BLOG BARU..

Sayugia ingin aku beritahu. Aku udah bina blog baru. Blog ini akan aku tinggalkan sebagai harta berharga dalam hidup.

Kalau sudi singgah di sini!

Terima kasih atas selama ini kalian tekun melayari blog aku mengutip pengetahuan dan memberi pandangan.

Sabtu, November 28, 2009

Aidil Adhaku

Aidil Adha kali ini kebetulan jatuh pada hari Jumaat. Aku beraya di Air Itam, rumah Tok Ba. Bersama bapa mertua dan 2 birasku, kami pergi ke Masjid Negeri untuk solat Jumaat. Dah lama tidak ke sini bersolat. Ada lanskap air terjun, baru di bina di tangga masuk utama masjid.

Aku selalu berada di sisi bapa mertuaku, memimpinnya menaiki tangga, ke tandas dan mengiringi masuk ke masjid. Sudah tua dia. Umur pun mencecah 80an. Jalan pun dah terkengkang-kengkang kerana sakit lutut.

Sebaik sahaja azan berkumandang, usai solat sunat khatib pun memberi salam di mimbar. Aku mengambil posisi tengah tepat mengadap kiblat.

Aku nak dengar khutbah kali ni, betul-betul. Tak mahu tertidur, bisik hatiku. Masjid Negeri, khutbahnya mestila ada kelas, gitu.

Tapi terkaan aku meleset. Sudah 49 tahun tolak 15 umur akhil baligh, tiap kali raya isi khutbah asyik ulang kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Walaupun bacaan khatib begitu baik, nada suaranya begitu bersemangat namun sedari mula khutbah hingga tamat amat sedikit pengisian baru yang dapat menjentik hatiku untuk dibawa pulang.

Ditambah pula dengan sistem audio yang membingitkan dan bertimbal balas. Aku hampir tidak dapat menangkap butir bicara khatib. Agaknya kerana dewan ini tertutup untuk hawadingin menyebabkan zarah-zarah bunyi berlegar di dalam dewan dan tidak boleh lepas keluar. Lagipun dinding dewan solat ini diperbuat dari batu yang keras dan tidak mesra bunyi. Perlu banyak diletak tirai kain atau papan untuk penyerapan bunyi lebih baik.

Aku teringat pesan Dr Danial semasa aku menjaga sistem audio di ceramah mingguan Tapian Gelanggang, Batu Uban beberapa tahun lalu. DD selalu bertanyakan bagaimana respon anak muridnya tentang sistem audio hari itu. DD berpendapat bahawa sistem audio amat penting kerana jika sistem audio lemah biarlah sehebat mana penceramah, program hari itu akan jadi hambar.

Aku hanya sempat merakam pesan khatib tentang doa nabi Ibrahim kepada Tuhan agar dikurniakan anak yang soleh. Dan berkat dari doa itu beliau dikurniakan dengan anak yang soleh yakni Nabi Ismail. Khatib itu menyarankan para jamaah mengamalkan doa ini.

Selesai solat, aku sekali lagi iringi bapa mertuaku keluar dewan. Kelihatannya Gabenor Pulau Pinang juga berjalan turun ke kereta.

Apa-apa pun aku bersyukur kerana masih sempat beraya tahun ini bersama keluarga mertua. Tahun depan entah beraya dimana pula.

Tiba-tiba talipon aku bergegar. Terpapar di skrin nama adik aku di kampung!

Khamis, November 26, 2009

Baik Ada Makna Tuu...

Aku tak pasti samada benar dia tidak sembahyang. Cuma aku tak pernah nampak dia ke surau. Lazimnya kalau memang individu itu bersembahyang, paling tidak sesekali mesti terserempak.

Dia sering datang ke ofis aku. Samada untuk menghantar equipment untuk di calibrate atau sekadar berbual-bual. Dia tak minat bicara politik. Lebih-lebih lagi sejak PR ambil alih secara mendadak kerajaan negeri Pulau Pinang 2008. Pernah pagi itu dia menerpa aku di kantin;

“ Hah, puas hati sekarang. DAP perintah kita. Pakai la, sikit hari nanti nak azan pun tak boleh. Apa lagi nak berarak hari Maulud. “

Aku terkedu. Bukan kerana tak dapat nak bidas hujahnya tapi kerana aku tahu suasana itu tidak sesuai untuk berdebat tentang itu.

Bila dia datang ke bilik ofisku, topik perbualan aku selalu berkisar hal kerja. Hal adat resam. Lantaran dia orang Minang. Sikit-sikit aku sentuh bab berbuat baik. Bab perlunya kita berusaha memperbaiki diri. Dan bercerita tentang kisah hidupku dengan harapan akan menjadi iktibar kepada dia. Dan bab tugas sebagai hamba Allah. Begitu lebih baik kerana di situ ada persamaan. Ada titik pertemuan.

Lalu terkesimanya aku hari ini bila dia respon dari sikap aku selama ini berbanding lain-lain rakan sekerja yang menurutnya lebih banyak menghentam dari berbincang secara positif.

“ Pernah masa saya pergi berubat isteri saya, ustaz itu berpesan pada saya sebelum saya balik. Dia suruh isteri saya sembahyang. Saya rasa cukup terkesan. Ustaz tu kata lagi, syaitan bila berada dalam diri orang yang kurang ibadat seperti anak kecil yang berada di dalam ruang tamu rumah yang lapang. Anak ini akan berlari ke sana kemari dengan gembira.

Syaitan itu juga pandai. Bila telinga kita diperdengarkan dengan ayat Quran, dia lari ke kaki. Bila kaki kita dipicit dan dibaca ayat Quran dia lari ke tangan. Puncanya kerana di dalam diri kita tidak ada pendinding. Tidak selalu membaca atau dibacakan ayat Al Quran. “

Ujar aku lagi, “ Saya pun bukan la kuat rajin sembahyang sangat. Tapi ini untuk ingatan kita berdua juga. Manusia perlu kepada Tuhan. Dan Tuhan hanya akan kasih pada mereka yang buat baik kepada dia. Sembahyang itu adalah salah satunya. “

Aku dapat lihat air mukanya sedikit merah. Aku cepat-cepat melapik perbualanku dengan memohon maaf jika dia terasa. Saya bercakap untuk diri saya juga sebenarnya, ujarku merendah diri.

“ Tak apa. Saya faham. Sebenarnya saya lebih suka berbual dengan kamu sebab kamu open. Betul ni. Sebab itu saya tak suka berbual dengan depa nu sebab depa asyik kerja hentam aje. Saya tahulah saya ni kurang amal ibadat. Tapi depa nu yang tungang terbalik pun belum tentu masuk Syurga. “

“ Betul. Saya tak bohong. Saya lebih selesa sembang dengan kamu. Kamu orang baik dan open minded. Susah la nak cari orang baik macam kamu. "

“ Baikkkkk… baik ada makna tu….. “ Aku akhiri perbualan itu dengan jenaka. Begitulah selalunya kami. Sesekali berjenaka juga ala-ala P Ramlee.

Rupanya, untuk berdakwah tak semestinya di atas pentas atau di masjid. Di depan mata sendiri. Di tempat kerja ada ramai sedang menunggu untuk di dakwahkan. Cuma kita kekadang tidak nampak dek kerana egois yang tinggi. Bimbang jika itu yang dimaksudkan dengan 'sebesar zarah' lalu tidak di izinkan Allah masuk Syurga.

Ada seorang lagi yang sedang menjadi targetku. Jika ada ilham nanti aku cerita…

Selasa, November 24, 2009

Mee Udang Juru

Bukan mudah untuk melalui cuti hujung minggu dalam keadaan diriku sekarang.

" Kita nak pi mana esok? " Soalan biasa ibu_suri sebaik sahaja selesai solat Maghrib.

" Ha, you teringin nak makan apa? " Aku cuba mencari idea bila tidak tahu kemana lagi hendak kubawa ibu_suri jalan-jalan. Rasanya sudah hampir semua tempat yang aku tahu dan aku mampu bawanya berjalan. Terperuk sahaja di rumah selama 5 hari bekerjaku meyebabkan dia mahu aku membawanya bersiar-siar merelease tension bila saja ada peluang dari cutiku.

Walaupun sudah sudah ada kesepakatan untuk kemana hendak pergi, kesabaran masih tetap perlu dibekalkan secukupnya.

" Kita pi ikut jalan lama, ya! "

" Kita ikut highway la. Jalan lama takut tak sempat. " Aku cuba bertaici. Huu... jalan lama waktu-waktu begini pasti terkendon kaki menekan klac dan brek kereta.

Sebaik saja ternampak papan tanda JURU aku memutar stering ke kanan.

" Kita solat Asar dulu, ya! " bila saja ternampak menara Masjid Kampung Sekolah Juru.

Perkarangan masjid luas tapi lanskap luaran dan dalamannya sederhana sahaja. Masjid kampung, kira ok la. Aku pernah singgah solat di sini awal tahun lalu.



"You nak makan apa? "

" Mee Udang la.. you niii... " Aku segera memegang dagu. Silap teknik da...

" Mee ketam satu berapa? "

" RM45! "

" Haa... biaq betoi. Errr... Mee udang satu. Mee lakna satu. Fresh orange, ais bandong dan air suam. "

Sengaja aku minta mee yang lain dari ibu_suri. Aku malas nak kopek udang sebab itu aku order mee lakna yang ada banyak sayuran.

Sesekali aku melempar pandangan ke luar panorama Restoran Nelayan Kuala Juru ini. Banyaknya kulit kerang hinggakan timbunannya menjadi tambakan tebing laut.

Betapa enaknya makan di tepi kuala sungai ini. Dengan angin yang bertiup sepoi bahasa. Sesekali terdengar cebur air yang ditungkah bot nelayan. Sesekali kedengaran derai ketawa nelayan yang sedang berbual di atas jeti menampakkan kemesraan sesama mereka. Aku menumpang rasa tenteram mereka itu. Esok entah bagaimana jadual hidupku. Aku pasrah sahaja pada Tuhan.

Aku tiba-tiba teringat kan rakan-rakan JIM yang pastinya sedang sibuk dengan program remaja, ihtifal tadika dan ziarah hospital sedangkan aku ...

Sabtu, November 21, 2009

Slow & Steady

Dia menguak pintu bilik ofisku. Jarang sekali dia masuk. Cuma akhir-akhir ini. Sejak dia mula mengambil alih tugas menyelia ME Linear group sekaligus para juruteknik. Dan selalu melekap di meja sebelah cermin bilik ofisku ini. Dan dapat menyaksikan setiap perlakuanku di sini.

" Why you come late? Now what time? "

" Relaxs la brother. My job start at 10.30am maaa... "

" Ye la... but you must on the light at 8.10am. Otherwise people thought you are not coming or what. Today no 5S cleaning ka? "

" Wait la.. I just on my pc and listing what I should do today. The cleaning song also not hear yet. "

" We must dicipline you know. Must improve attitude. "

Ha..ha..ha.. Aku tak berani ketawa di luar cuma dalam hati kerana aku tahu cakap-cakap dia itu betul tapi dia pun 2X5.

" Nobody perfect la. If you good in this task not means you also good in another task. "

" Ye la... ha..ha..ha.. " sambil dia menutup pintu, keluar.

Takda kerja ke si tambi ni, kacau aku pagi-pagi lagi.

Tapi memang betul aku selalu masuk lewat ke ofis. Scan In tu awal. Malah mungkin lebih awal dari sesetengah rakan sekerjaku yang tinggal dekat tempat kerjaku. Cuma seronok berborak kat kantin. Bos pulak tak kisah.

Tapi aku akui budaya ni kurang sihat. Aku cuba juga nak kontrol. Kekadang tu berjaya. Tapi banyak kadangnya, kantoi. Bila dah berumur ni, tak mahu fikir banyak-banyak. Lets make the job enjoyable! Slow & steady je...

Tapi bila cukup je bulan, gaji tak boleh slow. Mesti dapat ke tangan on time. Arrgghhh...

Rabu, November 18, 2009

Berpusing

Tatkala aku terbongkok-bongkok memutar spanar, terasa seperti hendak tumbang. Aku pegang bumbung kereta dan bersandar. Seketika Angah datang.

" Mai ayah, Angah buat. Tayar mana yang pancit ni? "

" Sini. " Aku menunjuk dengan kaki. Tak daya rasanya aku.

" Ayah rasa kepala ayah satu macam. " Gelap malam lebih menyukarkan aku untuk masuk ke rumah. Berpapah aku pada pintu pagar dan jeriji.

" You kenapa ni? " Heran ibu_suri melihatkan aku terhuyung-hayang. Aku meletak badan aku perlahan-lahan ke lantai. Baring. Aku lihat siling rumah berpusing-pusing. Bunga-bunga yang melekap di dinding juga begitu. Lampu dan bingkai gambar. Berita Utama tv3 aku dengar sayup-sayup di kejauhan. Tuhan, apa yang telah berlaku ini?

" You ni. Cakap la pasai apa. You jangan sakit. I sakit tak pa. " Goncangan dari ibu_suri tidak aku pedulikan. Aku memejamkan mata. Aku seperti nampak semuanya. Semua yang belum siap. Amalan. Tugasan. Tanggungjawap. Aku nampak semuanya. Semuanya yang seperti akan kutinggalkan. Isteri. Anak. Rumah. Adik-beradik. Kawan-kawan.

Aku tidak pernah rasai ini semua sebelum ini. Cuma pernah dengar dari mulut orang yang mengalaminya. Apa yang telah aku tersilap makan? Sakit apakah yang ada dalam tubuhku ini yang aku tidak ketahui?

Tidak lama, aku masuk ke bilik. Aku tidak peduli semua yang berada di luar dari diriku. Aku takut pada segala kemungkinan yang menerjah kotak fikiranku.

Aku cuba untuk tidak mahu tidur. Bimbang aku kiranya nanti tidak akan dapat bangun lagi. Tidak dapat melihat matahari pagi. Tidak dapat melihat bulan dan bintang. Dan yang pastinya aku takut untuk bertemu dengan Mungkar dan Nangkir.

Dapat aku rasakan ibu_suri menyelimuti tubuhku. Satu-satunya belaian ibu_suri yang sudah lama tidak aku nikmati.

Entah bila aku terlena. Cuma yang aku perasan ialah gambaran ibu_suri yang duduk di sisi persemadian abah tatkala aku ziarahnya di kampung baru-baru ini!

Ahad, November 15, 2009

Burung Terbang Dipipiskan Lada

Waktu itu aku di tingkatan 4 Sains 3, awal tahun 1976 Sekolah Raja Chulan, Ipoh, Perak. Cikgu Bahasa Malaysia, Puan Habibah, kalau tak silap, mahu kami mengadakan Berbalas Pantun. Pelajar lelaki vs pelajar perempuan.

Walaupun aku ini dikategorikan sebagai pelajar yang pendiam lagi pemalu terutama bila berada di kalangan perempuan namun subjek Bahasa Malaysia adalah subjek kegemaran dan berpantun adalah keterelelan aku.

Sesi jual beli pantun bermula. Semua murid diam bila cikgu Habibah mula menawarkan siapa yang hendak mula dulu. Aku ini mau tapi malu.

Tiba-tiba seorang pelajar perempuan mengangkat tangan. Melati namanya. Perempuan tinggi lampai. Raut wajahnya juga menunjukkan dia seorang yang mahal senyuman. Aku pun bersedia untuk mencatit isi pantunnya.

" Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada;
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada. "

Udah tentu pelajar perempuan lain pun gemuruh memberi sokongan. Pelajar lelaki semua diam.

Apa punya pantun daa.... ciplak, getus hatiku.

" Siapa nak jawap ni? " Cabar cikgu Habibah sambil melempar pandangan kepada kami pelajar lelaki yang kebanyakkannya lebih gemar duduk di belakang termasuk aku.

Aku pun memberanikan diri selepas ligat menulis sesuatu atas kertas.

" Memangku puan si Dang Nila,
Berembang buah pedada,
Gila tak gila aku peduli apa,
Burung tu cantik, aku suka pada dia.. "

Dan seluruh pelajar lelaki, wuuuuuuu..........

Aku duduk semula di kerusi dengan berpeluh-peluh rasanya.

Matilah aku. Mesti dia dendam kat aku nih, bisik hatiku.

Dan memang seperti yang kuga tadi. Sok..sek.. di belakang memberitahu aku Melati mengondem pantun aku. Pantun ntah apa-apa, katanya. Takada nilai seni lansung.

Khamis, November 12, 2009

Anakku, Disleksia

Akhmal, anak ke3 ku yang kini berada di STB, Taiping sebenarnya mengidap Disleksia. Aku ingin ceritakan di sini untuk pengetahuan kalian. Terutama bagi guru atau ibu bapa yang masih punya anak kecil supaya dapat mengesan anak atau anak murid kalian.

Khabar terbaru, pengidap sindrom ini semakin bertambah di Malaysia. Menteri Pelajaran 10 tahun lalu Datuk Hishamudin pernah bercakap tentang sindrom Disleksia ini di TV tetapi nampak macam tidak ada tindakan susulan.

Semasa anakku berumur 5 tahun seperti biasa aku menghantar Akhmal mengaji Quran sepertimana Along dan Angah. Tapi entah kenapa udah berbulan mengaji, alif ba ta pun tak boleh lepas. Setakat hafal saja. Akhirnya guru mengaji putus asa mengajar dan menyuruh aku mengajarnya sendiri.

Bila masuk ke alam persekolahan, tahun kedua, dia dimasukkan ke kelas belakang. Faham ajelah sistem persekolahan di Malaysia ni. Kelas belakang bermakna kelas yang tercorot. Kelas yang dipenuhi dengan murid yang bodoh. Sekaligus bila bodoh, mereka tidak dapat mengikuti pelajaran dengan baik akhirnya mengacau murid lain dan dicap sebagai nakal. Begitulah bertahun-tahun, kelas ini adalah kelas yang tidak mendapat perhatian guru-guru yang hanya memburu kelas-kelas A.

Takdir Tuhan, di tahun ke5, aku dapat tahu Akhmal dikenakan tindakan disiplin yang sedikit pelik oleh guru. Entah kenapa aku tergerak hati untuk merujuk ke Pejabat Pendidikan Daerah, Permatang Pasir. Berbincang dengan pegawai di situ akhirnya dia bertanya kepada aku;

" Tulisan anak encik beginikah? "

Aku memerhati dengan penuh tanda tanya; apa maksud encik ini?

" Ya.. tulisan dia memang lintang pukang. Huruf terbalik. herot kiri kanan. Saya sendiri kekadang susah baca. Usahkan saya, dia sendiripun bila saya suruh bacakan, dia tak dapat nak bacakan semula. "

" Saya fikir anak encik menghidap Disleksia. "

" Apa tu encik? "

" Ia satu sindrom LD ( Learning Disability ). Dalam kategori LD ini termasuk Down Syndrome, Authsm, Hyper Aktif, Lembam dan banyak lagi. "

Aku melangkah keluar dari Pejabat Pendidikan itu dengan pandangan kosong. Terasa seperti sedang berhadapan dengan satu tanggungjawap yang belum pernah tergambar apatah lagi memikulnya sebelum ini.

" Apa yang encik tu cakap tadi bang? " tanya ibu_suri.

"Aaa.... nanti abang ceritakan. Abang pun bukan tahu sangat benda ni. Tak pernah dengar pun!"
Ditakdirkan Tuhan juga tak lama selepas itu, aku tertonton satu program talk berbahasa Tamil di TV2 tentang Disleksia. Aku segera mengambil alamat salah satu Pusat Didikan Disleksia NGO yang beralamat di Taman Titiwangsa.

Dengan bantuan adikku yang tinggal di Shah Alam, aku membawa Akhmal untuk membuat ujian pengesahan. Dan berdasarkan testimonia, memang sahih, Akhmal pengidap Disleksia.

Perlahan-lahan aku mula mencari-cari dan memahami apa itu Disleksia. Aku kini memasuki dunia baru. Dunia anak kategori OKU. Dunia yang amat asing dan tak pernah terfikir olehku sebelum ini.
Aku menukar Akhmal dari kelas normal di SK Seri Impian ke SK Seberang Jaya, kelas Pendidikan Khas.

Panjang kalau nak kuceritakan. Pahit manis menjaga Akhmalku ini. Entahlah! Lain kali kalau ada ilham aku sambung lagi! Terasa penat mata dan letih!

... keputusan testimoni





... resit testimoni
















Antara bintang-bintang Disleksia:
Leonardo Da Vinci - Pelukis potret Mona Lisa
Thomas Alva Edison
Albert Enstein
John F Kennedy
Whoopi Goldberg


1. Perincian Disleksia. Klik SINI
2. Salah satu blogger Disleksia rakyat Indonesia. Klik SINI

Selasa, November 10, 2009

Soalan Cepu Mas

Bukan sekali tapi udah acapkali ibu_suri bertanyakan soalan cepu mas ini. Soalan yang bukan sahaja sukar malah berat dan tak tahu nak menjawapnya bagaimana.

" Kalau I mati nanti, U akan kahwin lain ke? "

Bukan soalan menduga akal tapi ini soalan menduga keikhlasan dan kejujuran. Menduga kesetiaan dan kasih sayang. Silap memberi jawapan, tidak terduga akan balasannya.

" InsyaAllah kalau buat masa ini abang udah tak mahu fikir pasal kawin lain. Cukuplah abang ada satu ini. Kalau U mati, abang nak fikir perbetul jalan hidup abang sendiri. Tak mau fikir pasal kahwin dah. Serik. Letih. "

" Nanti U akan kesunyian... "

" Ah, ok. Abang tak ada masalah hidup sorang. Dah biasa urus diri sendiri sejak dari kecil dulu. " Sekadar menyejukkan hatinya, begitu yang kuharap.

" Itu, apa yang abang fikir dan hasratkan buat masa inilah. Tapi kalau Tuhan takdirkan lain, itu abang tak mahu janji lah... " Berlapik juga cakap aku ni. Takut pula nanti termakan dek sumpah. Teringat pula aku akan filem-filem horror yang pernah aku tonton. Walaupun itu mungkin cuma fiksyen tapi erkss... takut le juga kalau jadi betul-betul. Anak sungai lagikan berubah. Aku bukannya malaikat.

Tidak lama, dia minta berbaring di atas riba aku. Dia minta aku picit-picitkan kakinya.

" U demam ke? " Bila aku dapat rasakan badannya sedikit hangat.

" Tu lah... Rasa badan ni sakit-sakit... " Dan airmatanya sertamerta terjun dari kelopak. Itu dah biasa bagiku. Di celah-celah garangnya tatkala marahnya datang di luar kawalan, dia mudah merambukan airmata apabila kesyahduan menyelubungi jiwanya.

" U tak boleh cuti lagi ke? "

Aku terdiam. Mana bisa aku ambil cuti sedangkan semalam aku sudah pun ambil MC. Siang nanti ada IQA audit di ofis aku. Sepatutnya aku kena siap sedia di sana.

Uuhhhh.....

" Nanti sat. Abang fikir. Makan Panadol dulu ya. Lepas tu U pergi tidur dalam bilik. "

" Tak mau. U picit-picit dulu badan I ni... "

Aku pun tidak mau banyak soal. Terkenang aku bilamana pergi kerja siang nanti, tinggal dia kesaorangan di rumah. Masalah ni...

Aku teringat si anu, si ani dan mungkin si ana dapat menjenguk ibu_suri sementara aku bekerja. Betahkah aku ambil cuti separuh hari, hari ini?

Sebenarnya aku dapat rasakan prestasi kerja aku agak mencorot kebelakangan ini lantaran kerap cuti semata uruskan hal-hal berkaitan ibu_suri.

Tuhan, hadirlah di sisiku!

Isnin, November 09, 2009

Kak Long

Terasa bahuku digoyang. Entah bila masa aku tertidur di depan tv, aku pun tak sedar. Selepas ke klinik ambil dan makan ubat cirit birit yang melarat hingga hari ke2, aku baring-baring sambil ibu_suri menonton tv.

" Abang, I lapar la. You goreng Maggie, boleh? "

Dengan berat mata aku bangun. 2 minit je, fikirku. Jam 1:45 pagi. Terasa pula perut aku sendiri yang lapar. Sepanjang 2 hari aku di serang cirit birit, aku cuma makan moi dan roti empat segi sahaja, berselang seli. Mau nya tak lapar cepat.

Sambil memasak itu aku tertarik juga menonton sama drama tv bertajuk Srikandi Dihatiku lakonan artis veteren Fauziah Nawi.

Kisah pengorbanan seorang kakak memelihara 3 orang adik lelakinya setelah kematian emak dan bapa mereka. Kak Long sanggup tidak berkahwin semata-mata mahu memastikan masa depan adik-adiknya berjaya. Berhempas pulas membuat nasi lemak untuk jualan kemudian menoreh getah walaupun dalam kedaan demam.

Namun apabila adik-adiknya telah berkerjaya, jasa Kak Long dilupakan kecuali oleh adiknya yang bongsu. Kak Long ditemui oleh adik bongsu, kini seorang doktor dalam keadaan trauma. Apabila ingatan Kak Long sudah mula pulih, Kak Long cuma sempat beberapa minit mendakap dan menyebut nama-nama adiknya. Kak Long kemudian menghembus nafasnya yang terakhir.

Di sini tak sedar aku menitiskan airmata. Kehebatan Fauziah Nawi, pelakon airmata membawa watak Kak Long memang berkesan. Di dokongi pula oleh pelakon yang membawa watak Kak Long semasa muda.

Berlatar belakang Kak Long menoreh getah, merumput di celah-celah pokok ubi kayu, mencari kayu api dan memasak menggunakan dapur tungku serta memberus pakaian sekolah adik-adiknya. Itu semua menghimbau kenangan aku semasa di kampung. Semasa masih kecil. Semasa keluargaku susah dan aku terpaksa menjaga adik-adiku seramai 6 orang bilamana emakku pergi menoreh getah dan abah pula masih sakit diserang Schizophrenia. Justru airmataku mudah luruh kerana latarbelakang drama itu begitu dekat dan syhadu denganku.

Aku segera teringatkan adik-adikku, emak dan abah. Teringat kawan-kawan yang pernah sama-sama bermain polis sentri, main kondang-kondi dan masak-masak.

Sambil ibu_suri makan mee, aku pula makan roti cicah teh o wangi. Perut masih kruk...krak lantaran angin yang masih berlegar-legar di dalam perut. Nasib baik doktor bagi aku cuti sakit, hari ini!

Sabtu, November 07, 2009

Meragam

Masuk kali ini, hampir 10 kali aku keluar masuk bilik air. Entah di mana silapnya perut aku ini hingga meragam sebegini sekali. Udah 2 pasang kain dan 2 pasang baju terpaksa aku basuh semula gara-gara hilang kawalan sewaktu di dalam proses 'pembuangan' itu. Dan aku tak berani tidur sehingga aku telah pasti segala keracunan di dalam perut aku ini kembali neutral.

" Apalah, ayah! Demam masa cuti. Rugi la. Tak boleh ambil MC.. " Perli Angah bila lihat aku terbaring kerana demam. Memang, aku jarang ambil MC kerana aku jarang sakit. Tapi hari ini kulit badan mula terasa panas sedangkan dalam diri aku terasa amat sejuk hingga memaksa aku memakai selimut. Di sisi, ibu_suri asyik merenung aku tanda simpati.

Jam menunjukkan 4.15 pagi. Perut aku masih tak ok lagi ni. Perut pula terasa lapar. Angah, Along dan ibu_suri sedang sedap tidur berdasarkan bunyi dan selang seli dengkur mereka yang teratur dan syahdu.

Terasa kecil pula diri ini. Kesunyian malam mengingatkan aku, insan kerdil yang kini sedang mendaki anak tangga ke 50. Hampir tiba ke puncak kehidupan. Malah sikit hari lagi aku bakal menerima calun menantu. Dan jika janji Tuhan itu benar maka beberapa tahun terdekat ini aku akan menerima anugerah paling berprestij.... DATUK!

Alahai, tak sanggup aku membayangkannya...

Aku harap sebelum aku mengakhiri kehidupan di dunia ini, aku sempat untuk kembali semula ke jalan dakwah. Jalan yang pernah aku terokai semasa aku masih muda dahulu.

Ah, perut aku masih tak ok. Namun mata dah mula mengantuk. Rumah berselerak sedangkan keluarga mertuaku akan datang esok, mungkin!

Khamis, November 05, 2009

Generasi Y

Maaf, foto ada sedikit SX
Kini ramai orang berpolemik tentang generasi Y. Apa sebenarnya Generasi Y?

Mengikut apa yang pernah aku terbaca dari media cetak, elektronik atau media siber begini:

Yang lahir pada tahun-tahun sebelum 1946 di istilahkan sebagai Silent Generation.

Lahir di antara tahun 1946 hingga 1959pula di panggil Baby Boomers.

Generasi X adalah mereka yang lahir antara tahun 1960 hingga 1979. Generasi Y pula yang lahir pada 1980 hingga 2009.

Agaknya kenapa mereka digelar Generasi Y? Lukisan oleh kartunis ini mungkin benar sebagai jawapannya.

Sebenarnya aku telah pun melihat budaya ini berkembang di Jepun pada era 90an lagi tatkala ikuti latihan industri yang dihantar oleh majikanku. Rakanku R yang sesama pergi memberitahu aku bahawa dia percaya budaya ini satu hari kelak akan menular di Malaysia. Nah, tidak salah terkaan R.

Bagaimana pula dengan generasi yang lahir pada 2010? Generasi Z? Harap-harap Generasi Z tidak pula memanjangkan budaya yang dibawa oleh Generasi Y.

Tugas kitalah Generasi X membendung kelansungan ini dari merebak melampaui batas susila fitrah manusia bertamaddun!


Isnin, November 02, 2009

Bukan Budaya

“ You tau lusa hari apa? “

Terdiam. Berfikir. Hari apa?

“ Lusa hari jadi I laa… You nak hadiahkan I apa? “

Terdiam lagi. Ligat berfikir. Nak hadiahkan apa? Uuu…hh.. Satu hal pulak nak kena fikir ni...

“ Abang nanti beli kek paling best. “

Iye ke ni? Kek apa nak bagi? Entah… tapi itu yang termampu untuk aku janjikan, rasanya. Mau juga RM 2 atau 3 puluh.

Tidak lama kemudian…

“ Angah, you nak bagi ibu hadiah apa? “

Angah melempar pandangan kepada aku. Terpinga-pinga. Aku cuma angkat kening.

Selama aku membesar di kampong, tidak pernah ada budaya ini. Keluarga miskin katakan. Mana ada masa nak ingat pasal hari jadi. Nak makan hari-hari pun tak daya nak fikir bagaimana.

Namun sebaliknya pula pabila aku mengungsi di Penang ini. Hampir kesemua adik beradik ibu_suri selalu mengadakan majlis hari jadi. Dan selalunya akulah yang dikuit supaya membacakan doa agar majlis itu nampak sedikit islamik.

Entahlah.... Kenapa orang Melayu ini mudah sangat ciplak budaya yang bukan menggambarkan identiti bangsa sendiri!