. Sabaq la..."

"Aku dah agak dah.... aku dah agak dah...." suaranya tinggi sambil menepuk dahi dan terus tumbang!

Kelam labut aku dan beberapa orang menguruskan dia.

"Abang memang macam tu. Bukan boleh tertekan sikit...!"

Masa majlis perkahwinan anaknya lelakinya tahun lalu juga begitu. Dia tumbang lansung terhantuk ke mesin basuh. Terpaksa digegaskan ke hospital kerana mulut berbuih. Aku ambil alih tugasan sebagai tuan rumah untuk menyambut tetamu yang datang.

Sabtu, Mac 26, 2011

Aku Percaya

Kesihatan aku masih lagi berlegar-legar dalam badan. Sekejap kebah, sekejap lemah. Walaupun ramai orang kata ibu_suri dah nampak ok, namun keperluan dia setiap hari tak boleh tidak mesti dipenuhi. Ini membuatkan aku tidak ada masa untuk merihatkan diri kecuali bila lepas 12 malam.

Rumah usah dikata. Tak berkemas sebulan lebih. Malu rasanya kalau ada tetamu yang datang. Luar rumah juga berselerak. Hendaknya hujan asyik mencurah turun sahaja dah hampir seminggu lebih.

Aku masih beruntung juga kerana punyai Along dan Angah yang walaupun tidak membantu secara terus tapi menyokong aku dari belakang. Akhmal tidak tahu tinggal di mana. Cuma, bila aku tiada dia datang jenguk ibu_suri. Itupun aku tahu, kerana mahu ambil duit belanja saku.

kida
Bila aku renung semula, ini semua adalah kifarah dari dosa-dosaku masa lalu, agaknya. Kecuaian aku dalam menjaga amal ibadah, kecuaian aku dalam memikul amanah dan kecuaian aku dalam menjalankan tanggungjawap sebagai anak, kawan, saudara dan ketua keluarga.

Apapun, aku masih bersyukur kerana masih diberi waktu untuk memperbaiki mana yang rosak dan menambah mana yang kurang dalam bekalanku menuju hari yang satu. Aku percaya, Allah masih memandang ke wajahku ketika aku berdoa padaNya dan masih mendengar keluhanku ketika aku memohon padaNya!

Mak... InsyaAllah, aku akan selalu jenguk kamu di kampung selagi aku terdaya. Usah bimbangkan Kida di PULAPOL. Muga dia dijauhi dari penyakit yang membawa maut itu!

Khamis, Mac 24, 2011

Kesan Positif!

Nampaknya, sejak menggunakan botol ke 2, krim rambut Tropicana BioHearbs seperti n3ku di sini, kelihatannya ada kesan positif. Rambut ibu_suri sudah tidak banyak gugur. Kelihatan agak sihat dan tidak fobia lagi untuk menyikat. Keadan ini sikit sebanyak memberi impak postif juga pada emosi ibu_suri. Tidak lagilah merengek pada aku setiap kali lepas menyikat rambut lepas mandi.
 
Khabarnya ada produk yang lebih baik dari krim rambut yakni serum. Tapi harganya mahal sebab itu aku cuma beli krim rambut sahaja.

Sebenarnya ramai yang menyarankan aku menggunakan berbagai cara. Ada yang suruh guna minyak zaitun. Ada juga cadangkan perap dengan santan kelapa. Mak aku di kampung pula suruh masak santan hingga menjadi minyak. Dan minyak itu dilumurkan ke kepala.

Disamping guna Tropicana BioHerbs, aku juga guna syampu anti gugur bila cuci rambut ibu_suri. Memang meresahkan tatkala mensyampu rambut ibu_suri, rambutnya bertaburan atas bahu. Aku terpaksa menggosok kepala ibu_suri ala kadar sahaja.

Syukurlah padaNya terhadap ini semua. Satu demi satu aku lalui dengan tabah. Esok lusa, belum pasti ujian apa pula yang menanti!

Selasa, Mac 22, 2011

Nyampangnya..

Aku ke KL untuk melihat apa sebenarnya yang tercatat dalam rekod CTOS hinggakan aku tak layak membuat pinjaman. Rupanya salah satu ialah laptop yang aku beli entah zaman bila masih belum selesai kesnya. Aku masih terhutang sekian RM.

Aku cuba hubungi syarikat jualbeli secara mudah berkenaan yang beribupejabat di Bayan Lepas.

"Tapi you tak bagitau pun yang saya perlu bayar sebanyak itu. Surat apa pun tak ada?"

"You ada tukar no talipon ka? 012 bla..bla.. bla.. ini you masih guna?"

"I dah tukar Celcom."

"Ha... itu pasal la... I pun not sure sebab kes awak ni dulu orang lain yang handle!"

Huuu... malas aku nak sembang panjang. Senang aje bunyinya. Bila gagal hubungi pelanggannya, dia letak nama kita dalam CTOS. Dia tahu, lambat laun, pelanggan tersebut pasti akan hubungi semula mereka seperti keadaan aku sekarang ini.

Nyampangnya emosi ibu_suri ok selama aku ke KL ini. Walaupun tekak aku pedih, badan seram sejuk dan jiwa sedikit lemah namun aku gagahi juga memandu dalam hujan lebat sepanjang jalan pergi dan balik KL.

Ahad, Mac 20, 2011

Kasih Dan Ihsan

Kalau sebelum ini aku menggunakan sepan untuk menggosok badan ibu_suri namun tidak hari ini. Merasai sendiri sentuhan kulit ke kulit rupanya membuat rasa kasih dan ihsan aku lebih indah dan akrab.

Kasih aku kerana mengenangkan dialah teman hidupku sejak >20tahun lalu. Bersama merenangi lautan hidup yang penuh gelombang. 

Ihsan pula ialah kerana aku tahu saat begini dia amat mengharapkan keikhlasan 100% aku untuk menjaga dan ambil peduli akan dirinya  yang  sudah tidak mampu berdikari.

Aku lap badannya dan mencarikan baju yang dia mahukan. Sediakan ubat mengikut jadual dan bawa dia bersiar-siar hampir setiap malam dan hujung minggu untuk hiburan. Selalu aku tiupkan peransang dan kata-kata manis bila saja dia mengadu sakit atau susah hati. Walaupun kekadang bukan sedikit kejemuan dan rasa marah singgah di celah-celah keletihan aku sebagai insan biasa namun aku tahu, dia amat memerlukan aku. Aku tahu dia menaruh sepenuh kepercayaan kepada aku. Aku juga tahu setiap hari dia menunggu aku balik dari kerja dan meminta aku memeluknya untuk mendapatkan kekuatan dirinya sendiri!

Kiranya aku masih beruntung kerana masih punya dia sebagai teman hidup, masih punya kesihatan yang baik untuk uruskan dia dan punyai anak-anak yang saling menyokong walaupun mungkin tak seberapa!

Jumaat, Mac 18, 2011

Terlupa Dia

Perut aku masih rasa senak. Pinggang juga rasa lenguh tak terkata. Aku tak pernah alami sakit sebegini sebelum ini. Aku cuma pernah dengar orang lain yang mengadu. Hari ini baru aku tahu rasanya bagaimana.

3 hari sudah aku ambil halfday leave. Semalam m/c. Isnin pula akan bercuti untuk ke KL. Pendekata, minggu ni aku banyak cuti dari bekerja. Mujur aku amalkan sikap kerja hari ini aku cuba habiskan hari ini. Dalam situasi keluargaku yang sebegini  aku perlu  siap siaga. Kereta mesti tip top. Petrol mesti jangan di tahap E. Cuti mesti simpan sedikit. Kad tol selalu ada kredit. Bankard juga mesti ada sedikit baki. Cash money mesti ada di 2 lokasi-lokasi selalu guna dan lokasi kecemasan. Bila lokasi kecemasan diguna, kena pergi bank untuk diganti semula. Kalau di bank juga tahap jingga, otak kena ditrigger untuk mencari sumber lain.

Alangkah bagusnya kalau begini aku rancang untuk masa hadapan. Masa yang mana aku sudah tidak ada talian hayat lain selain doa anak yang soleh, amal baik dan sedekah jariah semasa di dunia. Sayangnya aku cuma teringat Dia ketika aku sedang sakit. Bila aku sihat dan ketawa semula, aku terlupa akan hadirnya Dia!