BLOG BARU..

Sayugia ingin aku beritahu. Aku udah bina blog baru. Blog ini akan aku tinggalkan sebagai harta berharga dalam hidup.

Kalau sudi singgah di sini!

Terima kasih atas selama ini kalian tekun melayari blog aku mengutip pengetahuan dan memberi pandangan.

Isnin, November 09, 2009

Kak Long

Terasa bahuku digoyang. Entah bila masa aku tertidur di depan tv, aku pun tak sedar. Selepas ke klinik ambil dan makan ubat cirit birit yang melarat hingga hari ke2, aku baring-baring sambil ibu_suri menonton tv.

" Abang, I lapar la. You goreng Maggie, boleh? "

Dengan berat mata aku bangun. 2 minit je, fikirku. Jam 1:45 pagi. Terasa pula perut aku sendiri yang lapar. Sepanjang 2 hari aku di serang cirit birit, aku cuma makan moi dan roti empat segi sahaja, berselang seli. Mau nya tak lapar cepat.

Sambil memasak itu aku tertarik juga menonton sama drama tv bertajuk Srikandi Dihatiku lakonan artis veteren Fauziah Nawi.

Kisah pengorbanan seorang kakak memelihara 3 orang adik lelakinya setelah kematian emak dan bapa mereka. Kak Long sanggup tidak berkahwin semata-mata mahu memastikan masa depan adik-adiknya berjaya. Berhempas pulas membuat nasi lemak untuk jualan kemudian menoreh getah walaupun dalam kedaan demam.

Namun apabila adik-adiknya telah berkerjaya, jasa Kak Long dilupakan kecuali oleh adiknya yang bongsu. Kak Long ditemui oleh adik bongsu, kini seorang doktor dalam keadaan trauma. Apabila ingatan Kak Long sudah mula pulih, Kak Long cuma sempat beberapa minit mendakap dan menyebut nama-nama adiknya. Kak Long kemudian menghembus nafasnya yang terakhir.

Di sini tak sedar aku menitiskan airmata. Kehebatan Fauziah Nawi, pelakon airmata membawa watak Kak Long memang berkesan. Di dokongi pula oleh pelakon yang membawa watak Kak Long semasa muda.

Berlatar belakang Kak Long menoreh getah, merumput di celah-celah pokok ubi kayu, mencari kayu api dan memasak menggunakan dapur tungku serta memberus pakaian sekolah adik-adiknya. Itu semua menghimbau kenangan aku semasa di kampung. Semasa masih kecil. Semasa keluargaku susah dan aku terpaksa menjaga adik-adiku seramai 6 orang bilamana emakku pergi menoreh getah dan abah pula masih sakit diserang Schizophrenia. Justru airmataku mudah luruh kerana latarbelakang drama itu begitu dekat dan syhadu denganku.

Aku segera teringatkan adik-adikku, emak dan abah. Teringat kawan-kawan yang pernah sama-sama bermain polis sentri, main kondang-kondi dan masak-masak.

Sambil ibu_suri makan mee, aku pula makan roti cicah teh o wangi. Perut masih kruk...krak lantaran angin yang masih berlegar-legar di dalam perut. Nasib baik doktor bagi aku cuti sakit, hari ini!

Sabtu, November 07, 2009

Meragam

Masuk kali ini, hampir 10 kali aku keluar masuk bilik air. Entah di mana silapnya perut aku ini hingga meragam sebegini sekali. Udah 2 pasang kain dan 2 pasang baju terpaksa aku basuh semula gara-gara hilang kawalan sewaktu di dalam proses 'pembuangan' itu. Dan aku tak berani tidur sehingga aku telah pasti segala keracunan di dalam perut aku ini kembali neutral.

" Apalah, ayah! Demam masa cuti. Rugi la. Tak boleh ambil MC.. " Perli Angah bila lihat aku terbaring kerana demam. Memang, aku jarang ambil MC kerana aku jarang sakit. Tapi hari ini kulit badan mula terasa panas sedangkan dalam diri aku terasa amat sejuk hingga memaksa aku memakai selimut. Di sisi, ibu_suri asyik merenung aku tanda simpati.

Jam menunjukkan 4.15 pagi. Perut aku masih tak ok lagi ni. Perut pula terasa lapar. Angah, Along dan ibu_suri sedang sedap tidur berdasarkan bunyi dan selang seli dengkur mereka yang teratur dan syahdu.

Terasa kecil pula diri ini. Kesunyian malam mengingatkan aku, insan kerdil yang kini sedang mendaki anak tangga ke 50. Hampir tiba ke puncak kehidupan. Malah sikit hari lagi aku bakal menerima calun menantu. Dan jika janji Tuhan itu benar maka beberapa tahun terdekat ini aku akan menerima anugerah paling berprestij.... DATUK!

Alahai, tak sanggup aku membayangkannya...

Aku harap sebelum aku mengakhiri kehidupan di dunia ini, aku sempat untuk kembali semula ke jalan dakwah. Jalan yang pernah aku terokai semasa aku masih muda dahulu.

Ah, perut aku masih tak ok. Namun mata dah mula mengantuk. Rumah berselerak sedangkan keluarga mertuaku akan datang esok, mungkin!