Aku membesar di zaman Pop Yeh Yeh. Anak sulong dari 11 beradik. 2 sudah pergi lebih dahulu. Kalau ikut kata doktor, aku boleh dapat tidak kurang dari 5 adik lagi. Namun kerana faktor umur doktor nasihat mak aku supaya 'pencen awal'. Hu, 'hebat' juga mak dan abah aku ni, ya!
foto ini asalnya hitam putih tapi kemudiannya di warnakan |
Aku dengan dengan adik beradik memang akrab. Mana tidaknya, akulah yang menjaga mereka bila mak dan abah bekerja. Abah bekerja sebagai buruh City Councill ( sekarang MBI ). Mak pulak menoreh getah sebelah pagi dan mencari bijih timah di sebelah petang. Bila mak balik aku mesti kena marah kalau tak penuhkan tempayan dengan air atau tak membasuh pakaian yang penuh baldi atau masih tak bagi mandi adik-adik. Paling sedih bila mak marah;
"Kamu nak bagi mak mati, ya!" bila belum lagi memasak untuk tengahari. Kekadang aku termenung ditangga. Tak tahu nak masak apa untuk hari itu!
Barangkali airtangan aku inilah yang membuatkan aku dan adik-adik saling hormat menghormati. Aku sendiri semakin lupa akan kisah-kisah semasa kecil bila kami bercerita sesama. Mereka rindukan cucur kodok yang aku selalu masak untuk sarapan pagi. Mereka bercerita tentang aku yang akan membesit mereka dengan tuala kecil kalau masih belum mandi.
" Sudahnya, bila kume semua dah mandi, Yop yang tak mandi lagi.. " lalu berderailah ketawa bila kenangan itu diceritakan semula.
Sekarang ini aku masih cuba mengekalkan keakraban itu. Mana-mana adik yang perlukan bantuan aku akan menjadi pemangkin untuk membantu mereka. Ada seorang dua yang mungkin ditakdirkan Tuhan agak susah kehidupannya. Aku dan adik-adik lain cuba membantu.
Bila menjelang Hari Raya, keakraban itu lebih terasa. Kami saling berpelukan tak kira lelaki atau perempuan dek kerana saling menghormati itu.
Bagi aku yang paling penting ialah anak yang sulong. Anak ini memainkan peranan penting dalam institusi adik beradik. Anak yang sulong perlu dilihat berintegriti dan bijaksana. Boleh dijadikan sebagai tempat mengadu dan bertanya pandangan.
Mak dan abah aku merokok ( orang perempuan dulu merokok termasuk opah aku ). Bila melihatkan ini aku bagi warning kat adik-adik lelaki aku;
" Kome jangan sorang pun hisap rokok. Yop tak mahu tengok asap rokok keluar dari mulut kome. "
Namun akhirnya aku tidak dapat melihat rekod itu dipertahankan bila adik lelaki aku yang bongsu rupanya merokok. Alakulihal, dia lahir dan membesar apabila aku sudah tidak lagi di kampung . Aku sambung belajar di Institut Kemahiran MARA, Kuala Lumpur dan terus bekerja di Pulau Pinang hingga kini.