Aku tulis
Aku hanya mengenalimu begitu-begitu sahaja. Kebetulan kita ini berada di dalam satu wadah perjuangan yang sama. Matlamat perjuangan dalam dakwah juga sama. Mengharapkan mardhatillah. Itupun, berbanding kau, sumbanganku pada masyarakat atas nama pertubuhan yang sesama kita dokongi ini hanya 0.000000 peratus sahaja.
Aku dapat tahu bahawa suamimu suamimu baru-baru ini diserang angin Ahmar. Ahmar kali pertama menyerang RR ketika kau tiada bersama suamimu lantaran ke luar negeri. Diikuti serangan kedua seminggu selepas itu. Sebaik sahaja aku mengetahui berita itu melalui e-mel di dalam melgrup, aku sudah dapat mengagak bahawa serangan kedua ini pasti akan melumpuhkan sebahagian dari anggota besar suamimu. Dan terkaan aku nyata tidak meleset.
Kau tahu F,
Apabila sahaja doktor memberitahu aku bahawa ibu_suri mengidapi mild stroke dulu, aku merasakan dunia ini teramat kosong, sunyi dan kesaorangan. Aku menalipon hampir kesemua adik beradik ibu_suri namun ditakdirkan Tuhan semua panggilan itu tidak dijawap.
Paling hebat ialah apabila ibu_suri yang digerakkan oleh jururawat yang bertugas untuk diberi ubat bertanya;
“Awak tahu siapa ni?”
Merenung wajah aku...
“Siapa nama dia?”
Menghenjut bahunya.
“Sorry, I…I..” sambil menggelengkan kepala.
Dan keesokan harinya bila aku datang melawat ibu_suri aku terkejut kerana kedua tangannya diikat ke katil. Jururawat memberitahu bahawa dia cuba mencabut tiub air yang ditancap ke lengannya. Dan dia terus mempersoalkan kenapa dia dibuat begitu dan tidak dibenarkan balik sedangkan dia merasakan bahawa dia sudah sihat.
F, menjelang petang seluruh kakikatangan wad hiruk pikuk bila ibu_suri mengamuk hendak balik sedangkan doktor tidak membenarkan. Ibu_suri perlu melalui ujian-ujian untuk memastikan tahap angin Ahmarnya. Seluruh tingkap dan pintu lif di sekat kerana ibu_suri mengugut untuk keluar lari melaluinya jika terpaksa. Akhirnya aku terpaksa menandatangani surat akuan untuk mengeluarkan ibu_suri dari hospital dengan risiko sendiri.
F, menggeletar tanganku tatkala menandatangani surat itu kerana aku sendiri tidak ada idea bagaimana akan menjaga pesakit angin Ahmar sendiriku. Ditambah dengan penemuan baru; ibu_suri juga mengalami depression sekaligus!
Berbalik kepada emel, sebenarnya aku ingin memberi ucap;
“ Sabar F! Semua ini dugaan dari Tuhan, “
Namun ahh…aku tahu kau pun tentu dah hampir tepu membaca emel atau sms dari seluruh sahabat dengan isi yang pastinya sama.
“ F, mungkin boleh bawa RR jumpa si Anu yang pakar dalam akupuntur. Jumpa si Ah Seng, tabib yang pernah mengubat rakan kakakku hingga sembuh. Atau jumpa si Ana pakar urut di Selama yang pernah mengurut si bla bla hingga boleh berdiri dan berjalan macam biasa.”
Tapi akhirnya aku membatalkan niatku kerana aku agak kau juga nanti menjadi buntu tidak tahu hendak ikut yang mana satu, kan? Terlalu banyak saranan yang engkau sendiri tidak tahu mana satu lebih baik. Ya… kerana aku pernah alami semua itu. Pernah!
2 tahun yang lalu. 2 tahun, bukan jangka masa yang pendek bagi seseorang senasib kita. Yang terpaksa menjaga dan ambil peduli terhadap orang yang sebelum ini menjadi tempat kita berpaut dan mengadu asa.
Ya…F! Menjaga insan yang menghidap angin Ahmar bukan kesukarannya pada memberi khidmat makan minum dan mandi pakai. Yang sukar sebenarnya ialah menjaga perasaannya. Melayan emosinya yang turun naik tidak menentu. Yang begitu subjektif. Yang sukar dijangka.
Apatah lagi kau F, yang bernama perempuan! Pasti terkapai-kapai dibuatnya
Dia tidak mandi, orang boleh nampak. Dia tidak makan orang boleh rasakan. Tapi emosinya tidak tenteram hanya kita yang mengetahui. Hanya kita yang merasai betapa susah hendak menjaga dan memeliharanya.
Entahlah F!
Adakalanya, kalau difikir secara positif, kita beruntung kerana dugaan yang Allah berikan ini sebenarnya memberi kita beberapa kelebihan;
- Kita akan menjadi lebih dekat kepada Allah kerana tidak ada siapa yang mampu mendengar keluhan hati kita melainkan Dia.
- Kita menjadi lebih tabah dari sebelum ini kerana ujian yang kita terima sebenarnya berat dan mau tidak mahu kita terpaksa memikulnya lantaran kita telah berjanji dihadapan Allah semasa diijabkabul dahulu.
- Kita akan memberikan seluruh pengorbanan kepada pasangan kita yang tidak pernah kita beri sebelum ini atas rasa pengorbanan yang LillahiTaala.
- Dan kita juga terpaksa meminggir seluruh kesenangan dan kepentingan diri sebelum ini kemudian meletakkan kepentingan pasangan kita lebih dari segalanya.
Ya…F!
Tidur kita berdengkur tapi belum tentu nyenyak. Ketawa kita besar akan tetapi belum tentu menghiburkan hati sendiri. Senyum kita manis tetapi pahit untuk menelannya.
Pun percayalah F. Pabila kita memberi nasihat, kesannya amat mendalam kepada yang mendengar nasihat. Pabila kita memimpin pasangan kita bersiar-siar orang melihat kehebatan kita dengan matahati mereka. Kerana kita memberi dan memimpin dari dasar hati yang tulus. Yang berpengalaman menghadapi kesusahan dan keperitan.
F,
Kunci yang paling penting dalam berhadapan dengan insan Ahmar ini ialah ketabahan dan kecekalan. Kunci yang paling utama ialah pasrah kepada Allah. Kunci yang paling utama ialah kepedulian yang ikhlas. Ada pendapat yang berkata; kita akan lebih menyayangi dan mengambil berat pasangan kita ketika dia telah sakit berbanding ketika dia masih sihat. Ada benarnya, F!
Percayalah. Berbanding dahulu kau akan dapat rasakan bahawa kasih sayangmu kali ini kepada RR akan lebih mendalam dan lebih akrab.
Tidak mengapa kalau kau terpaksa melepaskan tugasan kemasyarakatan yang selama ini mengisi hampir separuh dari masa berumahtanggamu. Tidak mengapalah kalau kau terpaksa berjauhan dari rakan-rakan seperjuangan yang selama ini berganding bahu bersamamu. Tidak mengapalah kalau kau terpaksa melupakan masa-masa gembira bersama masyarakat dan mengubah haluan kompasmu 180 darjah ke belakang.
Demi mudah-mudahan masa peritmu hari ini Allah gantikan dengan kegembiraanmu kelak di alam yang kekal sana. Muga jika ditakdirkan pasangan kita itu mati dahulu kita tidak akan rasa terkilan. Sebaliknya puas kerana kita telah pun menjalankan kewajipan kita menjaganya setiap masa.
Peri Junjungan Besar kita satu ketika dahulu pada yang bergelar isteri, mudah. Selagimana engkau taat kepada Allah, Rasul, suami dan ibubapamu; Syurga akan melambai-lambai merinduimu.
Cuma aku ini yang bergelar suami, entahlah… Di kakiku masih terbelenggu dengan soalan-soalan cepu mas yang belum pasti dapat atau tidak aku berikan jawapannya yang tuntas!
Apapun, aku doakan agar Allah yang Maha Pengasih meringankan beban dan menguatkan semangatmu, F. Selagi kita masih boleh bernafas, selagi itu peluang kita untuk berbakti tetap luas.
Amin!
5 ulasan:
Salam Saudaraku. Semoga F dapat menghayati tulisan anda ini. Ia amat menenangkan...
muga begitulah hendaknya...
Amin...
muda2an IM dan F akan terus diberi ketabahan. Semoga ada sinar yang terang bersama ketangan 1 Muharram.
Salam Maal Hijrah, IM.
Salam Insan Marhaen,
MASYAALLAH... begitu sedih menatapi warkah ini.
Semoga IM terus tabah mlayani insan tersayang, begitu juga smoga sahabat itu sabar & tabah menerima dugaan maha hebat itu..
Selalunya kaum wanita lebih tabah, sabar, setia melayani suami yg dilanda penyakit.
syukurlah dgn apa yg kita ada selama ini... muhasabah untuk diri saya sendiri.
semoga Allah ampunkan sikap kurang bsyukur saya yg disedari atau tidak selama ini...
tabahkan hati tetapkan iman dikala menghadapi situasi-situasi begini moga sentisa dlm perliharaan & lindungan Allah.salam maal hijrah dr ibu guru utk IM moga sentiasa dberkati...........
Catat Ulasan