BLOG BARU..

Sayugia ingin aku beritahu. Aku udah bina blog baru. Blog ini akan aku tinggalkan sebagai harta berharga dalam hidup.

Kalau sudi singgah di sini!

Terima kasih atas selama ini kalian tekun melayari blog aku mengutip pengetahuan dan memberi pandangan.

Isnin, April 19, 2010

Beriku Kesempatan

Hatiku terkesan bila mendapat berita bahawa sahabatku yang bekerja di Renesas Technologi, Kulim telah disuruh bawa pulang oleh doktor setelah beberapa hari berada di Hospital Metro, Sungai Petani. Hati dan usus perutnya menghadapi masalah. Perutnya mula membengkak dan matanya kekuningan. Khabar terbaru, matanya sudah tidak terbuka. Sahabat-sahabat di RTK mengadakan majlis membaca Yassin.

Semalam, semasa aku menemani anakku Along ke Sunshine Square, Air Itam untuk membeli barang keperluannya, aku sempat berbual panjang.

"Ayah bagi tahu kawan ayah. Jika boleh ditakdirkan, ayah harap ibu akan mati dulu dari ayah. Kawan ayah marah ayah kerana berkata begitu. Cuba Along fikir, kalau ayah mati dulu dari ibu, siapa yang boleh jaga ibu? Along boleh?"

Along diam.

"Ayah ada tanya Angah. Tau Angah jawab apa? Ho..ho..ho...."

"Sama-sama matilah, Ayah" komen Along perlahan.

"Yelah... Kalau boleh begitu, baguslah."

Aku teringat semasa balik dari menghadiri majlis pengkebumian nenek tiri ibu_suri pertengahan bulan lepas. Memandu di jambatan Pulau Pinang, ibu_suri sempat berpesan pada aku sambil mengalirkan airmata.

" Kalau I mati nanti, u tanam I dekat kubur Tok Ba, ya...."

Aku cuma mengangguk. Tok Ba, nenek dan nenek tiri dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak. Saban Hari Raya, kami selalu menziarahi perkuburan mereka.

Hmm... Aku selalu berdoa kepada Tuhan muga diberi kesempatan untuk aku hidup dan menghidupkan amalan. Muga aku dapat berbuat sebanyak-banyak amalan dan bertaubat sebanyak-banyaknya

Pun aku selalu kesal kerana aku selalu lalai lebih-lebih lagi bila tiada masalah melanda.

    Ibu_suri di Stesyen Keretapi Butterworth semalam menghantar Along balik ke Gombak.

    Ibu_suri semasa ziarahi Akhmal di Hospital Taiping.

    Jumaat, April 16, 2010

    Oh Duniaku!

    Usai saja solat Jumaat tadi tengahari, aku melangkah keluar dari Masjid Bayan Baru. Bersama ramai orang, berpusu-pusu keluar dan menyeberang jalanraya yang juga sibuk dengan simpang siur kenderaan. Panas sungguh hari ini. Berpeluh-peluh aku semasa solat. Kurang selesa.

    Terfikir aku, kenapakah Tuhan biarkan manusia kerdil seperti aku ini kepanasan. Apakah Tuhan tidak ada belas kasihan terhadap makhluknya yang tiada kemampuan mengubah cuaca alam?

    Aku teringat Firman Tuhan yang lebih kurang bermaksud bahawa dunia ini telah dicipta sebaik-baiknya untuk manusia. Jika berlaku kemusnahan, tidak lain tidak bukan adalah berpunca dari tangan-tangan manusia itu sendiri.

    Ya.... Tuhan telah menjadikan dunia ini dengan sistem yang sebaik-baiknya. Dan sistem itu berdiri dan berperanan mengikut formula yang telah ditentukan tanpa mengelat walau sedikit pun. Tumbuhan dijadikan sebagai penyejuk bumi dan pengimbang Oksijen. Flora dan Fauna dijadikan sebagai pelengkap bagi sistem permakanan dan perkumuhan. Gunung-ganang pula dicipta sebagai pasak bumi.

    Kini bencana alam yang berlaku ialah kerana kesemua elemen ini telah dimusnahkan. Telah dikucar kacirkan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri. Suhu makin meningkat kerana semakin kurangnya tumbuhan hijau. Bila udara semakin panas, sistem edaran udara juga jadi berkecamuk. Maka berlakulah tiupan angin dan ribut yang tidak sekata.

    Agaknya apakah yang akan terjadi kepada dunia 1000 tahun lagi? Takut pula aku bila teringatkan makna surah Az Zalzalah yang pernah aku bacakan semasa membuat persembahan nasyid di Tapian Gelanggang, Batu Uban satu ketika dahulu. Masih terngiang-ngiang lagi baris-baris makna yang mengatakan bahawa bila berlaku kiamat, segala isi bumi akan terbang melayang di udara umpama kapas yang melayang ditiup angin di udara.

    Nauzubillah!