BLOG BARU..

Sayugia ingin aku beritahu. Aku udah bina blog baru. Blog ini akan aku tinggalkan sebagai harta berharga dalam hidup.

Kalau sudi singgah di sini!

Terima kasih atas selama ini kalian tekun melayari blog aku mengutip pengetahuan dan memberi pandangan.

Khamis, Jun 09, 2011

Jika Allah Masih Sayangkan Dia!...3

Sewaktu berada di dalam kamar Mahkamah II, aku lihat ramainya waris yang hadir adalah kaum Melayu dan India. Kalau ada lain pun seorang Cina.

Pesalah yang berada di dalam kandang juga rata-ratanya Melayu dan India. Ada rakyat Vietnam, Indon dan mungkin Bangla. Ada seorang berbangsa Cina. Adakah ini petunjuk bahawa peratusan kes jenayah kini dipelopori oleh kaum Melayu dan India? Kes-kes pula sedari kesalahan trafik, kegagalan bayar hutang bank, dadah hinggalah kepada kes curi motor.

Duduk di kerusi ala tangga kambing ini amat melenguhkan. Nak bersilang kaki pun tak boleh. Nak tengok talipon bimbit pun bimbang akan dirampas jika ternampak oleh polis mahkamah.

Nak keluar atau masuk melalui pintu kena membongkok dulu ke arah Tuan Hakim tanda hormat. Yang memakai baju kot hitam ini aku agak rata-ratanya peguam. Aku dinasihatkan supaya jangan terpedaya dengan peguam yang menawarkan khidmat untuk pembelaan. Rupanya di sini pun ada peguam ala-ala ulat tiket di stesyen bas ekspress. Kalau boleh, aku katakan ianya adalah ulat kelas atasan!

Memang aku terasa kesaorang dan kesepian di sini. Lantas begitulah agaknya perasaan waris-waris yang terpaksa memikul tanggungjawap untuk ambil peduli terhadap apa yang berlaku kepada anak, suami atau saudaranya. Bagaimana agaknya kalau waris itu dari keluarga yang susah, tua atau sakit?

Kekadang aku rasa beruntung kerana di’anugerah’kan Tuhan berkesempatan melalui skrip yang mendebar dan menekan sukma ini. Plot kehidupan yang begini akan lebih mematangkan peribadi. Dan di saat inilah baru setiap pesalah itu akan mengenali siapa kawan atau saudaranya yang sebenar.

Akhmal di beri pilihan ikat jamin rm8k atau ditahan sementara menunggu tarikh perbicaraan 2 bulan dari sekarang!

Isnin, Jun 06, 2011

Jika Allah Masih Sayangkan Dia!...2

Kalau sudah lama berkahwin tetapi belum rezeki untuk mendapat anak mungkin boleh dikecualikan. Namun janganlah jika sebaliknya.

Aku selalunya berkata begitu pada rakan-rakan yang datang bertanyakan pandanganku akan hasrat mereka untuk beranak angkat. Mereka bertanya kerana mereka tahu aku ada.

"Fikirlah seribu kali. Menjaga anak angkat tanggungjawapnya berat. Ujiannya juga berat." Begitu nasihatku pada mereka.

Setelah bersalaman, aku duduk di kerusi menghadap Tuan Shuhaimi. Sibuk nampaknya dia sedang menyiapkan laporan kes Akhmal.

"Macammana encik menjaga anak encik?"

Foto Google
Aku terdiam mendengar soalan itu. Tak tahu nak jawap macam mana.

"Saya lihat encik ini seorang yang lembut. Saya hairan kenapa anak encik boleh jadi begini. Bukan anak encik seorang saja. Banyak kes-kes jenayah melibatkan anak angkat. Apa yang tak kena dengan anak angkat ini, saya pun tak faham. Nak katakan orang tua tak menjaga dengan baik, tidak. Macam encik, saya percaya dari cara encik, encik adalah bapa yang bertanggungjawap."

"Mungkin ini cara mereka menunjukkan rasa tidak puashati mereka atas apa yang berlaku. Mereka memberontak dengan cara yang negatif. Seolah-olah membalas dendam pada keadaan yang mereka tidak reda."

Untuk kesekian kalinya berada di IPD Perda itu kerana mahu diambil kenyataan bertulis.

Khamis, Jun 02, 2011

Jika Allah Masih Sayangkan Dia!

"Abang, macammana dengan Akhmal?"

Mata dan pangkal hidung ibu_suri merah menahan sebak. Aku peluk ibu_suri walaupun aku baru sahaja berwuduk tapi belum bersolat Subuh.

"Tak mengapa. Jika Allah masih sayangkan dia, Allah akan beri dia petunjuk. Abang pi kerja dulu ya!"

"Abang balik cepat ya. I rasa sunyi sungguh!"

Aku akui ibu mana yang tidak meruntun hatinya jika melihat anak sendiri bergari memasuki van polis. Tapi jika itu adalah hakikat hidup yang perlu ditempuhi, tempuhi sahajalah dengan tabah. Bagi aku yang hampir tegar dek biasa perlu lebih teguh sikap dan airmuka berbanding ibu_suri.

Di saat kenduri kahwin Angah semakin hampir, ofis aku akan menghadapi musim Internal Quality Audit (IQA) 2 hari selepas itu. Akhmal pula buat hal lagi.

Di lokasi kerja aku cuba berkeadaan ceria seperti biasa. Di dalam kereta, aku memasang radio sekuatnya. Selalunya, bila begini aku suka dengar lagu-lagu kumpulan Kembara, Sohaimi Mior Hassan dan Ebiet G Ade yang mempunyai banyak lirik-lirik yang positif dan memberi semangat. Waktu breaktime di ofis, aku curi masa untuk solat sunat dan tidur sekejap.

Aku cuba menyerap semua tekanan yang datang!