BLOG BARU..

Sayugia ingin aku beritahu. Aku udah bina blog baru. Blog ini akan aku tinggalkan sebagai harta berharga dalam hidup.

Kalau sudi singgah di sini!

Terima kasih atas selama ini kalian tekun melayari blog aku mengutip pengetahuan dan memberi pandangan.

Rabu, April 07, 2010

Tiba-tiba Rindu

Aku rasa kurang selesa sejak 2-3 hari ini. Hendak jenguk blog pun rasa berat. Cuba cari ilham untuk menulis pun tidak ketemu.

Tadi jumpa doktor di klinik tempat kerja. Doktor bagi aku pil supaya boleh rehatkan minda.

" Blood pressure you ok saja. You ada stress ya! "

Aku mengiyakan sahaja.

Tapi dalam ketidakselesaan ini pun aku masih boleh ketawa dengan kawan-kawan di kantin. Kata orang, ketawa itu boleh membantu mengurangkan stress juga. Dan sempat juga aku menjadi tempat rujukan beberapa orang kawan tentang permasaalahan mereka.

Yang seorang itu perempuan Cina. Bertanyakan nasihat aku tentang gambarnya yang telah diambil oleh seorang lelaki. Dia bimbang gambar itu diapa-apakan.

Seorang lagi ialah seorang lelaki Saudara Kita yang berhadapan dengan masalah anak sulongnya yang lari dari rumah.

Dan terbaru ialah anak sahabatku yang tiba-tiba tidak hadir kerja sudah seminggu lamanya. Aku cuba memujuknya supaya kembali bekerja.

Aku tiba-tiba terjumpa foto ini di dalam koleksi foto dalam pc. Aku tiba-tiba jadi rindu pada zaman muda dahulu. Zaman aku masih muda, slim dan aktif dalam aktiviti luarah.


Makan malam selepas tamat pendakian di Gunung Tahan. Kali pertama dan terakhir aku memakai seluar jeans.

Sabtu, April 03, 2010

Kasih Tuhan Tidak Bertepi...

Jam masih 8 pagi. Di dalam bilik, ibu_suri masih lena beradu. Angah baru saja menderum kereta ke tempat kerja.

"Ayah, sat lagi Angah nak balik kampung tengok Opah!"

"Hmm... ok. Kirim salam ayah dan ibu kat Opah, ya!"

Sedangkan aku sendiri udah lebih sebulan tidak berpeluang menjenguk emak. Walhal aku tahu emak sentiasa menunggu kepulangan aku menziarahi dia. Seperti juga aku selalu mengharapkan Along dan Akhmal balik ke rumah untuk bersama-sama aku menjaga ibu_suri. Aku terasa kesaorangan mengharungi detik-detik waktu di rumah sendiri.

Khamis lalu seusai aku menguruskan rawatan susulan ibu_suri di Klinik Kesihatan, aku terus memacu keretaku ke RnR Juru. Entah kenapa hatiku tiba-tiba beria-ia untuk relaks di sana. Aku habiskan banyak masa dengan berfikir dan memujuk hati ini supaya terus sabar dan berdoa supaya tekanan yang aku alami sekarang ini tidak menjejaskan kesihatan dan tidak menyebabkan aku mengambil tindakan di luar batasan.

Aku talipon Along yang kini menginap di Batu Caves. Aku berbual panjang dengan dia. Mengadu hal supaya dia juga tahu sepertimana Angah tahu perkembangan terkini yang berlaku di rumah. Mujur juga aku masih punyai anak-anak yang sudi mendengar rintihan hati kecilku. Hendak mengadu kepada kawan-kawan sudah terasa tebal muka.

Alakulihal, mujur juga aku masih punya nafas, punya waras dan punya Tuhan walaupun mungkin Tuhan mencebik bibir dan berkata;

"Piiirahhhhh... sembahyang pun lintangpukang, ada hati hati minta itu dan ini dari aku."


Pun, aku maklum, kasih Tuhan tidak bertepi! Kasih Tuhan melimpah ruah umpama hujan lebat di musim kemarau.