BLOG BARU..

Sayugia ingin aku beritahu. Aku udah bina blog baru. Blog ini akan aku tinggalkan sebagai harta berharga dalam hidup.

Kalau sudi singgah di sini!

Terima kasih atas selama ini kalian tekun melayari blog aku mengutip pengetahuan dan memberi pandangan.

Isnin, Januari 31, 2011

Air Tangan Yop.

Aku membesar di zaman Pop Yeh Yeh. Anak sulong dari 11 beradik. 2 sudah pergi lebih dahulu. Kalau ikut kata doktor, aku boleh dapat tidak kurang dari 5 adik lagi. Namun kerana faktor umur doktor nasihat mak aku supaya 'pencen awal'. Hu, 'hebat' juga mak dan abah aku ni, ya!

foto ini asalnya hitam putih tapi kemudiannya di warnakan
Aku dengan dengan adik beradik memang akrab. Mana tidaknya, akulah yang menjaga mereka bila mak dan abah bekerja. Abah bekerja sebagai buruh City Councill ( sekarang MBI ). Mak pulak menoreh getah sebelah pagi dan mencari bijih timah di sebelah petang. Bila mak balik aku mesti kena marah kalau  tak penuhkan tempayan dengan air atau tak membasuh pakaian yang penuh baldi atau masih tak bagi mandi adik-adik. Paling sedih bila mak marah;

"Kamu nak bagi mak mati, ya!" bila belum lagi memasak untuk tengahari. Kekadang aku termenung ditangga. Tak tahu nak masak apa untuk hari itu!

Barangkali airtangan aku inilah yang membuatkan aku dan adik-adik saling hormat menghormati. Aku sendiri semakin lupa akan kisah-kisah semasa kecil bila kami bercerita sesama. Mereka rindukan cucur kodok yang aku selalu masak untuk sarapan pagi. Mereka bercerita tentang aku yang akan membesit mereka dengan tuala kecil kalau masih belum mandi.

" Sudahnya, bila kume semua dah mandi, Yop yang tak mandi lagi.. " lalu berderailah ketawa bila kenangan itu diceritakan semula.

Sekarang ini aku masih cuba mengekalkan keakraban itu. Mana-mana adik yang perlukan bantuan aku akan menjadi pemangkin untuk membantu mereka. Ada seorang dua yang mungkin ditakdirkan Tuhan agak susah kehidupannya. Aku dan adik-adik lain cuba membantu.

Bila menjelang Hari Raya, keakraban itu lebih terasa. Kami saling berpelukan tak kira lelaki atau perempuan dek kerana saling menghormati itu.

Bagi aku yang paling penting ialah anak yang sulong. Anak ini memainkan peranan penting dalam institusi adik beradik. Anak yang sulong perlu dilihat berintegriti dan bijaksana. Boleh dijadikan sebagai tempat mengadu dan bertanya pandangan.

Mak dan abah aku merokok ( orang perempuan dulu merokok termasuk opah aku ). Bila melihatkan ini aku bagi warning kat adik-adik lelaki aku;

" Kome jangan sorang pun hisap rokok. Yop tak mahu tengok asap rokok keluar dari mulut kome. "

Namun akhirnya aku tidak dapat melihat rekod itu dipertahankan bila adik lelaki aku yang bongsu rupanya merokok. Alakulihal, dia lahir dan membesar apabila aku sudah tidak lagi di kampung . Aku sambung belajar di Institut Kemahiran MARA, Kuala Lumpur dan terus bekerja di Pulau Pinang hingga kini.

Sabtu, Januari 29, 2011

Taklah Sedap Sangat

"Abang, I tak boleh tidur la. Boleh nyanyikan untuk I macam dulu."

Terkebil mataku sambil ketawa besar yang dibuat-buat. Malam-malam buta gini dengan mata yang mengantuk nak kena menyanyi kat ibu_suri pulak. Akhir-akhir ini  perangai ibu_suri ini macam kebudakan. 

Tapi memang betul la... Aku seorang yang tak banyak cakap. Jadi bila masa bertunang dulu ibu_suri yang rajin menalipon. Konon nak sembang panjang. Tapi aku tak tahu nak sembang apa. Aku pun hairan bila lihatkan kawan-kawan aku yang kekadang boleh berjam-jam pot pet pot pet di talipon dengan marka mereka.

"Awat abang ni diam je. Cakap la."

"Nak cakap apa? Nyanyi boleh..?" sambil aku mengalih talipon ke telinga kanan. Panas rasanya dek lama melekap di telinga kiri.

"Lagu apa? "

"Lagu Ebiet..."

"Sapa tu?"

Heh..heh.. mana ibu_suri tau lagu Ebiet. Lagu Hindustan tau la dia..

Aku tiba-tiba teringat lagu ini - Nasehat Pengemis Untuk Istri. Aku memang selalau nyanyikan pada dia di dalam kereta semasa kami baru kahwin dulu. Motif aku ialah supaya dia tahu bahawa membina hidup dengan aku realitinya  bukanlah serba mewah.

Suara aku taklah sedap sangat. Untuk syok sendiri, boleh la...



semasa mengetuai kumpulan nasyid Muhajjir membuat persembahan

Rabu, Januari 26, 2011

Spring Cleaning

Melalui perbincangan di laman borak FaceBook keluargaku, akhirnya kami sepakat untuk mengadakan gotong royong membersih rumah mak di kampung Sabtu lalu. Seronok juga kerana dapat bersama adik-adik dan anak saudara yang rata-ratanya sudah besar.

Aku bukan larat sangat membuat kerja. Lebih kepada membahagikan kerja dan memantau sahaja. Mulut lebih rajin berbanding tangan. Itupun dah letih benar rasanya. Terasa tenaga tak seperti dulu. Mencangkul sedikit sahaja dah sakit pinggang.

Bergaul dengan anak saudara yang remaja ini memerlukan keterbukaan. Kita tidak boleh terlalu bersikap seperti Jeneral sebaliknya mahu lebih kepada kawan yang menghormati. Apabila kita mesra dan menghormati mereka, mereka juga akan terasa senang bergaul dengan kita disamping tidak lupa beradab dengan kita. 

Mamat - adik lelaki bongsu

membersih parkir yang dilitupi pokok menjalar

Mesin rumput pusaka abah

Api yang marak lalu menyambar rumpun pokok pisang

Anak saudara yang rajin berFB
Tapi sebelum mula kerja aku sempat bagi taklimat tentang tujuan dan pengagihan kerja. Apa-apa pun, gambar kenangan perlu. Seingat aku ini kali pertama aku bergambar dengan mereka.

Yang membezakan kami cuma usia dan saiz pinggang

Spring cleaning kali ke 2 akan diadakan pada Jumaat; raya Cina ke 2. Pada keesokan harinya, aku akan menjadi orang hadapan untuk menyambut dan mengetuai majlis menerima peminangan dari pihak lelaki. Kekok sikit rasanya. Dan sampai hari ini aku tak henti-henti berfikir dan merangka apa yang perlu aku pakai, cakap dan aturkan di hari itu nanti.

Sabtu, Januari 22, 2011

Tak Lama Kerja Sini

Masa berlalu begitu pantas. Dan sudah 28 tahun aku bekerja di kilang yang sama; tidak pernah bertukar tempat kerja. Begitu setianya aku.

Kursus di Jepun sekitar 80an
Aku masih teringat perbualan operator satu hari;

"Hmmhh.. IM tu tak lama la kerja sini. Orang lembut macam ni mana boleh tahan dengan tekanan."

Tau-tau operator itu yang berhenti dulu dari aku.

Aku telah melalui banyak pengalaman pekerjaan. Dipindahkan dari bahagian pembuatan memori chip ke pembuatan transistor. Dari menjaga test machine, kemudian menjaga pembentuk kaki transistor atau die hinggalah kini ke bahagian kalibrasi yang tidak pernah terfikir olehku akan ke sini.

Juga pernah melalui zaman kemelesetan ekonomi sekitar 90an hingga ke tahap hampir 50 peratus penggunaan lampu dikurangkan.

kursus di Jepun sekitar 90an
Justru, aku selalu berpesan kepada Angah dan Akhmal; jagalah kerja dengan baik. Datang lewat, m/c dan emergency leave adalah antara perkara yang halal tapi company tak berapa suka.

Kini aku hampir ke penghujung karierku. Aku selalu berseloroh dengan kawan-kawan bahawa terasa lambat sangat nak bersara.

Dalam hatiku, jika boleh aku ingin menghamborkan bakti kebidang kebajikan pula. Namun, terfikir pula . Bila tidak lagi berkerja,  siapa pula yang akan membiayai kehidupanku dan ibu_suri? Anak?

Khamis, Januari 20, 2011

Faekah Husin

Hari ini nak sekadar hendak berkongsi fakta ilmiah. Cubalah muaturun dan dengar hingga selesai. Kalau mahu tentu boleh.



Rabu, Januari 19, 2011

Kena Kacau

"Awai hang bangun pagi ni...!" tegurku pada Akhmal sebaik saja aku keluar dari bilik tidur.Jam baru 6.00 pagi sedangkan dia sudah pun memakai pakaian. Aku perlu bawa dia untuk lapor diri ke Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Akhmal tak boleh tidur. Pukul 4 tadi Akhmal kena kacau."

Hmmhh... buat dah..., getusku.

"Tu la.. semalam hang lalu kat Jalan Sungai Lembu tu kenapa. Tempat tu keras."

Ini kali kedua yang aku perasan dia diganggu. Katanya, malam tadi lembaga itu duduk bertenggek dekat siling antara biliknya dan setor. Dia terasa susah bangun dan bercakap.

"Lain kali bila balik jauh malam jangan terus masuk rumah. Duduk dulu kat luar." Saja aku lontarkan petua itu yang aku pun tak pasti sejauh mana betulnya. "Kaki tak basuh tau-tau terus tidur."

Akhmal memang gitu. Mudah merayan. Kekadang aku ingat dia bercakap dengan aku rupanya dia mengingau. Pernah dia bangun seperti hendak ke bilik air tapi bila aku tegur dia berpatah balik ke sofa dan tidur di situ.

Entahlah... Agaknya rumah aku masih kurang dengan suasana Quran dan zikir. Justeru itu ada hamba Allah lain suka singgah.

Astaghfirullah!

Ahad, Januari 16, 2011

Salah Lampu Merah?

Menghantar Akhmal untuk kursus memandu. Selesai sarapan di kedai makan simpang pasar malam Penanti, aku bercadang nak balik ke rumah ikut jalan jauh. Biasalah, kalau bawa ibu_suri, memang gitu. Dari jauh aku perhatikan Akhmal sudahpun menaiki van untuk ke Kedai Memandu Melati.

Aku ikut pekan Penanti. Kerling ke kedai bus stop kot-kot Harakah baru dah sampai tapi masih belum. Aku ke arah lebuhraya BKE dengan tujuan akan ambil susur keluar Penanti dan balik ke rumah. Sambil menunngu lampu merah aku terpandang sebuah kereta Kelisa warna maron  dari arah bertentang  meluru laju. Dan takdir Tuhan berlaku bila dalam masa yang sama sebuah motosikal dari arah kanan ( Kulim ) sambil menjerit menghentam Kelisa. Spontan aku yang sedang melihat fenomena itu - Allahuakbar!

Melambong ke udara kedua mereka dan terbaring ke tanah. Semuanya berlaku sekelip mata. Segera aku keluar dan mendapatkan mereka. Aku pun panik juga sebab tidak pernah berdepan dengan situasi ini sendirian. Aku ternampak sebuah motor baru sampai dan minta dia menolong aku sambil aku menalipon 999 bila melihatkan darah mula mengalir ke jalanraya. Entah bila pula tau-tau orang ramai terutama India berada di kelilingku. Mangsa lelaki yang juga India  asyik dok.. ayooo..^%$$#@! ( bahasa Tamil ).

Aku sempat diberitahu oleh sesaorang;

"Perempuan tu kata dia lalu sebab lampu hijau."

"Tak. Dia lampu merah sebab saya sendiri berhenti kerana lampu merah," sambil menunjuk ke arah kereta aku yang masih di situ.

Semasa memandu balik aku terfikir kenapa di situ kerap berlaku kemalangan. Jika dari arah Seberang Jaya ke Kubang Semang atau sebaliknya kena tempuhi 2 lampu isyarat yang dekat jaraknya tetapi tidak sama warna lampu. Jika lampu pertama hijau, lampu kedua selalunya merah. Maka di sinilah aku kira sangkaan perempuan itu meleset bila dia bergerak dari lampu pertama itu hijau dan terus laju tanpa menyangka lampu kedua itu bertukar merah. Tidak pernahkah JPJ atau pihak BKE mengkaji perkara ini?

Wah... macam CSI pula!

Jumaat, Januari 14, 2011

Soalan Yang Susah Di Jawap

Sambil memandu balik dari makan malam, aku perasan ibu_suri asyik memandang aku. Tangan kanannya seperti selalu diletakkan di atas riba kiriku yang sesekali naik turun menekan kelac.

"Sebab apa you sayang kat I?" soalan itu terpacul kembali ke telingaku. Aku sepi seketika. Soalan yang mesti berhati-hati menjawapnya.

"You asyik tanya soalan ni dari anak kita kecil sampailah anak dah nak kawin. Kan abang dah kata banyak kali, soalan ini abang takada jawapannya. Tak ada perkataan yang boleh abang gunakan."

Dulu dia pernah tanya soalan cepu mas seperti ini juga.

"Apa bukti you sayang I?"

Huu... Memang tak ada bukti. Aku bukannya pandai bermadah indah. Bukan pandai memberi hadiah tanda cinta.

"You akan tahu bila sampai masanya nanti." ujarku.

Nah, sekarang aku fikir inilah jawapannya. Tanda aku kasih dan setia kepadanya, walau dalam keadaan dia seperti ini, aku masih berada di sisinya. Mandikan dia. Suapkan makanan ke mulutnya. Malah kekadang basuhkan p******gnya bila diminta.

Tidak itu satu pengorbanan tanda kasih aku sebagai suami terhadap dia sebagai isteri?

Setiba di rumah ternampak seperiuk bubur kacang yang diberikan oleh Ummu Hidayah (isteri blogger Jendela Hati) terletak di depan pintu. Dan ibu_suri yang memang gemar memakan bubur kacang seperti tidak sabar meminta aku sediakan untuknya.

Melihat bubur kacang yang tentu rasanya manis, aku tiba-tiba teringat kisah Ahmad Albab...

Selasa, Januari 11, 2011

Islam Itu Milik Kita?

Semasa aku aktif dengan aktiviti kemasyarakatan bersama Jamaah Islah Malaysia (JIM), pernah aku dan kawan-kawan mengadakan program yang di dalamnya dislotkan dengan ceramah Ustaz Hussain Yee. Tapi tak lama selepas itu ada khabar bahawa Ustaz Hussain Yee di 'gam' kerana ketelusannya bercakap tentang kebenaran.

video

laman FaceBook hussain yee di sini.
 
Tadi aku terima klip video ini dikirim oleh kawanku melalui e-mel. Dah lama aku tidak mendengar kuliahnya. Terasa terkesan juga. Walaupun kuliahnya dalam Bahasa Inggeris tetapi mudah dan menarik.

Aku cuba juga mencarinya di laman YouTube akan tetapi tidak ketemu. Aku muatnaikkan ke sini untuk perkongsian bersama.

Cubalah memuatturun dan mendengarnya. Tak lama pun tapi bernas!

Isnin, Januari 10, 2011

Poket Pun Letih Juga

Sebenarnya aku keletihan. Aku berbaring di sofa kerana terasa mengantuk. Tapi ibu_suri seperti anak-anak kecil yang tidak memahami suasana.

"You jangan tidur la. Jom kita pi makan malam kat Sungai Petani."

Tadi baru saja bawa dia pergi makan tengahari di Kulim. Kemudian bawa siar-siar keSeberang Jaya. Nasib baik dapat panggilan bahawa CT dan Akhmal baru saja sampai di Penang Sentral setelah selesai menziarahi mak CT di Kajang. Itu alasan baik untuk aku pergi ambil mereka dan boleh untuk balik ke rumah dan rihat sekejap.

Satu masa dulu ibu_suri terlalu agresif hinggakan hendak bertemu dengan semua nama-nama besar termasuklah Ketua Menteri Pulau Pinang. Kemudian di satu tahap dia terlalu murung. Tidak mahu makan dan tidak mahu berjumpa sesiapa. Kali ini dia seperti anak kecil yang selalu gembira dan selalu  mahu dibawa siar-siar. Bila cuti hujung minggu beginilah yang selalu aku pening untuk fikirkan.

Itu aku tak kisah juga asalkan dia gembira. Lebih  baik dari keadaan pertama dan kedua sebelum ini. Yang tak tahannya ialah badan ini letih. Dan poket lagi letih bila melihatkan harga Shell RON97 asyik naik hingga mencecah RM2.40 dan terus naik seperti tak mahu turun-turun dah!

Sabtu, Januari 08, 2011

Kalau Gadis Lain...

Aku ajak CT datang ke rumah. Memang pun, dia dah lama tak ziarah ibu_suri. Semasa dia masih kecil, kami pernah memeliharanya. Menyekolahkannya. Malah ketika dia lahir, tangan ibu_suri adalah antara yang menyambut kehadirannya ke dunia ini.

"Ayah faham keadaan kamu. Latarbelakang kamu dulu tidaklah seberuntung Angah dan Along. Malah tidak juga seberuntung Akhmal. Sebab itu, ayah nak beritahu kamu, ayah peduli kamu sepertimana anak-anak ayah yang lain. Jika kamu ada masalah dan ingin berkongsi, datanglah bercerita dengan ayah. Kalaupun ayah tak boleh tolong, ayah boleh tumpang dengar dan beri nasihat. Kalau tak boleh dengan ayah, dengan ibu. Dengan Angah. Dengan Along."

CT, walaupun tidaklah seperti gadis yang aku harapkan untuk sopan dalam berpakaian namun aku kagum dengan ketahanannya membawa diri bersaorangan. Dan kagum dengan sikap kendirinya dalam meneruskan kehidupan walaupun emak dan abahnya  bermasaalah. Kalau gadis lain rasanya udah lama terjebak!

Khamis, Januari 06, 2011

Alahai Anak!

Aku harap begini tidak terjadi kepada aku. Apatah lagi pada ibu_suri jika ditakdirkan aku pergi dahulu menyambut panggilan Ilahi!

Kawan yang selalu menumpang aku pergi dan balik kerja selalu bercerita kepadaku tentang masalah yang dihadapi mereka dalam menjaga mak mereka yang sudah tua lagi lumpuh. Sejak ketiadaan mate Indon mereka kerana terbunuh akibat cinta tidak dibalas (pernah tersiar di Harian Metro), mereka sering bertelagah sesama adik beradik dalam menentukan giliran siapa yang patut menjaga mak mereka. Masing-masing sibuk dengan kerja. Ada yang tak sibuk lantaran sudah pencen tidak pula mau ambil tahu. Usahkan mahu menjaga, bertanya khabar pun tidak.

Itu cerita seorang mak yang lumpuh, yang punya anak berbelas. Aku yang cuma punyai anak 3 orang ini dan kesemuanya lelaki, entah bagaimana ditakdirkan kelak!

Isnin, Januari 03, 2011

Sorotan Buat Ibu_suri

Kalau kalian perasan, aku sejak akhir-akhir ini kurang menulis tentang ibu_suri. Memang aku akui, ibu_suri  kini kurang memberi tekanan emosi terhadap aku . Justeru rutin kehidupan aku agak selesa. Ada yang bagus namun ada juga yang kurang bagus bila keadaan jadi begini.

Singkap semula hujung 2008, ibu_suri di serang minor stroke semasa berada di BM Specialist Hospital.  Waktu itu dunia aku benar-benar rasa gelap. Rutin hidup aku yang aktif dalam NGO berputar ke belakang. Sikap ibu_suri yang agresif dan cepat marah membuat rumah aku sedikit hiruk pikuk. Akhmal pula ketika itu mula menjadi sedikit 'nakal' hingga membuatkan aku semakin terbeban dengan  luahan 2 gunung berapi yang memuntah asap tebal hingga gelap pemandangan masa hadapan. Dia bergaduh dengan bapanya sendiri apatah lagi dengan mak dan adik-adik adikku.

Doktor istilah ibu_suri ketika itu berada di tahap mood dis-order. Serangan blood clote pada urat saraf di bahagian otak memberi impak kepada jiwa ibu_suri hingga terpaksa dirawat di unit Psikiatrik.

Tak sedar aku, selama 2 tahun aku mengharungi situasi itu. Kemudiannya, sekembali dari menziarahi pengkebumian jenazah bapa saudaranya di Kg Poh, Bidor tahun lalu, ibu_suri bertukar menjadi begitu pasif. Tidak mahu keluar berjumpa sesiapa hatta kematian saudara mara dan rakan terdekat. Hariannya asyik dipenuhi dengan tidur. Tak lalu makan hingga ke tahap berdirinya tidak stabil dan kaki menggigil. Masa inilah saudaramaranya memaksa aku pergi berubat secara tradisonal hinggakan ke Felda di Kupang pun aku sampai. Bermacam teori bomoh itu beritahu tentang punca penyakit ibu_suri. namun semuanya aku rasa sekadar menghabiskan duit aku yang memang pun kesempitan.

2 bulan lalu bila aku bawa ibu_suri seperti biasa ke rawatan susulan Psikiatrik, doktor Izani yang selalu merawat ibu_suri berkata ibu_suri kini berada di tahap mood dis-order.

"Doktor, saya harap jangan jadi macam dia dulu doktor. Letih jiwa raga saya. Sampai nak jumpa dengan Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim. Nak bergaduh dengan bapa sendiri. Dengan jiran-jiran semata-mata kerana isu kecil. Huuu.. Biaq dia pasif macam dulu, lagi baik rasanya.."

Tapi hari demi hari hingga hari ini, aku rasa ok pulak. Mungkin Tuhan  Yang Maha Mengetahui, aku bakal menguruskan majlis walimah Angah yang tentunya besar dan berat penumpuannya maka dia ringankan dahulu beban aku mengurus ibu_suri.

" En. IM, pesakit macam ibu_suri ini mempunyai kitarannya sendiri. Hari ini dia begini, esok mungkin dia akan begitu pula. Jadi, orang yang paling kena kuat ialah yang menjaga dia seperti IM . IM perlu abah., perlu sabar dan pasrah."

Duhai.... Harapnya biarlah keadaan ibu_suri kekal begini walaupun aku akan terus letih kerana terpaksa membawanya bersiar-siar setiap hari dan tidak mahu pulang ke rumah selagi jarum jam tidak bertemu sesama sendiri di tengah malam hari!

Letih badan satu perkara. Letih poket kerana bayar petrol  satu perkara lain pula. Lantaran itulah kenapa aku sanggup bersengkang poket semata untuk memastikan kereta Kancil ini dalam keadaan tip top . Ia umpama rumah aku yang ke 2.



beli di Perlis

Patung Katak Hijau adalah koleksi ibu_suri. Dari serendah harga hingga ke RM60 satu.

bawa ibu ke Trengganu

bawa ibu ke Kelantan

menginap di hotel walaupun hotel itu tidak jauh dari rumah mak IM


keadaan ibu_suri ketika di bawa berjumpa doktor sewaktu keadaanya pasif

Ahad, Januari 02, 2011

Tak Pernah Rasa Susah!

Lepas sembahyang Jumaat semalam aku singgah membeli makanan di Astaka Taman Guar Perahu. Dah pukul 2 lebih, lauk pauk semua pun tinggal ciput je.

Mujur ada gulai pajeri terung kegemaran ibu_suri. Aku beli sebungkus bersekali dengan 2 ekor ikan goreng. Sebungkus lagi aku beli untuk Akhmal - nasi dengan ikan 2 ekor serta 1 ketul ikan masin. Ternampak pula peket Sarbat Tea Patani. Aku beli 2 peket.

"Berapa?"

"Lima belas ringgit lima puluh sen!"

Mak aiii.., getus hatiku. Kalau macam ni boleh karam poket aku!

Memang terasa amat harga makanan naik mendadak akhir-akhir ini. Kalau dulu kos makan di luar untuk aku dan ibu_suri sekitar RM8. Kemudian naik ke sekitar RM12. Kali ini ianya boleh mencecah RM15.

Aku tak mengapalah juga sebab makan untuk cuma 2 mulut. Tapi bagaimana dengan mereka yang ada anak ramai dan pendapatan pula rendah? Takkan nak kata; ha... tu la.. sapa suruh beranak banyak-banyak?

Sambil melangkah masuk ke kereta aku terfikir;

'Kerajaan ni cuma nampak cara nak naikkan harga barang tetapi tak pernah berusaha bagaimana hendak menurunkan. Agaknya sebab mereka tak pernah jadi orang susah...'

Kartun Ihsan: jeritjohor