BLOG BARU..

Sayugia ingin aku beritahu. Aku udah bina blog baru. Blog ini akan aku tinggalkan sebagai harta berharga dalam hidup.

Kalau sudi singgah di sini!

Terima kasih atas selama ini kalian tekun melayari blog aku mengutip pengetahuan dan memberi pandangan.

Sabtu, Julai 31, 2010

Kampung

Sedari semalam aku nak update blog ini sebenarnya. Tapi dek banyak sangat ok...ek ibu_suri, aku terus menutup pc. Selepas picit-picit kali ibu_suri yang mengadu sakit-sakit, aku membentang tempat tidur. Aku mudah tidur. Letak sahaja kepala, terus ghaib!

Aku cuba membodek ibu_suri untuk balik kampung hari ini. Adik beradik di kampung ada buat kenduri doa selamat menyambut Ramadhan di rumah mak. Mereka beria-ia minta aku balik.

Telahan aku memang tepat bahawa ibu_suri tidak mahu balik. Jadi aku minta Along untuk balik. Setidak-tidaknya ada juga waris aku di majlis itu.

Mak dan abah aku memang dari dulu suka buat kenduri doa selamat. Maka sebab itulah agaknya emak dan abah aku dihormati dan dikenali hampir seluruh kampung. Tanya sahaja Mak Andak, pasti orang kampung boleh tunjukkan di mana rumahnya.

... rumahku di kampung. klik Sri Mersing, blog yang aku buat khas untuk kampungku.

Sesekali aku terfikir baik juga fungsi kenduri doa selamat ini. Selain untuk menitip doa buat kesejahteraan keluarga, memberi makan kepada jiran, merapatkan ukhuwwah juga boleh memulihkan semangat dan menghiburkan hati seperti mak aku yang pastinya rindu pada suasana keramaian.

Apa-apa pun, aku reda dengan apa yang aku ada dan yang aku lalui. Sekalipun geraf kesihatan ibu_suri semakin merudum, aku tetap positif dan kuat semangat. Bukan sahaja kuat semangat tetapi dilihat kuat semangat.

Teringat pertanyaan spontan blogger Jendela hati ( JH ) semalam yang seperti menjentik kelalaian di hati;

"IM rajin buat solat Dhuha?"

"Di sini ( tempat kerja ), jarang. Di rumah adalah! "

Aku akur akan kelebihan solat Dhuha ( klik di sini ). Justru, aku menanam azam untuk konsisten bersolat Dhula dan menekan punat aktif untuk solat sunat yang lain.

Moga kalian juga gitu!

Rabu, Julai 28, 2010

Hospital BM...3 - Caj Talipon

Masuk hari ke 2 aku di hospital, tenaga bateri talipon selular aku makin kehabisan. Memang akan susah aku jika bateri talipon ini tidak dicaj semula. Keperluan aku untuk menalipon dan menghantar mesej akan terbantut.

Aku teringat perbualan aku dengan Angah semalam;

"Tadi ayah pergi beli ayaq dan paper kat HospiMart. Ayah ternampak iklan untuk caj talipon. First time la ayah jumpa ada kedai boleh kita caj talipon. Tak sangka, caj talipon pun boleh dibuat bisnes."

"Boleh percaya ke ayah? Tak hilang ke?"

"Boleh la kut. Kalau ada kes hilang tentu ada orang repot polis. Tak boleh berniaga la depa tu!"

Jadi, aku pun beritahu ibu_suri hendak turun sekejap mengecaj talipon.

"Encik datang dalam 2 jam dari sekarang," beritahu staf kaunter setelah aku mengisi butiran nama, nombor KP dan jenis talipon ke dalam buku rekod.

"Encik off talipon ni dulu, ya!"

Dan setelah 2 jam, aku kembali dapatkan talipon selularku. Aku senyum sendirian bila melihatkan petunjuk bar bateri aku menandakan cukup caj.

Berguna juga perkhidmatan caj talipon ini bagi orang-orang yang sesak macam aku, fikirku.

Kalau Husin Lempoyang tahu tentu dia juga akan berkata;

"Dunia... dunia... Berniaga caj talipon lagi untung dari berniaga unta.... WOW!"

Selasa, Julai 27, 2010

Biarpun Perjalanan Ini Panjang

Tuhan,

biarpun perjalanan ini terasa panjang
namun ianya lebih baik
kerana buntil yang kugalas untuk bekalan hari esok
masih belum terusik.

sekalipun beban ini terasa amat berat
mungkin ianya sekadar yang aku terpikul
mengkifarah dosa yang ada
agar kurang pedihnya bila dibalas tatkala di sana.

hatta lorong hidup ini teramat keras kerikilnya
ianya lebih baik sebagai pengingat
pada aku yang mudah lupa
jika ditakdirkan hidup dalam serba ada.

Tuhan,
begini lebih molek
dari begitu
kalau begitu akan membuatkan aku terlupa
siapa Kamu di sisiku!

Walaupun aku sering kelemasan
sering kepanasan
sering kehausan
aku tahu
kasihMu yang kubutuhkan
berada dekat disarafku
berada dekat didadaku!

Ahad, Julai 25, 2010

Hospital BM...2 - Ziarah

Selama ibu_suri di wad tidak ramai yang datang ziarah. Memang selalu begitulah nasib aku. Agaknya sebab aku sendiri dulupun jarang mahu ziarah kawan-kawan atau saudara-mara yang sakit. Jadi Tuhan balaslah pada aku secara tunai di dunia ini.

Yang selalu datang cuma adikku yang tinggal di Kulim; Darul dan isterinya Syafinaz. Syafinazlah yang banyak membantu aku memandikan ibu_suri hatta membasuh n*j*s bila ibu_suri ke tandas. Aku mana boleh masuk ke tandas perempuan.

Aku harap sangat adik-beradik ibu_suri datang membantu namun yang ada cuma kakaknya yang tinggal setaman denganku. Itupun selama 3 hari ibu_suri terlantar di wad cuma sekali hadirnya. Pun, aku dimaklumkan kemudiannya yang anak keduanya Ayu juga dimasukkan ke Bagan Specialist Center kerana pembedahan kecil membuang darah beku di peha.

Malam ke 3, sister tidak membenarkan aku menjaga ibu_suri. Aku minta tolong dari Siti, anak abang kepada ibu_suri yang paling tua yang pernah kami jaga dan sekolahkan sebelum adanya Akhmal. Walaupun sedikit rugged tapi yang rugged begitulah sudi menolongku. Yang lawa-lawa, yang educated tak nampak batang hidung pun!

pelatih dari KLMU juga sering merawat ibu_suri. manis-manis da...

Emakku datang dari kampung sekereta dengan adik-adik perempuan pada hari ke2. Sedikit sebanyak ziarah mereka meringankan kusut masai yang aku tanggung. Kini aku tahu betapa bernilainya ziarah kita kepada mereka yang sakit ataupun susah. Walaupun nampaknya cuma seketika dan seperti tiada apa-apa namun sebenarnya ziarah itu dapat melegakan pesakit malah keluarganya. Tapi syarat ziarah ialah jangan terlalu lama dan berceritalah yang baik-baik dan positif.

Selain dari mereka ada datang Zulkarnain Ahmad; bos FMS yang bertanggungjawap terhadap kebersihan hospital. Aku diajaknya ke ofis beliau yang terletak di sebelah pintu masuk utama hospital. Sempat diberinya aku beberapa paket susu Hi-Goat. Terang Zul, susu kambing yang terbaik di dunia terdapat di Israel. Israel pandai. Dari sirah nabi dia tahu akan kebaikan susu kambing. Jadi mereka promosi susu lembu dan jual kepada orang lain. Mereka pula minum susu kambing yang memang pun menjadi minuman para nabi.

Bila ada yang datang ziarah, dapatlah aku keluar makan, mandi, sembahyang di surau berdekatan dan rileks sekejap. Apa-apa pun aku bersyukurlah dengan apa yang ada.

Sesungguhnya begini lebih baik dari lansung tiada siapa yang datang ziarah.

Sabtu, Julai 24, 2010

Hospital BM...1 - Masuk Wad

Ahad lepas aku bawa ibu_suri ke klinik. Dia mengadu kebas mulut. Dan lebih mengkhuatirkan aku bila melihat dia kerap mengelap air liur yang spontan mengalir keluar dari celah bibir kiri.

Bila saja doktor Klinik 1 Utama, BM itu melihat tahap tekanan darah ibu_suri yang mencecah 200+/100+, tanpa banyak soal doktor terus mencapai kertas, menulis sesuatu lalu mengarahkan aku membawa ibu_suri ke hospital dengan segera. Arakian, terasa setiap lampu isyarat dan kereta yang aku bontoti bergerak teramat perlahan.

Sesampai di Hospital Bukit Mertajam kira-kira jam 9.30 malam, ibu_suri diberi laluan istimewa untuk di periksa segera. Ternyata tekanan darah ibu_suri membimbangkan. Aku di temuduga dengan berbagai soalan. Aku pun ceritakan semua penyakit terkini yang diidapi ibu_suri; kencing manis, darah tinggi, ahmar dan bi-polar disorder tahap murung.

Seperti yang aku jangka dan harapkan, ibu_suri di tolak ke katil 1-3. Dan aku diberi kebenaran istimewa untuk menunggu ibu_suri 24 jam walaupun wad 10 adalah wad khas untuk wanita.

"Eh, patient ni bi-polar la.." beritahu jururawat itu kepada kawannya yang sedang menyiapkan cadar katil.

"Selalunya kalau kes bi-polar, pesakit kami letak dekat dengan meja kami supaya senang kami jaga. Tapi hari ni semua katil penuh." terang jururawat kepada aku.

Jururawat dan sister di sini baik-baik dan manis-manis belaka hatta yang memboyot pun. Walaupun saban ketika aku mendengar bunyi dengkur atau batuk berkahak dari pesakit yang asma namun memandang muka jururawat dan pekerja yang mencuci wad, hati jadi sejuk.

Walaupun 24 jam aku di hospital dengan mandi sekali sehari, makan tidak menentu dan sembahyang di kerusi sahaja, aku masih boleh cool hingga ibu_suri bertanya;

"U tak risau ke tengok I?"

"Relaks dan tenang. Kalau abang risau, sapa pulak nak tengok abang!" cuba memberi semangat.

Yang rimasnya, saban ketika dan lebih-lebih lagi waktu malam ibu_suri asyik mengadu tidak selesa berbaring di katil wad dan merengek hendak balik. Juga menyalahkan aku kerana menghantarnya ke GH dan bukan ke Bagan Specialist Centre seperti lazimnya sebelum ini. Aku terpaksa selalu menyabarkannya. Hingga kekadang aku menjadi kurang sabar!

Kalian... jagalah pasangan hidup kalian sebaik-baiknya jika kalian benar-benar sayangkan dia dan mahu hidup bahagia bersama di rumah sendiri yang permai!

Khamis, Julai 22, 2010

Giz, Teruslah Menulis!

Mulanya aku ingin membuat catatan tentang ibu_suri di wad 10 tempoh hari. Namun bila melihatkan blog milik Giz menaik di side bar, aku seperti diserbu kegembiraan. Tak tahu kenapa.


Aku harap Giz akan terus aktif semula menulis blog. Giz adalah satu-satunya blogger dari tanah seberang yang bagi IM amat istimewa. Istimewanya kerana Giz adalah insan Disleksia yang berjaya membina kehidupannya.

Aku selalu berangan-angan supaya Akhmal akan dapat mengikuti jejak Giz. Menjadi seorang insan yang mempunyai aktiviti yang sihat. Mampu menulis blog (atau apa-apa medium pun) walau mungkin bukan sesempurna dan sehebat orang lain.

Buat rakan bloggerku di sini, ziarahlah Giz di alamat ini. Atau kalau mahu terus membaca tulisan-tulisannya tentang keDISLEKSIAannya, boleh juga mampir di sini. Aku pasti kalian juga akan berasa kagum.

Namun, untuk membaca Catatan Kecil oleh Giz ini memerlukan tumpuan dan kesabaran. Bahasa dan atur hurufnya menunjukkan budaya dan sindrom yang dialaminya.

Dan yang maha penting; jangan lupa tinggalkan komen buat penyuntik semangatnya. Lagipun, adab berblogging, mesti tinggalkan jejak sebelum pamit sebagai tanda ikram muslimin. Tak gitu!

Giz.... Teruslah menulis!

Selasa, Julai 20, 2010

CgMas, Aku Juga Rindukan Kedamaian!

CgMas,

Aku sebenarnya baru balik dari Hospital Bukit Mertajam. Masuk malam ini sudah 3 malam ibu_suri terlantar di wad 10. Selepas makan dan membasuh pakaian yang melambak di dalam mesin basuh, aku membuka komputer yang sudah 3 malam juga tidak kusentuh. Rindu hendak menatap blog IMku yang lama kutinggalkan.

Tetapi agak terperanjat juga aku bila terbaca catatan mu di dalam cit cat box blogku.

Aku tidak faham kenapa beria-ia benar kau hendak mengetahui apa itu STB. Sepertilah aku menyimpan rahsia yang terlalu besar dan terlalu abstrak. Sepertilah aku ini pesalah besar hingga kau mahu menyerang cit cat box aku semata-mata kalau aku gagal memberi makna itu STB?

Puaskah hati kau kalau aku katakan STB itu cuma Sekolah Tunas Bakti? Berbaloikah asakkan kau jika aku katakan kau boleh hubungi atau pergi ke sini.

Dari apa yang aku tahu sedikit-sedikit, kau adalah insan yang santun. Yang aku pasti punyai hati yang lembut dan tabah dalam kehidupan. Membaca tulisan-tulisan dalam blogmu, aku pasti kau seperti aku juga. Rindukan kedamaian. Idamkan persahabatan yang luhur. Tagihkan keamanan di dunia kita sendiri.

Hemm... CgMas,

Kehidupan mesti di teruskan, tidak gitu. Gitu juga dengan aku. Walaupun berhadapan dengan 2 permasalahan besar yakni Akhmal di STB dan kini ibu_suri di HBM, namun aku masih tetap tabah dan menghadapi semua ini dengan penuh pandangan yang positif.

CgMas,

Akhmal menghidap sindrom Disleksia sementara ibu_suri pula menghidap bi-polar disorder. Akhmal di rawat di STB sementara ibu_suri di rawat di HBM. Aku berada di antara mereka berdua yang sebenarnya amat memerlukan perhatianku sebagai bapa dan sebagai suami.

Pun, malam ini aku keletihan kerana sudah 2 hari kurang tidur. Melayani kerenah ibu_suri sekaligus menerima ziarah rakan taulan dan saudara mara di katil wad yang setidak-tidaknya menyuntik motivasi ke dalam diriku.

Muga-muga baliknya aku sekejap malam ini sambil menatap blog dan tulisan-tulisan rakan blogger termasuk catatanmu CgMas, menambah perasa untuk hati sedikit terhibur!

CgMas,

Maafkan aku kerana membiarkan kau lemas dalam teka-teki hingga membuatkan kau sedikit hinggar! Sekejap lagi aku akan kembali ke sisi ibu_suri yang aku agak sudah berdengkur di katil wad sekarang ini. Entah bila pula aku dapat menatap blog kesayanganku ini.

Esok aku akan bercuti buat hari ke3. Aku tahu, pelanggan aku tercari-cari dan menanti di pintu ofisku. Aku pasti talipon juga berdering-dering minta dijawap.

Sebenarnya, aku juga rindu pada kedamaian dan kerukunan hidup seperti mana dirimu, CgMas!

Aku masih ingat pesan mak ku tadi yang datang dari Ipoh walaupun terpaksa berkerusi roda;

"IM, pesan mak cuma satu saja. Banyakkan sabar dan ingatlah bahawa semua ini Allah yang tentukan. Dia yang mempunyai kita dan Dia berhak mengambilnya semula. Kita ini sebenar tidak punya apa-apa. Dan tidak ada nilai apa-apa!"

Sabtu, Julai 17, 2010

Tahniah, IM!

Bukan senang hendak menukar kebiasaan yang sudah bertahun-tahun. Sejak kenal dapur, aku sudah pun mengguna pencuci pinggan seperti Axion, Senang, Kuat dan seumpamanya. Mudah. Dengan sekali colek menggunakan serat pengelap, pinggan dapat dibersihkan hingga ber'ciut'.

Tapi akhir-akhir aku cuba untuk membuat anjakan. Bukan anjakan paradigma tetapi anjakan kebiasaan. Aku seboleh-bolehnya mahu menggunakan produk keluaran syarikat Islam seperti HPA.

Aku pun cuba beli pencuci pinggan WIDURI. Heh.. heh.. renyah sikit bila guna pencuci ini. Kena sediakan bekas asing. Picitkan secukupnya sabun cairan pencuci dan tuangkan air secukupnya. Perlu buat begini setiap 2 kali seminggu untuk dapatkan kebersihan yang optimum.

Walaupun renyah tetapi aku rasa puas kerana menjadi salah seorang pengguna produk orang kita sendiri. Rasa yakin dengan kebersihan dan kesuciannya. Juga rasa berbaloi wang yang dikeluarkan. Rasa ukhuwwah itu lebih akrab dengan saudara seagama sendiri.


Khamis, Julai 15, 2010

Terima Kasih, Kalian!

Bukan mudah meredah kesesakan lalulintas pepagi begini. Tapi begitulah yang mesti aku terokai mutakhir ini.

Pagi ini aku tinggalkan ibu_suri di rumah kakak sulongnya di Bukit Jambul. Sudah pastinya hari ini aku lewat masuk ofis. Sepanjang jalan Sungai Nibong pula entah kenapa pagi ini sendat dengan kenderaan. Tidak seperti selalunya.

Aku tahu ibu_suri bukan selesa berada di rumah orang. Bila malam selalu dia merayu kepada aku untuk tidak mahu ke mana-mana. Namun bagi aku berada seorang diri di rumah lebih membuatkan dia sunyi, takut dan kosong. Bila tengahari sahaja mesti dia menalipon aku supaya balik segera kerana dia merasa terlalu gelisah dan risau tidak berpunca.

Setidak-tidaknya bila berada di rumah kakaknya, dia boleh bercakap walaupun tidak selancar selalu. Ada yang memerhatikannya jika dia ke bilik air. Juga, harap-harap dia boleh jamah sedikit makanan dengan pujukan kakaknya kelak. Dan muga cara begini menjadi terapi yang baik buat saikologi ibu_suri.

Sudah 3 minggu begini. Sebelum itu aku kerap menghantarnya ke rumah kakaknya yang ke3 di Bertam Perdana, Kepala Batas. Bayangkan aku terpaksa menungkah kesesakan kenderaan yang berbagai. Minyak dan tol apatah lagi. Satu tangki Kancil itu kalau sebelum ini boleh tampung untuk 3 kali ulang-alik tempat kerja dan sedikit untuk keluar makan malam tapi kini cukup untuk 2 kali sahaja dan perlu isian semula.

Beberapa hari ini kerap sahabat dan saudara-mara datang ziarah. Khabarnya, jiran juga mahu datang Cuma mencari waktu yang sesuai. Semalam terdengar pula cerita kurang sedap yang rupanya sedang berlegar di kalangan jiran keliling rumah.

“Betul ke ayah depa kata ibu dot dot dot?” Tanya anak menakan.

Aku cuma senyum bercampur kepelikan. Macammana pulak dia orang ni boleh bersangkaan begitu.

“Datanglah ke rumah, tengok sendiri.”

Aku dapat rasakan kunjungan saudara dan rakan-rakan sedikit sebanyak mengurangkan stress yang aku hadapi. Walaupun aku tahu ibu_suri kurang selesa dengan kunjungan mereka yang kekadang ramai dan berjam-jam; yang kekadang gurauan atau ceceran mereka itu sedikit keterlaluan tanpa menyangka ibu_suri bukan normal seperti dulu malah lebih perasa dan berprasangka namun aku tetap ingin berterima kasih dengan mereka. Aku percaya ini juga satu lagi terapi yang baik untuk ibu_suri.

Setidak-tidaknya aku masih dapat merasakan bahawa mereka masih mengingati kepada kami suami isteri yang kini sudah semakin kurang bercampur dengan jiran dan beraktiviti bersama rakan-rakan se-NGO.

Begitulah indahnya ukhuwwahfillah!

Ahad, Julai 11, 2010

Kacang Cerdik

Ziarah Akhmal seperti selalunya 2 minggu sekali, hari ini. Termasuk kali ini pula, sudah 4 kali ziarah aku ke sini di iringi dengan hujan lebat. Apatah lagi, Taiping adalah kawasan hujan paling panjang di Malaysia. Tidak hairanlah kalau hutan-hutan di sini hijau dan kawasan di sini seringnya sejuk, tenteram dan damai.

Kata Akhmal, jika ada rezeki dia akan keluar awal dari jangkaan asal Rekod prestasinya di sini sudah mencecah gred A walaupun ada sekali dia di rotan kerana membuat kesalahan.

Hmm.. Aku menerima berita ini dengan 2 perasaan. Biarlah aku tidak ceritakan perasaan itu di sini.

Sewaktu balik aku sempat menegur polis yang bertugas di bilik pengawal.

"Waa... bagus juga boleh tengok laptop di sini. Line di sini ok ke? Sini kan kawasan hutan!"

"Hmm.. ok. Saya sebenarnya tengah baca tentang khasiat kacang, ni. Rupanya kacang ni baik untuk kesihatan ya. Ada banyak protein. Selama ni saya ingatkan kacang ni tak bagus sebab boleh datangkan kolestrol."

Mungkin polis tu rasa tak berapa sedap ditegur begitu. Selalunya masa bertugas mana boleh buat kerja lain. Tapi aku tak kisah kerana aku faham tugas menjaga STB ni kekadang boring. Asyik terpacak aje tengok monyet bergayut pun tak boleh tahan juga.

"Tak bagus tu bagi orang yang ada penyakit," balasku.

"Orang Yahudi, isteri mereka yang mengandung digalakkan memakan kacang sebab mereka percaya kacang boleh membuatkan anak mereka menjadi manusia bijak. Agaknya, sebab itulah orang Yahudi sekarang ini kebanyakannya bijak pandai sampaikan boleh control satu dunia."

( rujuk di sini )

Teringat pula akan aku satu jenis kacang yang dipanggil kacang cerdik. Ni, Akhmal la yang bagi tahu aku. Dan entah kenapa pula dipanggil kacang cerdik?



foto ihsan dari www.kurmawi.com

Sabtu, Julai 10, 2010

Sahabat Sejati

Jarang aku ini pergi ke klinik semata-mata hendak mengambil ubat. Selalunya aku akan menunggu hingga masuk ke hari bekerja, baru aku ke klinik semata-mata ehem.. untuk dapatkan MC. Kemudian ubat itu akan terletak di atas meja tidak berusik.

Tapi semalam, tidak begitu. Jam 4 petang aku mula terasa seram sejuk, sakit kepala, sakit badan serta beberapa kali ke tandas.

"Sat g malam kita pi klinik, ya!" beritahu aku kepada ibu_suri.

"Tapi badan u tak panas pun!" sambil ibu_suri meletakkan belakang tangannya ke tengkukku.

"Baru nak mula ni."

Jika aku demam dan asyik terbaring, aku pasti tidak dapat melayani ibu_suri dengan sebaiknya. Bimbang juga aku kalau ibu_suri merengek seperti selalu sedangkan aku dengan sakit kepala dan sakit badan, akan ada 2 masalah pula.

Betul juga nasihat dari sahabat-sahabatku sebelum ini.

"IM kena jaga kesihatan. Kalau IM sakit, bukan saja IM yang susah, ibu_suri juga akan susah."

Aku tiba-tiba teringat mutiara kata ini yang aku selalu guna semasa menulis surat kepada sahabat;

"Sahabat yang ramai umpama butir-butir pasir di pantai. Sahabat yang sejati umpama mutiara di celah-celah pasir itu."

Layakkah aku menjadi mutiara di celah pepasir itu?

Khamis, Julai 08, 2010

Al Fatihah Buat Abah

Aku kagum dengan 'pemergian' abah aku dalam 2 perkara. Dan aku harap aku dapat mencontohinya walaupun berkemungkinan ianya jauh dari mungkin.

Abah, walaupun tidak berkelulusan setinggi dan bergaji ribu-ribu seperti aku, 2 perkara ini belum tentu boleh aku warisi.

Satunya pemergian abahku ke alam Baqa' tidak lansung menyusahkan isteri dan anak-anaknya. Seminggu sahaja dia berada di hospital setelah disahkan menghadapi kegagalan fungsi ginjal. Setelah seminggu rawatan, seminggu pula berada di rumah. Tanpa sumbangan dari aku, adik-adikku menjaga makan mandi abah. Kemudian abah pergi dalam keadaan yang mudah dan aman.


Keduanya pemergian abah tidak sedikit pun meninggalkan hutang. Sebaliknya emak ditinggalkan dengan sedikit simpanan bank dan pencen. Sebuah rumah sederhana besar dengan sebidang tanah walaupun sekangkang kera dengan anak-anak yang tinggal di sekelilingnya untuk menjaga emak.

Mudah dan simple hidup abah. Hatinya tidak pernah ada hasad dengki dan sangka buruk terhadap lain orang. Tidak pernah mengadu sakit lutut, darah tinggi atau lelah. Tidak pernah cerewet dengan apa yang dipakai dan dimasak oleh emak.

Pemergian abah di kala umur melebihi 70 tahun sebenarnya menjadi garis ukur prestasi aku dikala usia ini.

Al Fatihah buat abah yang entah kenapa aku sering mengingati dan menghargainya. Selalu!

Selasa, Julai 06, 2010

Hakikat Hidup

Letih. Memang letih. Lebih-lebih lagi kalau ditanya soalan yang sama bertubi-tubi.

"Bila I nak baik?"

"Abang tak kesian kat I ke?"

Semalam, selepas sahaja mandi dan makan ubat, ibu_suri minta aku temankan dia di katil hingga tidur,

"I tak mahu u tinggalkan I. kalau boleh I mau u sentiasa ada di tepi I"

Hmmmmm........

"Masalah u ialah u masih tak dapat terima hakikat yang u ni ditakdirkan Tuhan mendapat sakit ini. Cuba u tengok mak abang, dapat stroke hingga lumpuh sebelah kiri tapi mak abang kelihatannya cukup tabah. Dan dia masih beruntung berbanding kawan mak abang yang selalu car pool dengan abang tu. Mak dia stroke seluruh badan. Terbaring sepanjang hari. Hendak bercakap pun sukar. Hanya guna bahasa isyarat."

Aku urut-urut tangan ibu_suri. Usap kepalanya. Dan picit-picit bahunya. Muga-muga sentuhan yang begini akan dapat mengaruhkan kehangatan dan kemesraan sekaligus mengurangkan ketegangan di jiwa ibu_suri.

Sebenarnya, sikap ibu_suri yang tidak sabar dan sukar mengakui hakikat diri adalah antara faktor yang membuatkan dirinya semakin lemah.

Semalam, seharian ibu_suri tidak mahu makan. Badannya makin lesu. Beratnya turun 1 kilogram lagi.

Adapun, aku sendiri sesekali merasa letih menulis perihal ibu_suri. Letih kerana seperti tidak ada modal lain untuk ditulis. Namun, itulah hakikatnya duniaku kini.

Akhirnya ......... aku yang ........ ZZZZZzzzzzzzzzzzzzzz....... di sisi ibu_suri!

Ahad, Julai 04, 2010

Katak Hijau

Aku ada menceritakan tentang usaha pengubatan ibu_suri dalam entri Ayo Dalam Mangkok. Sebenarnya hingga ke hari ini ada beberapa siri usaha pengubatan dilakukan.

Selepas seminggu usaha Ayo Dalam Mangkok dan hasilnya masih negatif, aku di ajak oleh birasku untuk ke Guar Jering.


Memandu di atas ban jauh masuk ke dalam agak kurang biasa bagi aku terutama waktu malam. Nasib baik kereta aku hanya Kancil, jadi kurang masalah untuk ambil selekoh.

Birasku seperti sudah biasa ke sini. Dari ramah tamahnya dengan keluarga tuan rumah aku mengagak begitu. Tidak hairanlah juga sebab birasku ini memang gemar mencari 'tabib' seperti ini. Orang berniaga katakan.

"Apa cerita?" tanya 'tabib' itu setelah agak lama kami lepak di ruang tamu. Agaknya dia berubat tadi. Agaknya walaupun aku tak nampak sesiapa pun selain kami.

"Ni ha, isteri IM ni..bla..bla..bla..."

"Oh... Apa yang kamu risaukan?" tanya 'tabib' pada ibu_suri. Sedari tadi ibu_suri yang hanya duduk seperti patung dan sesekali memegang tanganku, memandang aku.

"Kamu tengok bini kamu ni macam mana?" tetiba soalan begitu diajukan pula kepada aku.

"Err... Nampak macam dia la Pak Cik!" Aku tersengeh. Tak pasti betul ke jawapan tu.

"Tak ada nampak macam benda lain ke? Ada setengah yang mai tu suami dia tengok bininya tengah motong sayur, tangannya penuh darah. Kukunya panjang. Itu le yang aku tanya kamu ni. Tak ada nampak macam tu?"

"Tak." Aku mula tak sedap perut.

Dia masuk ke dalam lalu keluar membawa sebuah ...hmm.. benda bulat. Besar sedikit dari bola rounders. Warna oren. Macam labu tapi kulitnya ada bulu macam baldu. Aku tak perasan tapi kata birasku bila ibu_suri melihat itu terus memaling muka dan memeluk kakaknya di sebelah.

"Ha.. Aku dah agak. Tengok bini kamu. Dia takut nengok benda ni. Kamu tahu apa dalam ni?"

Geleng kepala. Tak berani nak teka. Perut makin tak sedap.

"Bini kamu ni ada benda dalam badan dia. Ada banyak. dah lama dia duduk dalam badan bini kamu ni. Sebab itu bila dia tengok benda yang aku pegang ni dia takut. Di dalam inilah aku tangkap dan simpan benda-benda tu. "

Aku tiba-tiba teringat blogger Warna Nostalgia. Tak sangka pula malam ni aku ada dalam suasana yang kurang selesa ni.

"Yang aku bimbang, bukan setakat bini kamu ni tapi anak kamu yang tengah pun benda tu dah mula duduk di dalam."

Anak yang tengah? Angah la tu.. Hmm... tepat juga tilikannya ini sebab Angah sahaja yang selalu ada di rumah. Along di KL sementara Akhmal di Taiping.

"Kalau kamu hendak berubat kamu kena sediakan paku keranda Cina, kelapa tebuk tupai dan bla.. bla..."

"Isyy.. susah tu. Nak cari dimana? Pak Cik saja yang sediakan tak boleh ke. Kami mana biasa cari semua tu. Hendak si IM ni, lagi la dia tak reti."

Aku sekali lagi tersengeh. Aku biasa dengar semua ini tapi ini baru kali pertama terkena batang hidung sendiri.

"Kalau nak suruh pak cik kamu, kena sediakan RM360 untuk upah orang carikan. Bukan senang nak dapatkan semua ni." sampuk isterinya yang sesekali menjadi perantara kepada ibu_suri yang kekadang sukar hendak memahami apa yang dicakapkan kepadanya. Kesan stroke menyebabkan otaknya lembab berfikir dan menafsirkan apa yang di dengar.

"InsyaAllah, kalau kamu nak berubat dengan pak cik akan pak cik usahakan. Kalau tak boleh juga pak cik usahakan kamu jumpa dengan bomoh Siam. Kawan pak cik juga tu. Bomoh Siam tapi orang Islam macam kita juga."

Aku mula terasa lemas.

"Isteri saya ni la ni masih berubat dengan orang lain. Saya datang bawa dia ni cuma nak tengok dulu apa yang tak kena dengan dia."

"Takpa lah. Gini. Aku buatkan dulu air penawar. Malam nanti sebelum tidur, kamu suruh bini kamu minum sikit dan sapu muka. Selebihnya bila bini kamu tidur nanti kamu letak dekat kepala dia. Kalau kamu berani.. kalau beranilah... tengah malam nanti kamu bangun. Tengoklah mangkuk air ni. Kalau dizinkan dan kalau benarlah 'dia' tu nak ubatkan bini kamu, kamu nanti boleh nampak benda tu berenang dalam mangkuk ni. Kepala dia macam katak hijau. Kaki dia macam itik."

Sekali lagi pak cik ini seperti tahu pula. Katak hijau memang menjadi kegemaran ibu_suri sejak dia di serang stroke. Di rumah aku ada puluhan katak dari pelbagai bentuk yang dibeli bila kemana sahaja aku membawanya berjalan.


"Berani ke kamu nengok nya?"

"Err... Terus terang saya cakap. Benda-benda macam ni saya tak berani."

Allahuakbar! Terasa jarum jam lambat bergerak walaupun sebenarnya sudah hampir 11.30 malam.

Jumaat, Julai 02, 2010

Takdir Mengintai Kita

Masih juga ibu_suri mengulang-ulang soalan yang sama ke telinga ini:

"Bila I boleh baik?"

Atau yang kekadang mengilankan perasaanku:

"Tak kesian kat I ke? Buatlah sesuatu!"

Udah lebih dari buat sesuatu. 2 hari lepas aku bawa ibu_suri ke Klinik Kubang Semang untuk rawatan susulan darah tinggi. Hmm... bila diperiksa darah, ada gula pula di dalamnya. Aku ceritakan pada doktor tentang keadaan terkininya yang sentiasa runsing tanpa punca. Doktor beri ubat Alprazolam 5mg. Ubat ini mengantuk, pesan doktor lagi. Dan memang pun!

Aku terpaksa ambil aleh semua kerja rumah. Dari hujung pintu depan hinggalah hujung pintu belakang kini akulah yang selenggarakan 100%. Walaupun kami hanya ber3, kerja rumah tidak pernah habis.

Akulah isteri, akulah ibu. Balik kerja belum sempat tukar baju aku akan memeluk ibu_suri. Membujuknya agar sabar dan terima hakikat kehidupannya kini. Malam pula akan membawanya bersiar-siar kalaupun tidak untuk pergi makan tetapi untuk ambil angin setelah sepanjang hari dia tersepok di rumah sendirian. Begitulah rutinnya.

Adapun anak, ya... seperti juga aku di zaman masih kecil dahulu... asyik dengan dunia sendiri yang penuh tawa.

Aku call GH untuk percepatkan temujanji dengan pakar Psikiatri. Dari 15hb dapat awal pada 6hb ini. Cuti lagilah nampaknya.

8hb akan pergi ke Darul Syifa', Kulim untuk perubatan cara Islam. Aku minta adikku uruskan. Entahlah, kalau usaha aku sebegini masih ibu_suri rasa tidak mencukupi apakan daya.

Rawatan neurologi hanya pada bulan September. Itu rawatan yang semakin kurang perlu, kata doktor berkenaan.

Aku faham ibu_suri sentiasa bimbang dengan tahap kesihatannya yang menjunam. Bayangkanlah kalau dulu dia seorang aktivis masyarakat bergerak di bawah naungan NGO Jamaah Islah Malaysia. Disamping menjadi guru Tadika Amal Rintis juga aktif dalam parti politik. Tiba-tiba takdir Tuhan menentukan pada satu pagi di Bagan Specialist Centre, ibu _suri sudah tidak dapat mengingat nama suaminya sendiri. Angin Ahmar menyerang kebanyakan saraf-saraf kecil di otaknya.

Lalu, dunianya yang pernuh warna-warni itu bertukar jadi kelam dan gerimis.

Ah, bukan mustahil kita juga akan seperti itu. Lalu, sewaktu 5 masa kita masih ada jangan dipersia-siakan sehingga datang 5 masa yang lain. Entah-entah takdir sedang mengintai kita!