BLOG BARU..

Sayugia ingin aku beritahu. Aku udah bina blog baru. Blog ini akan aku tinggalkan sebagai harta berharga dalam hidup.

Kalau sudi singgah di sini!

Terima kasih atas selama ini kalian tekun melayari blog aku mengutip pengetahuan dan memberi pandangan.

Khamis, Jun 09, 2011

Jika Allah Masih Sayangkan Dia!...3

Sewaktu berada di dalam kamar Mahkamah II, aku lihat ramainya waris yang hadir adalah kaum Melayu dan India. Kalau ada lain pun seorang Cina.

Pesalah yang berada di dalam kandang juga rata-ratanya Melayu dan India. Ada rakyat Vietnam, Indon dan mungkin Bangla. Ada seorang berbangsa Cina. Adakah ini petunjuk bahawa peratusan kes jenayah kini dipelopori oleh kaum Melayu dan India? Kes-kes pula sedari kesalahan trafik, kegagalan bayar hutang bank, dadah hinggalah kepada kes curi motor.

Duduk di kerusi ala tangga kambing ini amat melenguhkan. Nak bersilang kaki pun tak boleh. Nak tengok talipon bimbit pun bimbang akan dirampas jika ternampak oleh polis mahkamah.

Nak keluar atau masuk melalui pintu kena membongkok dulu ke arah Tuan Hakim tanda hormat. Yang memakai baju kot hitam ini aku agak rata-ratanya peguam. Aku dinasihatkan supaya jangan terpedaya dengan peguam yang menawarkan khidmat untuk pembelaan. Rupanya di sini pun ada peguam ala-ala ulat tiket di stesyen bas ekspress. Kalau boleh, aku katakan ianya adalah ulat kelas atasan!

Memang aku terasa kesaorang dan kesepian di sini. Lantas begitulah agaknya perasaan waris-waris yang terpaksa memikul tanggungjawap untuk ambil peduli terhadap apa yang berlaku kepada anak, suami atau saudaranya. Bagaimana agaknya kalau waris itu dari keluarga yang susah, tua atau sakit?

Kekadang aku rasa beruntung kerana di’anugerah’kan Tuhan berkesempatan melalui skrip yang mendebar dan menekan sukma ini. Plot kehidupan yang begini akan lebih mematangkan peribadi. Dan di saat inilah baru setiap pesalah itu akan mengenali siapa kawan atau saudaranya yang sebenar.

Akhmal di beri pilihan ikat jamin rm8k atau ditahan sementara menunggu tarikh perbicaraan 2 bulan dari sekarang!

Isnin, Jun 06, 2011

Jika Allah Masih Sayangkan Dia!...2

Kalau sudah lama berkahwin tetapi belum rezeki untuk mendapat anak mungkin boleh dikecualikan. Namun janganlah jika sebaliknya.

Aku selalunya berkata begitu pada rakan-rakan yang datang bertanyakan pandanganku akan hasrat mereka untuk beranak angkat. Mereka bertanya kerana mereka tahu aku ada.

"Fikirlah seribu kali. Menjaga anak angkat tanggungjawapnya berat. Ujiannya juga berat." Begitu nasihatku pada mereka.

Setelah bersalaman, aku duduk di kerusi menghadap Tuan Shuhaimi. Sibuk nampaknya dia sedang menyiapkan laporan kes Akhmal.

"Macammana encik menjaga anak encik?"

Foto Google
Aku terdiam mendengar soalan itu. Tak tahu nak jawap macam mana.

"Saya lihat encik ini seorang yang lembut. Saya hairan kenapa anak encik boleh jadi begini. Bukan anak encik seorang saja. Banyak kes-kes jenayah melibatkan anak angkat. Apa yang tak kena dengan anak angkat ini, saya pun tak faham. Nak katakan orang tua tak menjaga dengan baik, tidak. Macam encik, saya percaya dari cara encik, encik adalah bapa yang bertanggungjawap."

"Mungkin ini cara mereka menunjukkan rasa tidak puashati mereka atas apa yang berlaku. Mereka memberontak dengan cara yang negatif. Seolah-olah membalas dendam pada keadaan yang mereka tidak reda."

Untuk kesekian kalinya berada di IPD Perda itu kerana mahu diambil kenyataan bertulis.

Khamis, Jun 02, 2011

Jika Allah Masih Sayangkan Dia!

"Abang, macammana dengan Akhmal?"

Mata dan pangkal hidung ibu_suri merah menahan sebak. Aku peluk ibu_suri walaupun aku baru sahaja berwuduk tapi belum bersolat Subuh.

"Tak mengapa. Jika Allah masih sayangkan dia, Allah akan beri dia petunjuk. Abang pi kerja dulu ya!"

"Abang balik cepat ya. I rasa sunyi sungguh!"

Aku akui ibu mana yang tidak meruntun hatinya jika melihat anak sendiri bergari memasuki van polis. Tapi jika itu adalah hakikat hidup yang perlu ditempuhi, tempuhi sahajalah dengan tabah. Bagi aku yang hampir tegar dek biasa perlu lebih teguh sikap dan airmuka berbanding ibu_suri.

Di saat kenduri kahwin Angah semakin hampir, ofis aku akan menghadapi musim Internal Quality Audit (IQA) 2 hari selepas itu. Akhmal pula buat hal lagi.

Di lokasi kerja aku cuba berkeadaan ceria seperti biasa. Di dalam kereta, aku memasang radio sekuatnya. Selalunya, bila begini aku suka dengar lagu-lagu kumpulan Kembara, Sohaimi Mior Hassan dan Ebiet G Ade yang mempunyai banyak lirik-lirik yang positif dan memberi semangat. Waktu breaktime di ofis, aku curi masa untuk solat sunat dan tidur sekejap.

Aku cuba menyerap semua tekanan yang datang!

Ahad, Mei 29, 2011

Atan Dengan Kambingnya

Sebenarnya klip video ini aku nak pos ke blog SRI MERSING tapi disebabkan aku ini masih di tahap BUAH CEMPEDAK DI LUAR PAGAR makanya tersasar ke sini pula.

Gimanapun, tak mengapalah. Kedua-dua  blog sentimental ini masih tetap blog kesayanganku juga. Klip video ini mengingatkan aku pada zaman remaja yang sahabatnya adalah alam semulajadi!


Sabtu, Mei 28, 2011

Alangkah Indahnya Zaman Itu!

Entah kenapa hatiku berdebar-debar sejak semalam. Hendak menulis pun persis dipaksa-paksa. Memang begitu selalunya aku ini. Sesekali, permasaalahan yang datang adalah sekaligus dan terasa seperti timpa-menimpa. Ada yang perlu aku selesaikan segera. Ada yang aku kira masa juga yang akan menentukannya.

Aku tahu bahawa tenang, sabar dan doa adalah kata kunci untuk menempuhinya. Terasa diri amat kesaorang ketika ini. Ufffsss......

Semalam aku menerima emel dari adikku di Shah Alam. Tiba-tiba teringat abah, katanya. Aku minta izin untuk rakamkan tulisannya itu ke blog SRI MERSING, blog yang khusus aku buatkan untuk keluargaku. SRI MERSING adalah nama yang aku ambil sempena lagu kegemaran abah. Abah selalu menyanyikan lagu ini jika ada jemputan di majlis kenduri kahwin. Dulu, kalau kenduri takada kugiran, tak sempoi la. Kalau tak salah, populariti kumpulan The Zurah juga berasal dari aktiviti di majlis kenduri kahwin begini.

foto sekeluaarga sekitar 70an..
Abah aku memang seorang yang biasa sahaja. Kerja dengan Majlis Bandaran Ipoh. Bila petang, dia mencari duit tambah dengan memesin rumput di rumah Cina di sekitar Taman Ipoh atau Taman Canning. Pada dia, kalau duit tinggal RM50 dalam kocek, kira dah tak ada duit lah tu. Mesti cepat-cepat cari duit tambahan lain. Dengan kerja yang begitulah dia boleh menyara kami 9 beradik. Tidak seperti aku, anaknya yang sulong ini. Duit dalam kocek tinggal habuk pun boleh rileks lagi.

Betapa indahnya jika dapat kembali hidup di zaman itu. Zaman mandi di sungai, menoreh getah dan mendulang bijih timah!

Rabu, Mei 25, 2011

Char Koay Teow

Beberapa hari lepas aku bawa ibu_suri makan di Restoran Char Koay Teow, Sungai Dua. Sini memang ramai sungguh pelanggan. Nak dikatakan sedap sangat err... pada perkiraan lidah aku ni, biasa aje. Tapi kawan aku kata nasi lemaknya memang sedap. Aku belum pernah rasa.

Dek larisnya perniagaan ini, dibuka pula satu cawangan di Kulim. Tapi kata kawanku lagi rasanya tak sehebat di sini.

Foto dari sini
Punya hebatnya Char Koay Teow Sungai Dua ini hingga pernah memasuki berita akhbar. Dan melihat dari pemidang yang digantung, tempat ini juga menjadi lokasi pilihan selebriti yang mahu memakan char koay teow jika ke sini.

"Apa dia 'chef berapi' tu bang?" tanya ibu_suri.

"Ha.... yang tu la.." sambil aku menunjuk ke arah kuali yang diselubungi api sambil chefnya menggodek kuali dengan sudip.

"Boleh ke kita makan char koay teow yang berapi begitu?"

Terdiam pula aku. Tak perasan pula jawapan untuk itu, bagaimana. Aku tiba-tiba teringat sate atau panggang ayam.

"Boleh. Apa pulak tak boleh. Tapi kena disulam dengan timun. Timun boleh menutralkan karbon yang ada dalam koay teow tu," pandai pula aku ni...he..he..

Sewaktu balik, ibu_suri tak henti-henti menyanyi sepanjang jalan. Memang begitulah emosi ibu_suri. Kekadang murung, kekadang gembira tak menentu.

"Happy jer..." usik ku.

"Hmmmm... pasai apa I ni, ya! You tak terfikir ke kenapa I boleh jadi macam ni?"

Alamak, dah nak jadi macam lain ni. Cepat-cepat aku ubah ke topik lain. Perbualan tentang itu kalau diteruskan aku bimbang nanti akan menyebabkan suasana jadi tak menentu!

Ahad, Mei 22, 2011

Taarif di SamaGagah

Baru balik dari menghadiri program Taarif anjuran IKRAM di SamaGagah. Ingat nak masak nasi goreng saja tengahari ni. Budget yang ada di kocekku sekarang tidak cukup. Tunggu topup budget tambahan dari Angah yang sedang bawa keluarga mertuanya menghadiri konvo adik iparnya di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Nak tunggu 25hb punyalah lambat!

IM di program Taarif. Foto dari blog JH
Udah lama sebenarnya aku tak join dengan program bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Sejak ibu_suri di serang angin Ahmar, semua aktiviti luaran aku freezekan. Aku tumpu sepenuh perhatian pada masalah baruku itu. Maklumlah, otak aku bukan otak profesor atau ahli politik yang boleh fikir banyak perkara dalam satu-satu masa. CPU otak aku ini cuma dari teknologi lama.

Sebenarnya ada beribu-ribu rasa segan ada dalam dadaku ini. Tapi aku tepis semua dengan iltizam untuk mahu kembali melalui kehidupan di atas manhaj yang pernah aku jambati dahulu. Pengisian dari Hamizat memang berat isinya. Oleh kerana aku sudah biasa dengan pengisian berat begini aku masih dapat ikuti 

Aku tertarik dengan fakta yang dipetik dari tulisan Steven R Covey dalam bukunya 7 habits - Begin with the end in mind. Maksudnya jangan biarkan hidup kita ini berlalu begitu sahaja. Letakkan satu sasaran yang kita boleh capai dan bermanafaat pada diri dan masyarakat.

Aku juga teruja dengan fakta dari Moche Dayan, Pendana Menteri Israel dulu. Katanya, umat Islam kini lemah dan dayus kerana 3 perkara;

1. Lupa akan sejarah kegemilangan Islam mereka dahulu
2. Membuat sesuatu tanpa perancangan yang teliti
3. MALAS!

Tiba-tiba Angah menalipon aku;

"Ayah, dulu ayah makan mi kari kat mana?"

"Kalau kat pekan Ipoh ni bukan mi kari tapi mi rebus?"

"Mi Rebus Ramli tak jauh dari Kamdar!"

Sabtu, Mei 21, 2011

Inferiority Complex

Sekarang ini aku sedang giat mengedar kad kenduri kahwin Angah. Aku tidak edar kepada ramai orang. Aku pilih-pilih sahaja kerana saiz kenduri yang aku mampu buat adalah kecil. Jadi maaflah kalau kalian semua mungkin ada yang tidak aku jemput. Kalau aku jemput juga mau berpeluh dan pitam aku dek nasi minyak yang pasti tak cukup!

Semalam singgah untuk bagi kad kepada seorang kawan karib ibu_suri. Memang sudah lama tidak berjumpa pun. 

"Ah, kecilnya badan you ni..," yang dimaksudkan ibu_suri ialah tubuh kawannya itu semakin meyusut.

Bila bertanya khabar anak-anaknya maka tahulah aku bahawa salah seorang anaknya kini bermasalah dan itulah ujian getir yang kini sedang mereka hadapi.

kredit buat insyahira
" Sabarlah. Hidup ini kita kena tabah menghadapi. Pengalaman IM menjaga ibu_suri dan anak ketiga IM cukup untuk mengajar IM bahawa apapun masalah kehidupan kita, tempuhilah satu demi satu dengan sabar dan doa. Boleh mengharap kawan. Boleh meminta pertolongan adik beradik. Namun yang perlu lebih kuat ialah diri kita sendiri. Orang lain hanya boleh berkata sabar namun yang nak kena sabar itu, kitalah bukan mereka. Hendaknya, ada  pulak segelintir  pandangan negatif masyarakat kepada kita dan itu menambah perit beban yang kita tanggung. Sabar jugalah azimatnya. Usahakanlah untuk mengubati dia. Doktor biasa IM fikir bukan lagi rujukannya. Cuba  jumpa  pakar jiwa atau macam Dr Haron Din. Dia masih muda dan tidak tahu apa-apa. Kita bertanggungjawap untuk membetulkannya."

Sedari awal lagi aku sudah mula dapat mengagak, anaknya yang satu ini pasti akan bermasaalah. Aku tahu, dia mengalami sindrom kurang ketahan diri akibat inferiority complex.

"IM semasa remaja dulu mengalami masalah macam ni. Tapi IM lawan. IM banyak mengambil jalan agama untuk mengatasinya. Alhamdulillah, sampai sekarang walaupun masih ada perasaan itu IM cuba bolayan. Anak begini selalunya tak ramai kawan. Lebih suka memerap di rumah. Mereka ini tidak tahan dengan cabaran hidup. Cepat rasa putus asa. Dari sinilah ujudnya perasaan rendah diri yang memusnahkan kehidupannya."

Panjang lebar nasihatku pada kawan ibu_suri itu. Aku sentuh bahu suaminya beberapa kali. Tampak sungguh kesugulan di wajah mereka walaupun perbualan kami cuma di pintu padar rumahnya sahaja. Kalau masuk ke rumah nanti, ikut adat Melayunya kena minum. Hem, panjang cerita...

"You sembang apa lama sungguh dengan depa tadi?"

"Tak ada apa. Sembang pasal anak-anaknya tu lah. Hik, nak pi makan di mana kita ni?"

Selasa, Mei 17, 2011

Eureka!

Aku sebenarnya seorang yang perasa. Aku tidak betah dengan sikap terjah dan kasar. Aku impikan dunia yang aman, saling faham memahami dan hormat menghormati.

Hiasan foto dari sini
Namun hakikatnya dunia ini bukanlah semudah itu. Dari keluarga dan susana kampung yang tentram dan damai aku mengungsi ke Bayan Lepas, Pulau Pinang kira-kira 20 tahun lalu. Bayan Lepas ketika itu masih dalam proses urbanisasi. Paya Bakau di tepi pantai habis di tambak untuk dijadikan tapak perindustrian. 

Di sinilah aku mula menerokai dunia penuh cabaran. Sendirian tanpa keluarga berdekatan. Aku temui sikap-sikap mereka yang kononnya bergurau tetapi dengan bahasa yang kurang selesa. Temui insan bertalam dua muka. Juga tidak kurang sikap kesukuan dan kebangsaan.

Namun memang lumrah. Dimana ada banyak dakyah di situ ada banyak dakwah. Dimana ada banyak ruang noda di situ juga ada banyak ruang pahala. 

Di sini aku mula berjinak dengan kuliah agama secara mingguan bimbingan Dr Danial yang ketika itu baru pulang dari Mesir. Aku sertai NGO Jamaah Islah Malaysia dan Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia. Medan-medan ini banyak membantu aku erti penerimaan terhadap apa juga budaya keliling yang tidak serasi dengan budaya aku. Memahami kemajmukan sikap, kelemahan azali sesaorang dan erti berkebajikan pada yang lebih susah kehidupannya dari kita. Aku juga temui ramai rakan-rakan yang masih ramai inginkan dunia yang aman dan tenteram.

Pendekata, walaupun Pulau Pinang ini panas budayanya tapi aku masih utuh berada di sini hingga kini. Hinggakan aku masih ingat akan pelawaan rakan sekampung;

"IM, baliklah ke kampung kita. Kampung kita perlukan orang macam IM."

Dalam hatiku cuma berkata, aku terasa selesa di sini kerana aku sudah temui apa yang kucari. Dan juga aku senang dengan Kerajaan Negeri yang ada hari ini!

Ahad, Mei 15, 2011

Guru Terbaikku!

Semalam, ibu_suri beria-ia menyuruh aku menghantar sms kepada bekas gurunya. Cikgu Bala, seorang India kemudiannya berkahwin dengan gadis Cina, banyak membantu ibu_suri di dalam pelajaran sewaktu masih bersekolahnya dulu di SM Zainal Abidin, Pulau Pinang. 

Balas sms dari cikgu Bala -  "Terima kasih banyak2. Rohaidah pun guru juga. SELAMAT HARI GURU KEMBALI!"

Kalaulah guru tadika juga boleh diiktiraf dan layak untuk menyambut Hari Guru makanya ibu_suri tidak terkecuali. Mungkin itu maksud cikgu Bala. Di masa masih mengajar dulu, ibu_suri akan menerima banyak hadiah-hadiah dari anak muridnya. Sudah tentu bukan nilai hadiah yang dikagumi tetapi nilai penghargaan dari hati nurani murid itu sendiri.

Bagi aku yang tidak pernah malah tak sanggup bertitle guru ini, pengalaman adalah pendidik terbaik. Pengalaman yang aku lalui terlalu banyak mengajar aku erti hidup dan menghargai kehidupan.

Namun kalau ditanya tentang siapakah guruku yang diingat hingga sekarang;

kredit untuk mynewshub
1. SR Sri Kepayang - Cikgu Marfuzah - guru displin yang selalu memegang rotan.
2. SM Anderson - Cikgu Harbans Singh yang selalu menarik hidung kalau nakal.
3. SM Raja Chulan - Cikgu Maznah Ismail - guru pengawas perpustakaan

Apa-apapun, mak aku di kampung yang cuma lulusan sekolah zaman Jepun adalah ikon terbaikku!

Sabtu, Mei 14, 2011

Catatan Pagi

Maaf dek kerana udah lama tidak BW ke blog kalian. Masa yang ada selepas balik kerja amat terhad. Setelah tolak masa makan bersama ibu_suri kemudian bahagi pula dengan membawa dia keluar jalan-jalan di sekitar Bukit Mertajam atau Kepala Batas, berbaki hanyalah seciput minit untuk berblogging.

Blog aku pula sedang dalam penstrukturan semula. Walaupun sebenarnya aku  lebih sinonim dengan warna hitam tapi untuk ke ini kalinya aku memilih warna putih. Aku jatuh cinta dengan blog tehr yang tampak bersih. Template pula mulanya aku terlihat di blog Perjalanan Yang Singkat yang mengadaptasi format dari sumber di OurBlogTemplate. Namun setelah ditukul sana sini akhirnya aku kembali ke format Blogger. Untuk lagu aku tidak lagi menggunakan Singgingbox kerana ia kerap sangat problem page sebaliknya aku guna Mindviz  seperti yang digunakan oleh blogger Warna Nostalgia. Istimewanya gadget ini ialah boleh memuatnaik lagu sendiri secara terus tanpa perlu menyimpan di laman lain.

kredit untuk BerandaBumi
Dengan sedikit tips yang diberi oleh blogger Jendela Hatiku, aku menggunakan Paint Brush untuk merekacipta header yang tidak sepertinya ini. Cukuplah untuk kali ini rasanya. Letih sesangat otak  ini terkejar-kejar memikirkan konsep blog kali ini. Di tambah dengan pemprosesan komputer yang lembab dan keletihan mata yang membaca menggunakan spec aku kira hasil ini udah cukup hebat sempena 12 May!

Di dalam masa yang sama aku di terjah oleh Celcom yang tidak pernah lupa pada bil talipon mak aku beberapa tahun dulu yang masih tertunggak. Kata Angah, aku dah bayar sebenarnya tapi kenapa masih dikatakan belum bayar?

Dalam masa yang sama juga ibu_suri kerap merengek sayu bila Angah tidak balik kerana bermalam di rumah mertuanya. Memang terasa sesangat kesunyian rumah ini tanpa kehadiran Angah. Pun bila ada Angah di rumah aku pula tak larat nak layan celotehnya.

Sekejap lagi aku akan memandikan ibu_suri yang seperti biasa di hujung minggu, menyampu rambut dan  mengetip kukunya. Biasalah memandikan orang yang besar ni. Dengan aku-aku sekali lenjun!

Aku akan mula BW esok, insyaAllah! Teiba-tiba pula saja teringat mak sedangkan aku baru saja balik menjenguknya minggu lepas sempena Hari Ibu. Huishhh...

Rabu, Mei 11, 2011

Esok, 12 May!

12 May adalah hari esok. Selama ini aku tak pernah kisah pun. Tak pernah terkesan pun. Malah ianya berlalu tahun demi tahun tanpa aku sedari dan selami falsafahnya.

Namun tidak hari ini. Malah sejak beberapa hari lalu bila ibu_suri kerap mengingatkan aku tentang ia, aku terkesan sendiri. Berbaur dengan memori hidup yang lalu bersama kemungkinan yang terjadi di masa hadapanku.

Aku ingin pergi ke satu tempat yang aku sering tujui jika ingin bersendirian. Aku ingin merenung kembali apa yang telah berlalu. Aku ingin memikirkan akan apa yang perlu aku perbuat untuk masa hadapan.

Foto Hiasan
Walaupun sudah terasa letih benar bergelut dengan segala macam permasaalahan hidup selama separuh abad berlalu ini namun aku masih perlu untuk terus berjalan. Perlu terus tabah memikul amanah. Sesungguhnya tidak ada tanda koma di dalam hidup ini kecuali noktah.

Esok 12 May. Hari dimana aku dilahirkan di satu daerah bernama Ulu Slim, Slim River. Kemudiannya aku diberikan nama sempena nama sahabat nabi oleh datuk aku sendiri. Kemudiannya aku dibawa balik ke Ipoh. Kini aku mengungsi di Pulau Pinang hinggalah ke akhir hayatku, mungkin. Berdiri dan memacu kehidupanku sendiri.

Masa yang diizin Tuhan tinggal sedikit sahaja lagi. Aku tidak boleh berpaling atau berkeluh kesah lagi. Mesti terus berjalan demi mencapai destinasi kerana peluang hidup di dunia ini hanya sekali!

Isnin, Mei 09, 2011

Marah

Aku balik kampung semalam. Kampung Kepayang, Fair Park, Ipoh, Perak – tempat aku membesar dengan polis sentri, kondang-kondi, galah panjang, aci nyorok, masak-masak, baling selipar, pangkah gasing, batu seremban, tepuk gambar, biji getah, dam apit, dam aji, guli susu, ikan spilai, ikan guppy dan getah bulat.

Juga tempat aku jual botol untuk belanja sekolah, toreh getah, mendulang bijih, cari pucuk paku, pucuk ubi, timba air dari telaga, mandi sungai Kak Sitah, naik rakit batang pisang ketika bajir, rakit buluh, lemas kerana tak tahu berenang, berkelah dan mandi sungai di bulan Safar, berarak maulud dan bermarhaban.

Tak ketinggalan juga tempat aku mencari setem di tong sapah hospital, curi kacang tanah di kebun Cina tepi landasan keretapi, baling botol kaca di tiang talipon, baling gerabak penumpang keretapi dengan ketul tanah, panjat gunung Mat Sirat, pecah pot getah di kebun Kak Naha dan paling aku tak boleh lupa curi duit syiling dari poket seluar kerja abah.

Aku sempat lihat kereta Hillman, Moris Minor, Mini Cooper dan Volkswagen menjalar di jalanraya, menonotn wayang pacak dengan drama muhibbah Atap Genting Atap Rumbia, turut edar air minuman untuk kempen pilihararaya UMNO, ikut rombongan belia 4B melawat Kampong Ulu Chemor, beli tikam dengan belanja duit sekolah, beli air lamonate dengan beberapa keeping syiling 1 sen, menyambut kedatangan Tun Abdul Razak di lapangan terbang dengan memakai seragam sekolah sambil mengibar bendera Malaysia, menonton perlawanan tinju Muhammad Ali vs Joe Bugner di dewan sekolah, menghantar karya ke Radio Ipoh, majallah Bujal dan Utusan Pelajar serta menghabiskan duit raya di kedai game dekat panggung Cathay dan tonton filem Kati Patang dengan mak saudara.

Aku masih tak lupa akan jam abah jenama Titus dan Titoni. Tak pernah miss menonton cerita hitam putih walaupun tv di rumah jiran seperti Mannix, Voyage To The Bottom Of The Sea, Land Of The Giant, Lost Of the Island, Star Strek, High Chapparal, Flint Stone,  CHIPs, Potret Pekerti, The Man From UNCLE dan Planet Of The Apes.

Namun semalam di kampung, aku lebih banyak tidur dari melayani ibu_suri. Entah kenapa badan aku rasa tak selesa dan mengantuk. Hinggakan aku perasan ibu_suri marah bila beberapa kali mak aku mengajak;

Hidup ini samada YA atau
TIDAK sahaja.
“Makan le. Nasi banyak lagi.”

Dan lagi;

“IM, makan le sebelum balik ni. Lauk banyak lagi tu”

Aku jamah juga makanan walaupun tak terasa lapar. Aku duduk di sisi ibu_suri dan umpan marahnya dengan menyuap nasi tapi ibu_suri masih berkata;

“Tak mau!” …. serius.

Aku tahu, dia marah. Aku cepat-cepat mandi dan kemas beg. Janji aku untuk kerumah adik beradik dan saudara untuk mengedar kad kenduri kahwin Angah perlu disegerakan.

Dalam kereta, ibu_suri lebih banyak diam. Aku perasan sehari-dua ini aku sedikit lalai dalam memberinya makan ubat mengikut jadual. Dan beberapa kali kemahuannya aku bantah. Semacam ada kejemuan dan rasa tidak bebas di dalam diri.

Entahlah, kekadang aku ini pun satu juga. Mana boleh ada perkataan malas dalam kamus hidup. Hidup mesti sentiasa komited dan sabar! Uuuuuuu…..

Sabtu, Mei 07, 2011

Selamat Hari Ibu, Mak!

Aku perasan, Hari Ibu disambut lebih meriah berbanding Hari Bapa. Dan aku pun tak kisah kalau keluargaku tidak menyambut Hari Bapa sepertimana mereka menyambut Hari Ibu dengan membelikan kek seperti sebelum ini.

Selalunya bila aku berjumpa atau menalipon mak, aku akan cium tangan mak dan dakap susuk tubuhnya yang semakin kering. Mak seperti selalu akan bertanya; 

Mak ketika masih kuat selalu ambil tempahan jahit baju dan buat kuih tradisional
"Ape kabo kamu?"

Dan jawapan aku pun standard je. Baik masa tengah hujung bulan, baik tengah serabut dengan odit, baik tengan tension dengan hal-hal keluarga maupun ketika sakit yang orang luar tidak nampak; aku akan jawap; 

"Baik khabar, mak?"

Bagi aku mak adalah orang paling akhir untuk aku mengadu susah. Mak adalah orang terakhir untuk aku melampias keluh kesah. Cukuplah untuk aku membebankan perasaan mak sebelum ini. Mak sudah cukup tua untuk memikirkan puah-paih kehidupan anak-anaknya. Berilah peluang untuk mak berihat. Perjalanan meniti hari-hari tuanya ke satu takdir yang cuma Allah yang mengetahui sudah cukup mendebarkan buat mak. Sepatutnya kitalah yang kini selalu memberi khabar gembira kepadanya. Melontarkan kata-kata yang lembut dan baik ke telinganya. Bertanya khabar dan kesihatannya selalu. Dan melemparkan senyuman manis dan ketawa yang hormat kepadanya.

Berilah mak kita peluang untuk menghirup udara yang bersih dan persekitaran yang kondusif. Sesungguhnya sudah puluhan tahun mak bergelumang dengan jerih perih menungkah badai kehidupan. Letih dan lelah mak jelas terlihat di kulit dan gigi mak.

Mak yang tetap akan datang meraikan apa saja majlis kelolaan anak-anaknya walau dimana pun diadakan sekalipun dengan kepayahan berkerusi roda.

Cukuplah setakat itu buat mak. Biarlah hari ini kita berdikari mengharungi erti hidup ini. Ucaplah Selamat Hari Ibu buat mak. Walaupun sekadar ucapan, aku pasti mak sudah pasti gembira seperti juga aku gembira bilamana melihat ibu_suri dan anak-anak ketawa.

Apa-apapun, esok aku akan balik kampung jumpa mak. Secara kebetulan lansung nak pulangkan semula bekas hantaran kepada adik sekaligus mengedarkan kad jemputan kahwin Angah.

Aku cuma ada mak sahaja. Abah sudah tiada. Masa yang tinggal sedikit ini aku akan guna sebaiknya untuk mak. Aku tidak mahu lagi berasa sesal sepertimana kelalaian aku selalu menziarahi abah di kala aku tengah kalut-malut berdepan dengan ketidakbiasaanku berhadapan dengan kondisi ibu_suri yang mengalami bipolar dis-order akibat angin ahmar! Terkesan aku dengan tulisan blogger SUDAIS bila melawatinya di sini tadi.

Khamis, Mei 05, 2011

Alahai Anak Ayah!

Sekitar Majlis akad nikah (khutbah) Angah di Masjid Permatang Batu; jam 10.30 pagi; Ahad 1 Mei 2011.

Rohayu a.k.a Ayu
Cincin Hantaran
Akad
Ahmad Firdaus a.k.a Angah
Isteri Adalah Amanah Allah
Mestikah Dibatalkan Air Sembahyang?
Harap Senyuman Ini Berkekalan

Buah pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Bila dah dapat teman baru,
Ibu dan Ayah dilupa jangan..

Selasa, Mei 03, 2011

Danisa Cookies

Tatkala menghantar Along ke steyen keretapi Bukit Mertajam, aku tak habis-habis merungut dengan keadaan jalan yang berlubang-lubang di hadapan stesyen.

"Buta ke mata pengurusan KTM? Jalan lain diturap walaupun ada antaranya aku rasa masih elok tapi jalan ini dah bertahun-tahun rosaknya tak diperbaiki. Segugus masa dulu bila masuk parking ni kena bayar. Kemana pergi duit itu?"

Dan bila memandu balik ke rumah pula ibu_suri seakan mahu menangis pula. 

"I rasa sunyi la bang. Along dah balik ke KL. Angah pula tidur di rumah mertuanya."

Ya... Aku baru perasan. Hakikat sebenarnya, rumah kami sudah kurang satu penghuni. Dan Along pula dari gerakrasa aku mengatakan bahawa dia lebih berminat untuk kerja dan menetap di KL. Bermakna yang tinggal di rumah kini hanya kami berdua dengan Akhmal. Tiba-tiba terasa sedikit gentar untuk berdepan dengan realiti ini. Realiti tinggal sendirian di rumah yang dulunya terasa kecil kini terasa lapang namun 'kosong'. 

Aku dulu memang bercita-cita punyai anak seramai mungkin tetapi rezeki tidak ada, terima sahaja kudratNya. Pun, Tuhan itu Maha Mengetahui. Mungkin sedikit anak itu lebih baik dari ramai tetapi jauh akhlaknya.

Tiba di rumah jam 12, perut terasa lapar. Sambil BW ke blog-blog di sisipan IM, aku minum AliTea kegemaranku sambil mengunyah Cookies Danisa  yang tiba-tiba memikat citarasaku. Tin cookies ini adalah antara 17 hantaran balas pihak Ayu (isteri Angah) semalam. Sebaik saja aku terpandang, aku sorok siap-siap ke dalam almari. Cookies ini mengingatkan aku di zaman semasa kecil. Jenama ini masih bertahan hingga kini.

Isnin, Mei 02, 2011

Khutbah

Tatkala mak sampai dari kampung bersama kerusi roda, soalan pertama yang  mak tanya ialah, macamana persiapan kamu? Agaknya sebab mak tak nampak aku seperti orang sibuk. Rumah pula tenang dan kemas.

Ok mak, jawapku. Tunggu adik beradik datang je. Jam 9 kita bertolak. Kalau lambat nanti kita kena berlari le...,jawapku yang sebenarnya sedang menyembunyikan semuanya.

Untung aku kerana banyak timba pengalaman ketika menjadi penyelia di tempat kerja satu masa dulu dan menjadi pengarah program semasa giat dengan NGO. Semua tugasan saya delegate kat adik beradik, tegasku lagi pada mak.

Memang aku tak mampu nak buat semua. Titik bengik buat bunga telur, buat hantaran, buat sireh junjung, buat gubahan mas kahwin..huuu..bukan bidang aku. Ianya adalah tugasan perempuan yang bergelar isteri. Namun...

Hantaran asas suruh adikku, Niza yang buat. Dia recycle bekas hantaran tunangan adikku beberapa bulan lalu. Adikku yang di Kulim aku minta buatkan kuih bangkit dan pulut kuning. Kakak ipar yang dekat dengan rumah aku minta buatkan nasi lemak untuk sarapan pagi, bunga  peha 25 kuntum, sireh junjung dan gubahan duit mas kahwin. Kakak ipar yang di Bertam aku minta buatkan gubahan bekas buah, coklat, buku dan bunga rampai. Mak pula bawa hantaran bahulu ikan. Comel dan menjadi perhatian utama pula..

Aku cuma pecah peluh mengemas rumah. Dari hujung pagar luar hingga ke hujung pintu dapur dan bilik air. Memastikan ibu_suri memakan ubat dan juga memastikan semua yang datang punya cukup kemudahan dan makanan. Yang duduk di kerusi sambil memarahi cucu menakan yang tak boleh duduk diam walau 15 saat ialah ibu_suri. Sesekali tersunggin senyuman, sesekali ketawa keanak-anakan. Sesekali juga mengaduh kerana belikatnya yang sakit sejak akhir-akhir ini. Doktor beberapa kali menegur aku kerana tidak menjaga makan dan senaman ibu_suri sebaiknya. Lemak-lemak yang ada di bawah kulit awak telah menekan otot-otot dan urat darah awak. Tu yang menyebabkan awak badan awak sakit, tegas doktor Klinik Utama, Bukit Mertajam yang masih muda.

Foto Hiasan
Agaknya, selain Angah yang dikhutbahkan Masjid Permatang Batu, akulah orangnya yang paling gusar. Bimbang takut-takut dia jem. Soalan dan tazkiran dari Kadi tu boleh tahan juga. Ketawa sekalian hadirin bila Kadi bertanya, apa tujuan kamu kahwin? dan Angah menjawap, untuk dapatkan zuriat. Aku cuma mengetap bibir. Aku tahu khutbah Kadi itu bukan saja halanya kepada pengantin semata tetapi juga kepada rombongan yang hadir!

Apa-apapun, syukur. Dan bermula hari ini, aku sudah tiada apa-apa hak terhadap Angah kecuali menasihat dan memerhati. Tanggungjawap utama Angah adalah membina keluarganya dan aku tidak mahu menjadi unsur ke3 di dalam rumah tangganya.

Jumaat, April 29, 2011

Sabar

Maaf jika aku tidak kelihatan singgah membaca sekaligus memberi komen di blog kalian.Aku sibuk yang bukan sedikit dalam membuat persediaan untuk Majlis Akad Nikah Angah pada hari Ahad ini di Masjid Permatang Batu jam 10 pagi. Kalau ada yang ingin turut sama boleh jugaklah!

Tetapi di celah-celah kesibukan itu rutin kebajikan ibu_suri tetap kena dijaga. Bagi aku ibu_suri seperti anak kecil yang kalau makan, mandi dan pakainya sempurna maka kuranglah ragamnya. Senanglah kerja-kerja lain hendak diteruskan. Sesekali bila melihat senyum dan mendengar tawa ibu_suri rasa belas menjadi semakin dalam. Aku tahu ibu_suri percaya dan mengharapkan 100% pada perhatian dan kejujuranku menjaganya. Akupun tidak sampai hati mensia-siakan harapan itu malah selalu berdoa muga Allah tetapkan hati dan perjalananku bersamanya. Biarlah betapa susah, betapa jemu, betapa tertekannya aku dalam rutin menjaga kebajikan dan ragam ibu_suri, aku akan tetap sabar dan ikhlas menjaganya. Muga-muga!

Namun semalam di celah-celah kesibukan ini aku terima panggilan talipon dari Angah. Lalu semalam, semalaman aku berada di IPD Perda. Sekali lagi menerjah ke sana yang entah untuk keberapa kalinya dan entah sampai bila...Huh!

"Ayah, Zam tengah belajar macam mana nak jadi sabar dan tenang macam ayah.." ujar anak saudaraku yang juga memanggil aku dengan gelaran 'ayah' sewaktu memandu balik dari IPD Perda.

Namun dalam sibuk, blog tetap di update 2 hari sekali lantaran menulis umpama minum pagi yang tidak boleh aku tidakkan!

Rabu, April 27, 2011

Satu-satunya Kes Di Dunia

Di dalam sujud terakhir solat Dhuha, aku sempat berdoa untuk kesejahteraan buat sahabat sekerja ku Azimi yang diberitakan akan menjalani pembedahan di HBPP hari ini. Beliau mengalami ketumbuhan di jantung; satu-satunya kes yang ditemui di Malaysia malah khabarnya di dunia. Ini diperakui oleh doktor pakar di IJN.

Harapannya untuk berjaya adalah 20% ke 80%. Aku umpamakan seperti sesaorang itu sedang berjalan untuk melalui satu pintu yang dia tahu malaikatul maut sedang menunggu di situ. Cuma dia tidak pasti adakah waktu itu gilirannya.

Lagi khabarnya, beliau terpaksa mempertaruhkan masa depannya walaupun berkemungkinan hanya 20% harapannya untuk berjaya. Ibarat luah mati emak di telan mati bapa. Kalau tidak dibuang ketumbuhan itu besar kemungkinan dia akan diserang stroke yang lebih hebat.

Senario sakitnya bermula apabila satu hari pandangan dia tiba-tiba kabur. Dia dikejarkan ke klinik dan kemudiannya ke hospital dimana akhirnya dia disahkan di serang minor stroke yang menjadikan penglihatannya kabur.

Sahabatku ini adalah seorang yang baik. Aku amat mengharapkan Allah memberikan yang terbaik buatnya.

Dan aku berharap keluarganya akan terus bersabar dan tenang menghadapi apa jua kemungkinan yang bakal berlaku.

Ameen!…..

Selasa, April 26, 2011

Bihun Goreng Kampung

Ahad lalu aku balik kampung. Tujuannya untuk mengambil set hantaran perkahwinan Angah yang aku minta adik-adik aku buatkan. Daya kreativiti ibu_suri sudah tumpul. Kalau tidak, selalunya dialah yang buatkan hantaran untuk adik-adiknya dahulu.

Foto Hiasan
Terasa letih memandu. Mengantuk. Kerap berhenti membasuh muka serta melonggarkan urat sarat. Mungkin kerana sebelum bertolak aku sempat beriadah di Tasik Mengkuang. Pepagi lagi aku terima sms dari blogger JH mengajak aku join sama berPATT. Aku tanpa fikir panjang bergegas ke sana dengan harapan dapat berjumpa sahabat yang lama tak ketemu.

Di kampung, adikku Duyah yang ditugaskan oleh keluargaku untuk menjaga kebajikan mak yang lumpuh sebelah badan, sempat memasak bihun goreng.

“Bihun goreng kampung ni, Yop. Mesti sedap punya.”

Dan ya.. memang sedap. Persis yang pernah mak masakkan untuk kami semasa kecil dahulu. Besar mata ibu_suri bila melihatkan aku tambah..satu senduk..satu senduk..hingga tegak belakang badanku menahan kekenyangan. Perencahnya simple sahaja. Taugeh dan sambal ikan bilis. Duyah senyum panjang melihat aku berselera makan bihun yang digorengnya. Seronok tengok Yop makan, ujarnya.

“Tau tak satu-satunya jenis sayur yang kita makan dari daun hingga ke akarnya?” Geleng kepala.

“Taugeh ni la…” terangku.

Aku teringat seorang kawanku yang cerewet dengan taugeh. Sanggup dia asingkan satu demi satu taugeh itu dari kelompok mee di dalam pinggannya semata-mata kerana dia pantang. Angin, katanya. Hmmm… muda-muda lagi dah ada pantang!